top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

PAK, BU, SIAL ITU KEKUASAAN, BUKANNYA MECINDA

Updated: Aug 23, 2019

Oleh: Azura Nasron


Sudah hampir 5 hari aku berkampung di Chiang Mai. Ini merupakan wacana pertama aku tentang isu para migran secara mendalam.


Yang hadir semua merupakan perempuan-perempuan sakti dari organisasi para migran di negara masing-masing. Antaranya ialah, Kabar Bumi, Indonesia, IMWU, Hong Kong, NAWHR, Nepal, Aastha Parivaar, India, dan juga Kyrgystan.


Juga tidak ketinggalan, teman kita yang pernah jadi mangsa penyiksaan semasa menjadi pembantu rumah di Hong Kong. Asyik sekali wacana kali ini kerana kebanyakan dari mereka sendiri juga adalah para migran yang dahulu pernah bekerja dan merasakan sendiri penindasan fizikal, struktual, dan undang-undang. Kini mereka bangkit membentuk satu pergerakan organisasi melawan ketidak-manusiawi ini.


Apapun, kita semua sudah mendengar dan mengetahui tentang penindasan-penindasan yang terjadi pada mereka. Ya seperti, passport diambil majikan, tidak dibayar gaji, tidak diberikan cuti, dipukul, dikerjakan seperti hamba, dipaksa, aduh macam-macam. Kita juga mengetahui bagaimana kebanyakan kes-kes ini tidak mendapat keadilan. Ya jelas, kerana keadilan bukan milik para miskin yang tidak mempunyai kuasa.


Menariknya semua organisasi ini tidak ada satu pun pernah mempersoalkan bangsa si penindas ini. Apatah lagi agama apa si penindas ini? Kerana apa? Kerana fokusnya adalah pada yang ditindas. Fokusnya adalah bagaimana mahu mengeluarkan orang yang ditindas. Maka akhirnya si penindas ini dilawan atas nama kekuasaan bukan atas nama bangsa atau agama.


Ya sebetulnya kalau kita mahu fokus melawan isu bangsa, habis sudah semua bangsa MECINDA ini. Tidak akan ada satu pun yang terlepas daripada melakukan penindasan terhadap orang lain.


Masih saya ingat, bagaimana ada satu kes tidak membayar gaji para pekerja dan membiarkan mereka bekerja sehingga 2 kerja. Pagi di spa, malam pula di rumah sehingga tengah malam. Didera, dipukul, disuruh itu dan ini seperti hamba. Rehatnya cuma 2-3 jam sehari. Makannya pula hanya sekali pagi dan sekali malam. Siapa si penindas ini? Seorang bangsa Melayu malah bekerja sebagai pegawai undang-undang lagi.


Juga, kelmarin ada satu message whatsapp viral yang ditulis oleh politikus Barisan Nasional tentang bagaimana ada satu kes di mahkamah si penindas yang merupakan bangsa Cina ini kononnya tidak tahu bercakap bahasa melayu. Ya sebetulnya ini bukan perkara aneh. Saya sendiri pernah melihatnya bagaimana seorang migran yang gaji tidak dibayar bertahun-tahun, sehingga kini kesnya belum selesai, di mahkamah majikannya mengatakan dia tidak boleh berbicara bahasa melayu.


Tidak ketinggalan kes yang tersebar baru-baru ini seorang pembantu rumah mati setelah lebih satu bulan dalam keadaan lemah tidur bersama anjing diluar rumah selepas mencuci menggunakan sabun (yang bersifat seperti asid) tetapi majikan terlepas begitu sahaja. Siapa penindas ini? Seorang bangsa India.


Ya jelas ya, sebenarnya kalau kita mahu menggunakan isu bangsa MECINDA, diulangi, TIDAK AKAN ADA SATU PUN YANG TERLEPAS DARIPADA MELAKUKAN PENINDASAN!


Soalnya, adakah semua MECINDA ini penindas? Haruslah tidak. Soalnya yang menindas ini adalah mereka yang mempunyai kuasa. Kuasa membuat mereka lebih tinggi, lebih superior, lebih hebat di dalam mata undang-undang.


Kuasa ini besar, melebihi bangsa dan agama. Sesiapa pun, MECINDA atau mereka yang beragama, Islam, Kristian, Jews, Buddhist, semuanya sama bisa mempunyainya lalu menindas orang lain. Maka akhirnya, yang menindas itu bukan MECINDA atau apa-apa yang lain tetapi adalah KEKUASAAN.

15 views0 comments

Comentarios


bottom of page