SITUASI yang melanda dunia kini begitu membimbangkan iaitu pandemik Coronavirus atau Covid-19. Pandemik ini melanda seluruh dunia yang kini telah meragut sejumlah besar nyawa dalam sehari. Seluruh institusi kerajaan seantero dunia terkesan dengan situasi ini daripada segi kestabilan ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat. Kestabilan kewangan dunia jatuh merundum dan memberi impak yang berskala besar kepada aspek-aspek yang melibatkan suntikan ekonomi di seluruh dunia. Perkara ini bukan satu gurauan namun, inilah merupakan realiti yang perlu kita hadapi kini dan perlu ditangani dengan bijak tanpa memberikan kesan yang besar terhadap setiap aspek dalam negara masing-masing.
Di bumi bertuah kita sendiri iaitu Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman pandemik Coronavirus atau Covid-19 ini yang kini telah meragut puluhan nyawa dan sudah beribu kes positif Covid-19. Hamparan jutaan terima kasih kepada para barisan hadapan yang bertugas berhabis keringat, masa dan tenaga untuk menghapus serta membendung pandemik ini daripada terus meloloskan rangkaian ke seluruh pelusuk wilayah di Malaysia. Kita amat bersyukur kerajaan Malaysia masih peduli akan kebajikan dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ledakan situasi pandemik ini menjejaskan beberapa sektor di Malaysia. Perniagaan Makro dan Mikro terjejas ekoran daripada situasi kini. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga menerima tempias keperitan dalam kitaran kemasukan pendapatan mereka disebabkan putus kitaran aktiviti jual beli dan pusingan modal. Apatah lagi rakyat marhaen yang cuma bergantung harap dengan hanya makan gaji. Pepatah halwa telinga berkata “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Berhadapan dengan situasi ini, segelintir yang makan gaji di beri cuti tetapi tidak di bayar gaji kerana majikan juga berhadapan dengan situasi getir aliran kewangan syarikat masing-masing.
Di sini penglibatan pihak kerajaan wujud dalam membantu golongan-golongan T20, M40 dan B40 dalam pelbagai ceruk sektor di dalam negara ini dengan menyediakan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat dalam pelbagai cabang bantuan untuk golongan-golongan yang dinyatakan. Malahan diumumkan lagi oleh Perdana Menteri Malaysia Bantuan Tambahan kepada golongan-golongan sasar yang terjejas. Bersyukur kita kerana lahir, hidup, berpijak dan bermastautin di Malaysia dengan pelbagai bantuan diberikan dan tidak membiarkan sesiapa terjejas teruk dengan situasi sekarang ini.
Namun agak menyedihkan apabila mendengar, melihat dan mengetahui bahawa terdapat golongan yang tercicir dan tidak terpeduli di saat getir masa kini. Golongan yang dinyatakan ialah golongan yang dibatasi dengan dokumentasi. Golongan yang tidak punya, tidak memiliki, dan tiada dokumentasi pengenalan sah negara Malaysia. Berbicara soal dokumentasi merupakan hal yang sensitif dan sering dibangkitkan sebagai provokasi kepada golongan yang ditujukan yang mana diomongkan mereka tidak layak ada, wujud, beranak, bertapak dan menerima keistimewaan seumpama rakyat sah Malaysia. Jika mengikut lunas undang-undang negara adalah benar bahawa mereka-mereka ini tidak layak menerima apa pun keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia kerana mereka merupakan rakyat luar lokaliti Malaysia. Tetapi jika mengikut laras nilai kemanusiaan, mereka juga berhak hidup cukup di negara Malaysia, asalkan tidak menjejaskan keselamatan, keamanan dan bebas aktiviti kriminal di Malaysia.
Minda rakyat Malaysia telah dikaburi dengan peribadi dan kelakuan sesetengah golongan tanpa dokumentasi sah di Malaysia ini yang terlibat dengan aktiviti Kriminal dan tidak baik menyebabkan sebilangan baki golongan ini menerima tempias negatif yang sama seperti yang terlibat melakukannya. Mereka hanya cuba mencari kehidupan mereka walaupun tidak serba kecukupan tetapi tetap bersyukur dengan apa yang mereka kecapi di bumi Malaysia berbanding golongan yang mencemar cerminan bersih ini dengan melakukan perihal buruk dalam Malaysia.
Bukan berniat untuk berpihak kepada golongan yang dinyatakan ini, tetapi nilai-nilai kemanusiaan membatasi segalanya yang mana mereka juga perlu belas kasihan, bantuan, pertolongan daripada pemerintah dan rakyat Malaysia dalam situasi mencengkam sekarang yang mana sumber pendapatan mereka terputus ekoran pemberhentian kitaran kerja mereka kerana wabak yang mampu meragut nyawa ini. Meraka hanya bergantung harap kepada kerja-kerja buruh untuk meraih pendapatan demi memenuhi kelengkapan sehari-hari. Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh binaan, pekerja ladang, pekerja pasar basah, nelayan, pembantu rumah dan sebagainya.
