Ramai orang marah-marah apabila ada yang gembira dengan kejatuhan Maszlee Malik. Tapi hari ini aku mahu marah-marah dengan orang yang sedih. Dan juga orang yang gembira. Iya, anak muda memang suka marah-marah. Kata Syed Hussin Alatas, orang yang paling sihat juga boleh menghidap penyakit. Jadi mana mungkin Maszlee terkecuali juga kan?
Sudah tiga hari newsfeed muka buku dipenuhi dengan orang-orang yang menyokong dan mengeluarkan segala kata-kata indah buat Maszlee. Ini adalah perkara biasa. Orang kita memang suka mengenang perkara yang sudah tiada. Oleh sebab itu, nenek moyang kita berkias dengan pepatah nasi sudah menjadi bubur. Tidak ketinggalan pantun-pantun tentang budi:
Mari kita menanam padi,
Padi ditanam di dalam bendang;
Marilah kita menabur budi,
Supaya kita dikenang orang.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga;
Hancurlah badan dikandung tanah,
Budilah baik dikenang juga.
Bagi orang yang bersedih, sedih-sedih ini mahu ke mana? Mengenang-ngenang ini ke mana? Sebab itulah orang kata, jangan mengenang yang tak ada lagi didepan mata. Kerana apa? Kerana tiada guna. Kalau dalam dunia percintaan kita harus jalan terus untuk mencari makna baru, apatah lagi dalam dunia pendidikan yang kerja-kerja serius harus dilakukan.
Soalan aku satu, apa kau fikir Maszlee boleh ubah semuanya? Kau tahu siapa yang boleh ubah semuanya? Kita. Kita sebenarnya lebih kuat daripada Maszlee. Tapi bezanya kita semua orang-orang yang hanya tahu mengenang. Bila suruh bergerak, menyorok di bucu katil dan terus mengenang. Mengenang nasib, mengenang masa depan. Kita adalah orang-orang yang suka berharap. Harap akan ada perubahan. Harap orang lain akan melakukan semuanya untuk kita.
Kita mengharapkan Maszlee untuk melawan semua korupsi. Maszlee untuk menyelesaikan semua isu pendidikan. Isu sekolah. Padahal kitalah yang mengajar masa depan anak-anak kita. Sekolah, universiti atau apa saja cuma sistem. Padahal hal-hal keilmuan, intelektual, semua adalah tugas kita semua. Ya, ya benar. Maszlee ada kuasa, dia yang memegang kuasa, dia yang memegang segala resources, manpower, data, tetapi itulah yang aku katakan tadi, megharapkan dia saja tak memadai untuk mengubah pendidikan kita.
Aku tidak mengerti hal-hal sekolah. Aku tidak kenal para guru. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran guru-guru sudah tidak lagi perlu bekerja keras hal-hal kertas kerja. Tapi sebagai seorang anak muda yang masih menuntut di universiti, bagi aku 20 bulan ini masih tidak ada apa-apa perubahan buat universiti.
Universiti masih sibuk mengejar ranking. Masih banyak pensyarah yang jadong. Menggunakan politik untuk mengangkat diri. Pensyarah kangkong yang menggunakan tulisan anak muridnya, mahasiswa yang tak habis-habis mmebawa agenda politik tetapi langsung tidak bersikap kritikal dan kritis, AUKU sehingga kini masih tidak ada berita, belum lagi menceritakan bagaimana mesyuarat-mesyuarat untuk penghapusan AUKU.
Kesatuan Mahasiswa? Jangan cakaplah. Tak tahu untuk apa dan kemana. Secara konklusinya, barangkali Maszlee cuba untuk melakukan ini dan itu untuk meningkatkan taraf universiti tapi itulah kata orang missing the elephant in the room. Jangan-jangan ada Maszlee atau tidak, ada AUKU atau tidak, ada kesatuan atau tidak, ranking naik atau tidak, masyarakat kita masih sakit. Dan ini salah siapa?
Bagi orang yang gembira, tidak ada apa yang menggembirakan dalam politik hari ini. Semuanya kacau bilau. Permainan kekuasaan sana sini. Bunuh sana sini. Orang yang ada privileged, orang yang ada orang dalam, orang yang ada nama saja yang akan dapat menjalani hari-hari mendatang. Orang susah tetap susah. Orang miskin tetap miskin. Perkauman seperti tidak ada jalan mati dihadapan, terus menyusup dengan jalan-jalan kecil di celah keperitan kehidupan. Kita yang tidak ada apa-apa ini pun termakan dengan jalan-jalan ini. Padahal yang sakit semua kita, sama-sama.
Soalan aku juga satu, bagaimana dengan mereka yang terang-terang lagi bersuluh jahat di depan ini? Apa kita sudah bersedia untuk melawan mereka semua atau kita akan tutup mata dan missing the elephant in the room juga? Apa kita mahu diam disaat banyak rumah-rumah dirobohkan? Isu tambak di Penang yang memberi sakit ribuan nelayan? Kampung-kampung menjadi bandar atas nama kemajuan? Kemiskinan bandar yang makin meningkat?
Bagi aku isunya bukan Dong Zong, atau YTL. Ini cuma simptom-simptom kerajaan yang sakit dan orang yang taat kepada parti dan kerajaan terutamanya kepada Mahathir, tidak akan dapat merawat sakit ini. Jangan-jangan yang taat inilah penyakitnya.
Comments