top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

MENJADI PEREMPUAN JOMBLO DI TENGAH PATRIARKI

oleh Andi Suraidah.



TULISAN ini aku nukilkan atas sebab dorongan perasaan yang kuat ketika membaca tentang artikel ini. Bayangkan hampir setiap baris yang aku baca, diikuti dengan anggukan dan laungan, YAS! YAS!


RUPANYA AKU TIDAK BERSENDIRIAN!


Memang artikel tersebut ditulis 2 tahun lepas namun sehingga ke hari ini, situasi tidak banyak berubah. Aku sempat meninjau belanjawan 2019 pun, jika diteliti peruntukan yang dikhaskan untuk kaum perempuan, lebih memfokuskan golongan ibu atau mereka yang sudah bernikah.


Kebenarannya, setiap bait kata, setiap hujah yang dikemukakan, begitu dekat dengan pengalaman aku sendiri, dan rakan-rakan perempuan lain yang dikategorikan ‘bujang’ ditengah lautan lebih 3 juta (dan terus bertambah) perempuan jomblo di Malaysia.


Bayangkan sekitar tahun taksiran 2013 hingga 2015, perempuan jomblo menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai pendapatan berjumlah RM3.461 bilion daripada jumlah keseluruhan RM65.5bil! Namun malang sekali masih tidak ada polisi khusus untuk golongan bujang, menurut Prof Dr Azman Azwan Azmawati, Prof Madya di Universiti Sains Malaysia (USM).


Dengan lebih ramai perempuan mendapat pendidikan tinggi dan memasuki pasaran pekerjaan, semakin ramai yang memilih untuk kekal bujang atau menjadi ibu tunggal. Tapi jangan salah sangka, desakan sekeliling agar golongan jomblo ini menikah tetap datang.


Bagi perempuan jomblo yang bekerja, timbul jangkaan dan harapan daripada pihak keluarga agar mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar, ini bermakna lebih ramai ketua keluarga dipimpin oleh golongan perempuan jomblo. Memegang peranan sebagai ketua keluarga tidak bermaksud terbebas daripada melakukan kerja domestik. Persoalan yang wajar dilontarkan, adakah laki-laki jomblo menerima nasib yang sama sekiranya mereka diangkat sebagai ketua keluarga?


Perempuan jomblo yang tidak menikah pula lazimnya menjadi sandaran untuk menjaga ibu bapa yang menua kerana adik-beradik mereka yang sudah berkeluarga diberi kelonggaran untuk memikul tanggungjawab tersebut atas alasan keluarga mereka sendiri mesti diberi keutamaan. Selain daripada bias peranan gender, bias status pernikahan turut ditonjolkan dalam situasi ini yang akhirnya menjurus kepada pensudutan perempuan jomblo, berbanding laki-laki jomblo.


Yang menjadi cabaran adalah pembahagian peranan gender yang begitu kaku di antara perempuan dan laki-laki pada amnya mempengaruhi cara pandang bagaimana pekerjaan di ruang lingkup awam dan peribadi dibezakan oleh masyarakat. Budaya patriarki yang secara sistemik menjulang laki-laki sementara merendahkan perempuan, menempatkan laki-laki, hampir sentiasa walau tidak semestinya, berada di posisi di atas perempuan di dalam struktur sosial.


Secara efektif, ia akan merugikan kaum perempuan jomblo lebih daripada kaum lelaki jumblo, bagaimana? Stereotaip. Pekerjaan di dalam ranah peribadi serta merta dianggap sebagai ‘kerja perempuan’, ini termasuklah menjaga urusan rumah tangga, walaupun tiada bersuami, manakala kaum lelaki ‘is expected to work’ in the ‘real world’ getting ‘real job’. Status pula direndahkan hanya kerana tiada ‘suami’ sebagai pasangan hidup, hidup tidak lengkap, kata mereka jika belum bernikah. Seolah-olah nilai seorang perempuan itu tertakluk kepada status pernikahan semata-mata. Seolah-olah perempuan memilih untuk kekal bujang bukan atas kemahuannya sendiri. Apabila sudah bernikah pula, perkongsian hidup antara dua manusia belum lengkap tanpa hadirnya anak pula. Never-ending expectations after expectations.


Sebesar mana pun sumbangan golongan perempuan jomblo kepada negara, namun secara kategori masih dipinggirkan. Mungkin ada yang pantas menyangkal kenyataan ini, kata mereka perempuan di Malaysia berpeluang belajar di universiti, boleh keluar bekerja dan mendapatkan pekerjaan yang elok, ada yang memegang posisi tinggi di syarikat multinasional dan sebagainya. Sesungguhnya mereka hanya melihat perempuan sebagai kelompok hegemoni tanpa menganalisis lebih jauh akan persimpangan atau persilangan (intersectionality) diskriminasi lain yang mungkin tidak terlihat secara langsung.


Sebagai manusia kita mempunyai berbilang identiti sosial, di satu sisi mungkin kita tidak didiskriminasi kerana kita menganut sebuah agama majoriti, tetapi di sisi lain mungkin gender menjadi faktor diskriminasi. Jika kamu seseorang yang kekurangan upaya, status sosial kamu pasti di bawah seseorang warga umum, dan diskriminasi ke atas kamu mungkin didasarkan oleh kekurangan upaya tersebut, malah boleh jadi berganda lapisan diskriminasi sekiranya kamu adalah seorang trans-perempuan, dan lain sebagainya lagi.


Seorang perempuan tetap utuh dan lengkap sebagai manusia tanpa perlu mengubah status Cik kepada Puan, kerana apa yang kita lakukan ke atas tubuh kita sendiri adalah hak dan tanggungjawab kita, tanpa perlu dipaksakan oleh norma-norma yang melemaskan.

119 views0 comments

Comments


bottom of page