top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

ORANG MACAM KAU TIDAK AKAN PERNAH FAHAM ORANG MACAM AKU Oleh: Amirah Haziqah

Sudah masuk tahun 2020. Perdana Menteri kita masih berada ditakuk pemikiran yang sama, yang kapitalis. Pada beliau, orang miskin akan terus miskin sebab mereka tidak produktif dan hanya mengharapkan bantuan kerajaan. Katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan,

“Kita faham ada yang tidak tahu dan tidak berkemahiran. Tetapi ia bukan masalah jika kita sanggup belajar, bukan sahaja dari segi cara kerja tetapi juga cara pemikiran.”

Jika kita membedah kenyataan-kenyataan di atas, kita akan dapat dilihat:

1. Orang miskin tidak produktif

2. Orang miskin hanya mengharapkan bantuan kerajaan

3. Orang miskin ada yang tidak berkemahiran

4. Orang miskin perlu ubah cara pemikiran

Sudah berapa dasar-dasar negara disediakan dan dilaksanakan dalam membangunkan masyarakat selaras dengan kepesatan pembangunan, alih-alih alasan negara belum sampai negara maju adalah kerana rakyat (orang miskin) malas. Masuk akal?

Jangan kita terkejut kalau-kalau pemimpin kita cetek akal fikiran. Menyalahkan individu atas sebab dia terus-terusan miskin adalah dangkal dan tidak punya imaginasi sosiologikal.

Kemiskinan bukan masalah individu. Apa yang Perdana Menteri kita perlu tahu, kemiskinan sudah menjadi sistem yang sarat, padat dan sendat hingga orang yang terperangkap di dalamnya terus ditelan kesusahan hidup-hidup. Tafsiran kemiskinan sering diukur dengan pendapatan isi rumah atau kekayaan material.

Kemiskinan juga merangkumi ketiadaan akses kesihatan, pendidikan, infrastruktur, kebebasan politik dan hak asasi, sumber dan sebagainya (Kartini, 2016).

Perkara yang paling penting adalah kemiskinan merupakan situasi serba kekurangan yang terjadi bukan atas kehendak dan kerelaan setiap isi rumah yang miskin (Norzita & Siti Hadijah, 2014).

Langsungnya daripada kekurangan segala akses yang dinyatakan di atas tadi merupakan antara punca kenapa golongan ini dilihat tidak produktif, ibaratnya orang miskin dilarang sakit, dilarang bersenang-lenang kerana harus berterusan membanting tulang.

Bergerak kepada poin orang miskin hanya mengharapkan bantuan kerajaan. Umumnya semua orang tahu betapa birokrasi yang untuk memohon sesuatu kepada pihak pemerintah pasti akan memakan masa yang lama dan panjang.

Adakah orang miskin punya masa untuk beratur menghadapi lapisan birokrasi yang lembab dan kurang efisien jika mereka harus membanting tulang setiap kudrat yang ada?

Soal orang miskin tidak punya kemahiran dan perlu berusaha untuk belajar sendiri. Untuk keluar belajar pun memerlukan wang – bukan semua pelajaran boleh datang dari langit atau hanya melalui pembacaan semata-mata.

Kalau tidak punya kemahiran, orang miskin perlu kerja lebih daripada satu pekerjaan. Ekonomi gig di Malaysia, menurut Roberto Benetello, CEO kepada EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry, hanya tertumpu kepada pekerjaan yang tidak berkemahiran seperti penghantaran makanan atau perkhidmatan ride-sharing. Kerja-kerja ini umumnya adalah eksploitasi yang teruk kerana mereka tidak mempunyai perlindungan seperti pekerjaan lain dan sering terdedah kepada risiko kemalangan yang sangat tinggi.

Di negara-negara maju, ekonomi gig mereka membawa definisi kerja yang berkemahiran tinggi seperti pereka, penulis, artis penggiat seni dan lain-lain. Soalannya disini, di manakah ruang masa untuk mereka mempelajari kemahiran baru jika hidup seharian hanya bekerja? Bukan sahaja miskin akses asas hidup, tetapi juga miskin masa!

Lantas, disuruh untuk mengubah cara berfikir?

Orang ramai yang duduk dalam tempurung sendiri tanpa melihat dunia sekeliling dan sekitar mereka sering mempersoalkan wujudkah kemiskinan?

Filem Malaysia kebanyakannya tidak membawa naratif kemiskinan secara utama. Walaupun, elemen-elemennya wujud tetapi mungkin terlindung berikutan daripada aksi atau jalan cerita yang mengkaburi naratif kesusahan itu sendiri.

Misalnya, filem Ejen Ali The Movie – Misi: Neo (2019) kita boleh lihat jalan cerita mengenai dua dunia yang berbeza. Cyberaya dalam proses mengembangkan bandar telah melakukan proses gentrifikasi yang menyebabkan kawasan yang kebanyakan orang miskin terpaksa berpindah dan hidup mereka bertambah susah. Alicia (Noorhayati Maslini) yang prihatin melihat keadaan Niki (Nabilah Rais) telah membantunya.

Persahabatan mereka terus terjalin rapat sehinggalah Alicia kemudian telah menjadi sebahagian daripada agen MATA – yang merupakan agensi rahsia melindungi bandar Cyberaya. Niki terus-terusan dengan ideologi mempertahankan hak orang-orang sama sepertinya hingga kalau kita tidak melihat dengan lapisan yang lain, kita mudah membawa naratif bahawa orang susah akan menjadi jahat hingga pengakhirannya.

Ayat sepatutnya digariskan dalam filem berkenaan (lebih kurang begini) – “orang macam kau tidak akan pernah faham orang macam aku.”

Dan itulah realitinya, orang senang yang semua benda sedia ada (seperti kehidupan Perdana Menteri) tidak akan pernah faham kehidupan masyarakat miskin. Yang mereka faham – akibat duduk dalam buih sendiri, orang susah adalah kesan daripada mereka yang tidak berusaha.

Walhal kesan daripada dasar dan polisi yang hanya melihat dan melaksanakan gerak kerja hanya untuk menghapuskan kemiskinan tetapi tidak membantu orang-orang yang berada kemiskinan – dengan memperbaiki sistem yang mengukuhkan lagi ketidaksamaan sosial hingga wujudnya jurang kelas sosial yang jauh.

3 views0 comments

Recent Posts

See All

Commenti


bottom of page