top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

NEGERI BERLAPUK

Oleh W.N Khuzairey



JOHN RUSKIN antara manusia yang suka merantau keliling dunia sambil meninjau keindahan-keindahan yang ada pada sesebuah negeri. Venice adalah tempat yang paling dipuja oleh Ruskin kerana reka bentuk bangunannya yang terperinci dan kemas. Namun sekembalinya ke England, iaitu tempat kelahirannya sendiri dia terkejut apabila menyaksikan keadaan, susun atur, estetika bangunan, jalan raya juga persekitaran di sini sangat hodoh dan kotor berbeza sekali dengan apa yang pernah dilihat oleh beliau di Venice. Maka seorang Ruskin telah melihat perbezaan dua negeri; bersih dan kemas juga kotor dan tidak teratur. Menurut Ruskin kestabilan sesebuah negara itu boleh dilihat berdasarkan nilai estetik yang ada pada negara tersebut. Jika tidak dalam keadaan teratur dan bersih maka ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan politik mereka.


Kisah Ruskin ini menarik sekiranya kita merefleksinya pada daerah-daerah yang sedang kita duduki. Satu lagi kisah yang menarik untuk direnungi adalah Kisah Pelayaran Abdullah oleh Munsyi Abdullah. Munsyi telah mencatatkan segala ciri-ciri negeri yang penuh kelapukan semasa berlayar di sepanjang negeri Pantai Timur. Adakah tanda-tanda bahawa kita sedang menetap dalam sebuah negeri yang kemas dan teratur? atau sebenarnya kita sedang lemas dalam negeri yang berlapuk? Cuba kita ambil masa masa untuk perhatikan keadaan sekeliling kita. Jika benar negeri kita berlapuk apa ciri-cirinya?


Lapuk dan Melapukkan


Ada tiga ciri untuk menentukan bahawa negeri yang sedang kita duduki ini berada dalam keadaan yang lapuk. Satu, keadaannya tidak tersusun termasuk rosak, sopak, kotor dan tidak berseri. Kebiasaan ciri ini dijelmakan pada kemudahan-kemudahan awam. Contohnya jalan raya. Adakah jalan raya kita bebas dari sampah di kiri dan kananya? Juga adakah kualiti jalan raya kita berada pada tahap maksima atau hanya penuh dengan lubang dan jalan yang tidak rata. Di daerah seperti Pekan Nenas dapat kita lihat yang jalannya langsung tidak diperbaiki. Bagaimana pula dengan bangunan-bangunan yang ada? adakah ia diurus dengan rapi? seperti sekolah misalnya. Bila kali terakhir sekolah yang ada berdekatan dengan anda dicat kemas? bagaimana dengan hospital? perpustakaan? perhentian bas? semak-samun, longkang di tepi jalan semuanya memperlihatkan keadaan yang tak kemas, rosak, sopak kotor apa lagi berseri.


Apabila kita menerima kelapukkan sebagai satu yang biasa, normal dan standard merupakan ciri kedua bahawa kita sedang duduk dalam negeri yang lapuk. Jika sarjana seperti Ortega Gasset bimbang dengan ciri manusia lambak kerana memaksakan sesuatu taste yang buruk menjadi satu standard buat masyarakat, saya pula bimbangkan sekiranya negeri yang lapuk tak diendahkan oleh masyarakat. Sudah mula ada perkataan “syukur” yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat untuk menggambarkan bahawa kesemua ini sudah cukup, cuma manusia yang tidak bersyukur apa adanya. Ini konsep syukur yang salah. Sepatutnya fasiliti yang ada itu terjaga dan bersih supaya ia memudahkan masyarakat sendiri untuk menggunakkannya jika tidak apa guna fasiliti-fasiliti juga prasarana yang dibuat tapi penuh herot disini sana?


Ketiga, kondisi yang tidak terurus dan terawat itu tak diendahkan. Inilah yang paling parah dan menyebalkan. Mana mungkin keadaan yang tak teruk, sopak, rosak, kotor hanya dibiarkan tanpa ada pengawalan, pembaikan yang rapi daripada pihak yang bertanggungjawab? Kita semua hidup dalam negara yang ada kepimpinan, ironinya sebenarnya apa yang dipimpinkan? Sepatutnya ada usaha pembaikan yang efisien bukan hanya duduk di pejabat untuk menunggu masa pulang. Kita semua sayangkan negeri kita, tapi adakah kita benar-benar menyayanginya? Bayangkan sebatang lampu isyarat yang rosak memakan masa berjam-jam atau mungkin berhari-hari untuk dibetulkan. Itu baru lampu isyarat belum hal-hal yang lain. Isu-isu kebajikan semisal untuk warga kurang upaya lagilah jauh dari diwujudkan. Sepatutnya mereka inilah yang paling lantang membela, membinakan kemudahan buat memudahkan perjalanan seharian kelompok ini. Tugas autoriti yang sebenar bukan menyimpan laporan, sebaliknya menyelesaikan segala laporan. Mereka hari-hari melalui kawasan yang sama tidak-kah terdetik dalam hati mereka untuk melakukan pembaikan, supaya semua manusia dapat menggunakkannya dengan penuh keselesaan?


Kesan Negeri Berlapuk


Sedar atau tidak negeri berlapuk ini akan mengakibatkan kita hilang nilai estetika. Kata Syed Hussien Alatas estetika itu seiring dan bersama dengan pembangunan. Bagaimana kita mahu mengharapkan pembangunan yang tersusun, maju dan moden sekiranya kita tidak punyai nilai estetika? Belum apa-apa lagi sudah rosak, berlumut, kotor di sini sana umpama gajah putih yang tunggu masa untuk dihancurkan. Ini bukanlah sebuah negeri yang di idamkan


Kesimpulan


Teringat saya pada filem Bujang Lapok, yang menontonnya tertawa berdekah-dekah kerana jalan ceritanya yang lucu. Tapi sedarkah kita bahawa Bujang Lapok adalah manifestasi awal kepada ciri-ciri manusia yang tidak boleh dipakai lalu dinaiktaraf menjadi manusia berguna. Sebenarnya budaya Melayu memang sudah menolak benda-benda yang lapuk kerana bagi kita yang berlapuk itu tidak boleh digunakan dan tidak baik. Nah, begitu jugalah dengan negeri berlapuk. Mahu atau tidak kita perlu membuang konsep negeri berlapuk lalu menggantikannya dengan konsep negeri dan masyarakat berseri. Negeri berseri itu cirinya berlawanan dengan apa yang ada pada kita sekarang ini. Kewujudan negeri berseri itu merupakan antara titik tolak atau depature point kepada pembangunan dan kemajuan. Sekiranya tidak terlaksana, eloklah kita menarik kembalik selimut yang ada di kamar, sambil memimpikan kemajuan-kemajuan yang kita mahukan.

33 views0 comments

コメント


bottom of page