top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

PALESTIN: KEBERPIHAKAN ADALAH KEWAJIBAN

Oleh Ruby Mas.



HATI sebal bila menonton dan mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang penceramah antarabangsa yang terkenal Sheikh Hamza Yusuf. Dia dalam satu wawancara menyalahkan penduduk Palestin atas kesengsaraan yang mereka alami selama ini dek kerana mereka melawan balik keganasan yang dilakukan Israel. Bahkan antara kenyataannya yang mengguris hati adalah penduduk Palestin tidak perlu melawan Israel bagi menampakkan yang mereka benar-benar tertindas. Bagaimana dia boleh fikir simpati dunia lebih penting dari perilaku mempertahankan diri sendiri? Adakah benar duduk diam tidak melawan akan membuahkan keamanan? Adakah dengan menjadi pihak berkecuali akan membantu mangsa-mangsa kezaliman?


Mana-mana individu yang berpengaruh wajib ada pendirian jelas. Jangan cakap berbelit-belit menyembunyikan niat. Dalam hal ini, kita boleh titipkan kata-kata Mu’taz al-Khatib tentang isu ini dalam salah satu hantaran di halaman Facebooknya:


“Sesiapa yang tiada pendirian dalam hidup dan suka kepada kekelabuan selalunya dia tidak mahu menanggung sebarang tanggungjawab. Dia akan berusaha untuk membuka semua ruang dan peluang yang boleh bagi memaksimumkan kepentingan dirinya; kerana setiap pendirian ada harganya”.


Mereka seboleh mungkin tidak akan terang-terangan memilih hitam atau putih sebaliknya mahu kekal dalam kekelabuan agar dapat manfaat kedua-dua pendirian tanpa perlu ada pertangungjawaban.


Malulah kepada sesiapa yang menggelar diri atau membiarkan orang menjulang diri mereka sebagai ‘pemikir’ dan ‘agamawan’ namun hanya berbicara tentang “kembali kepada sunnah”, “gerakan keamanan”, “pemerintah adalah bayangan tuhan di muka bumi” dan ucapan-ucapan retorik yang yang terawang-awang tidak menjejak bumi. Mereka cenderung menentang dan menyalahkan perilaku individu dan meletakkan tanggungjawab atas mereka yang tertindas. Bagaimana mereka boleh berpaling kepada pelaku kemudian menuding jari kepada orang yang tertindas tanpa mengucapkan sepatahpun tentang tanggungjawab pembuat utama keputusan politik yang membawa kepada kemusnahan serta perselisihan antara agama dan budaya?


Di tengah-tengah kepanikan dunia tentang kemiskinan, kebimbangan ekonomi, serta diskriminasi dalam pelbagai wajah yang tidak diurus dengan baik, mereka muncul mengeruhkan keadaan. Persoalannya, di mana tanggungjawab mereka untuk menegakkkan keadilan? Mana usaha mereka bagi menanam rasa cinta dan harapan terhadap dunia yang serba menyesakkan?


Justeru, jika mereka yang ada sekarang tidak menjalankan tanggungjawab sebenar ke atas masyarakat, kita tidak harus hanya merungut sendirian. Sebaliknya, kita mesti beramai-ramai berusaha menjadi suara kepada mereka yang tertindas dan dipandang kecil Jangan biar sahaja kenyataan beberapa pihak yang secara halus menyokong ketidakadilan tanpa memberi respon balas keraana, tunduk dan senyap pada kezaliman itu juga merupakan satu bentuk kezaliman.


Rujukan:





13 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page