Sebahagian daripada mereka telah diberi cuti tanpa gaji dan ada yang terus bekerja kerana bidang kerja masih diperbolehkan untuk meneruskan pekerjaan seperti biasa. Kepada mereka yang telah terputus pendapatan, mereka tidak dapat meraih wang buat masa kini kerana tiada pekerjaan atau perniagaan yang dapat mereka lakukan. Malahan untuk bantuan kerajaan juga mereka tidak berkelayakan kerana kelayakan asas bantuan daripada pemerintah adalah warganegara Malaysia. Namun ada daripada mereka yang bakal menikmati bantuan daripada saluran Perkeso kepada pekerja-pekerja di bawah syarikat yang mana majikannya berkelayakan untuk membuat permohonan. Mereka bakal mensyukuri nikmat bantuan kerajaan kepada mereka yang berkelayakan ini daripada golongan mereka.
Tetapi bagaimanakah nasib golongan kekangan dokumentasi yang lain untuk meneruskan kehidupan seharian mereka di waktu PKP ini? Jawapan yang tulus daripada akal sihat ialah cuma nilai kemanusiaan yang berada di aras normal dan sewajarnya sahaja yang mampu membantu nasib mereka ini. Terdapat banyak bantuan dalam bentuk keperluan asas yang disalurkan daripada individu berkemampuan untuk menghulur bantuan, medium kebajikan parti-parti politik, Persatuan-Persatuan, NGO- NGO dan sebaginya. Malahan ada figura-figura dan organisasi yang sudah dikenali dalam melakukan aktiviti kebajikan sebegini juga turut tidak terlepas dalam menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Syabas diucapkan kerana masih ada yang peka dan peduli akan nasib susah yang di rasai rakyat Malaysia yang terjejas ekoran situasi kini.
Namun situasi di sesetengah tempat yang wilayahnya dirahsiakan masih mempolitikkan keadaan yang berlaku ini dan agak sedih jika diproses oleh minda, hati dan jiwa kemanusiaan. Cuma mereka yang berdaftar dan memiliki dokumen sah Malaysia sahaja yang layak untuk di bantu dan menerima bantuan. Golongan yang tidak layak ini hanya mampu melihat daripada jauh bantuan kepada keluarga yang jauh lebih layak daripada mereka. Sebak dada dan berkaca mata mendengar serta membaca berita sebegini daripada sumber-sumber yang sahih melalui pertanyaan mereka kepada keluarga-keluarga yang tercicir ini.
Kemanakah perginya sifat insani yang sanggup mengekang hati suci kemanusiaan demi sebuah keterbatasan dokumentasi? Sanggupkan melihat anak-anak kecil mereka berlapar tanpa menjamah makanan sampai berhari-hari hanya kerana sebuah dokumentasi yang terbatas? Kita tidak berada ditempat mereka. Kita tidak mengetahui jerih perih mereka. Tiada siapa yang berhak lapar dan menderita sedang keluarga yang lain serba kecukupan dan dibantu.
Namun amatlah berbesar hati sekali kerana masih ada individu-individu dan NGO-NGO yang masih mempunyai akal sihat, kasih sayang dan nilai kemanusiaan yang tinggi yang mana mereka-mereka ini tampil memberikan bantuan kepada golongan terbatas dokumentasi ini tanpa sekalipun mempertanyakan status kewarganegaraan mereka. Malahan organisasi- organisasi kolektif ini, membuat hebahan di laman sosial dengan meraih sumbangan orang ramai untuk membantu golongan tercicir ini dan turun padang untuk menyalurkan bantuan agar selamat sampai kepada golongan sasar mereka ini. Mereka ini layak menerima pujian dan pingat peduli insani. Lisan ingin berterima kasih dan mengucapkan syabas buat semuanya atas keprihatinan.
Begitulah bagaimana Maha Pencipta begitu bijaksana dalam mengatur setiap apa yang terjadi. Kejadian wabak ini memperlihatkan ramai lagi golongan yang peduli kepada kebajikan warga lain dan ada juga yang cuma penting akan diri sendiri. Yang Maha Esa memperlihatkan sikap sebenar di waktu genting sebegini. Sikap kemanusiaan dilitupi oleh kemegahan dan keegoan yang menarah sifat suci serta bersih dalam diri. Sudah menjadi ketentuan Yang Maha Esa bahawa tentera-tentera halusNya berupa virus mampu menggemparkan seantero dunia yang mana sikap angkuh, ego, buruk dan penting diri sendiri sirna dengan sendirinya dalam golongan masyarakat dunia dan tidak ketinggalan di Malaysia. Semoga kita dijauhkan daripada sikap tercela dan semoga kembali membenih nilai-nilai murni serta kemanusiaan dalam diri setiap umat masyarakat di Malaysia.
---
Nota: Artikel ini telah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Artikel Jurnal Sang Pemula.
Opmerkingen