Oleh: Azura Nasron
Kegagalan Budaya Perbincangan
Budaya perbincangan merupakan perkara penting dalam membentuk pemikiran kritis sesebuah masyarakat. Tanpanya, idea-idea yang berlegar di medan akademik selalunya akan terdiam beku hingga ke tahap tidak bisa dirungkaikan. Henry Giroux, seorang penulis yang membincangkan hal Pedogogi Kritis telah mendefinisikan kritis sebagai keupayaan untuk mempertanyakan dan mengungkapkan hubungan-hubungan di antara kekuasaan di dalam masyarakat yang menciptakan penindasan dan ketidakadilan sosial. Dengan ini, ia memberikan satu wawasan yang lebih luas dalam mendorong masyarakat untuk terlibat dalam perubahan sosial, dalam konteks yang lebih bebas dan adil. Maka, dalam hal ini, Giroux dan Freire bersetuju dan bersepakat bahawa ia akan tercapai melalui pendidikan. Namun, apa yang harus dibincangkan adalah konteks pendidikan yang mana yang harus dilihat dan diangkat.
Pertama sekali, marilah kita memikir-ulang semula realiti pendidikan pada hari ini. Bertahun-tahun di sekolah, daripada umur tujuh tahun sehingga tujuh belas tahun, pendidikan hanyalah suatu kerja penat seperti menghafal dan muntah di atas kertas peperiksaan. Tidak ada mana-mana lagi sekolah yang mempunyai kumpulan-kumpulan perbincangan yang mandiri atau sekurang-kurangnya bebas daripada silibus-silibus institusi. Paling-paling jika ada pun hanyalah di sekitar guru agama para asatizah dan muridnya. Itupun berlegar dalam konteks keagamaan, dosa-pahala, aurat dan sebagainya. `
Bergerak ke alam universiti, budaya perbincangan ini masih tetap sukar untuk terus menumbuh dalam kalangan mahasiswa, baik dari sarjana muda hinggalah ke tahap doktor falsafah, sepertinya mandom sekali. Mengambil pengalaman peribadi dan penglihatan dari kaca mata sendiri, sebagai salah seorang pelajar Sains Politikdi sebuah univerisiti di Malaysia, sepanjang tiga tahun pengajian, hanya ada segolongan kecil pelajar yang aktif menjalankan aktiviti perbincangan. Lokasi kepada aktiviti ini sering dilakukan pada waktu malam diceruk-ceruk bangunan supaya sukar dikesan pihak pentadbiran kerana membuat perbincangan yang sifatnya ‘haram’ atau radikal. Bagaimanapun, budaya ini sebenarnya perlahan-lahan beransur hilang. Amat menyedihkan, fakulti yang terasnya sains kemanusiaan pun gagal untuk mendirikan sebarang aktiviti-aktiviti perbincangan apatah lagi kritis.
Jawi Dalam Sistem Pendidikan
Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan lagi dengan berita mahu mewajibkan tulisan jawi di sekolah. Soalnya, adakah ini salah satu reformasi pendidikan yang mahu diketengahkan oleh para pemerintah kini? Adakah menulis jawi nanti akan menyelesaikan dua fenomena di atas? Adakah tulisan jawi ini mampu melahirkan masyarakat kritis selepas sepuluh tahun persekolahan? Menurut Giroux, secara global, konsep reformasi pendidikan biasanya diajukan untuk mengubah pendidikan menjadi semakin tidak kritis. Jadi dengan ini lebih mudah untuk para pemerintah menjadi semakin otoriter. Nah, jadi persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab dengan jelas dahulu oleh pihak pemerintah dengan mengetahui apakah fungsi sebenar satu reformasi itu dijalankan.
Mungkin atas dasar skeptik pada segala gerak geri pihak pemerintah, dilihatnya cubaan ini hanyalah untuk memenangkan hati majoriti orang Melayu yang sudah asyik ditekan dengan isu-isu seperti UEC dan ICERD. Jadi dengan pantas, pemerintah merasakan ini adalah cara yang terbaik untuk mengambil alih semula perhatian mereka dengan mengembalikan sesuatu yang dekat pada diri majoriti Melayu ini. Sebetulnya mewajibkan jawi ini bukanlah untuk mengembalikan satu budaya orang Melayu di tanah Melayu atau apa-apa. Malah, selama ini pelajar agama Islam yang diwajibkan menulis jawi pun gagal untuk keluar, membaca dan menterjemahkan teks-teks tulisan jawi yang bagus-bagus isinya. Jadi sebenarnya apakah yang diharapkan selepas ia diwajibkan untuk semua?
Menurut Giroux lagi, ‘kritis ini penting seperti menawarkan pisau untuk melakukan kritik terhadap pandangan-pandangan lama yang sudah ketinggalan zaman, merumuskan pandangan baru tentang manusia dalam hubungannya dengan lingkungan sosial, dan mendorong orang untuk terlibat di dalam proses pembentukan masyarakat demokratis yang adil dan makmur.’
Jelas, dalam membicarakan kemodenan kini, Malaysia sangat jauh ditinggal ke belakang. Moden di sini bukan dari segi berapa banyak universiti di ranking dunia, berapa banyak kertas kajian (research paper) dikeluarkan dari universiti, tetapi yang dimaksudkan adalah dari segi keilmuan. Terlalu banyak perbincangan-perbincangan yang masih belum diselesaikan, dari hal sejarah, agama, dan bangsa. Masih banyak lagi perkara yang dilenyapkan, disenyapkan dan dibiarkan. Silibus-silibus institusi yang masih lemah dan berat sebelah. Karya-karya yang lumayan tidak pernah institusi pemerintah cuba untuk menterjemahkan buat bacaan di sekolah-sekolah, universiti dan perpustakaan. Apatah lagi karya-karya yang baru, idea-idea yang tidak dikeluarkan, langsung tidak diendahkan.
Maka, yang ada pada sistem kini hanyalah ulangan. Pusing dan pusing dalam tampuk yang sama dan yang akan selalu menang hanyalah politikus pemerintah dan yang selamanya terkesan adalah nasib negara bangsa.
Bergerak ke Hadapan
Pada titik ini, sistem pendidikan kita masih lagi penjara bagi guru dan murid. Fokus para pengajar hanyalah untuk membentuk manusia-manusia yang mampu menyelesaikan tugasan dan menjawab peperiksaan. Tidak cukup dengan masalah ini, hamparan neo-liberalisme menyebabkan pendidikan menjadi lebih sempit demi memenuhi kepentingan para korporat dan industri. Menghafal itu lebih baik daripada menganalisis dengan kritis. Sepertinya, kepatuhan berformat pada teks-teks jawapan lebih bernilai daripada kreativiti. Acara menjatuhkan pihak lain adalah lebih bernilai daripada bekerjasama yang berpijak pada solidariti. Jadi seharusnya pendidikan dibuka dan dibincangkan secara meluas lagi.
Akhir kata, tidak dapat dinafikan lagi banyak apa-apa seni kehalusan bahasa, tulisan dan budaya lain lagi kayalah pengalaman dan kefahaman masyarakat berbilang etnik ini. Namun persoalannya, sudahkah kita bersedia menghadapi ketegangan kaum yang berpanjangan ini dengan menggunakan polisi institusi atas nama penyatuan, identiti bangsa, asimilisasi atau haruskah kita kembali melihat masalah akar kepada semua ini?
P/s: Perkara ini boleh dibincangkan daripada pelbagai sudut kaca mata. Namun hakikat sebuah teks itu sentiasa terbatas. Selamat membaca dan mengkritik!
Seronok betul baca nukilan Tuan Muziru 😁💯