Sekarang ini di mana-mana, frasa “Rahmatan lil ‘Alamin” sering kedengaran, terutama daripada parti pemerintah dan juga Menteri Agama. Tidak ketinggalan sebahagian Islamis juga membunyikan nada yang sama. Seruan ini dilaungkan dengan penuh bangga kerana bunyinya yang sungguh sedap, barangkali kerana ia diambil langsung daripada ayat Quran dan sudah pasti kerana intinya berperisa progresif di tahap maksima. Lalu frasa ini disebut berulang-ulang untuk menggambarkan diri merekalah manusia yang paling progresif dan sekali gus cuba untuk memenangi rakyat terbanyak dengan potongan ayat Quran yang tiga patah perkataan ini. Segala macam konsep dan projek ditempel dengan rahmatan lil ‘alamin dan disekalikan dengan maqasid syariah. Terbaru, Sustainable Development Goals juga ditempel dengan rahmatan lil ‘alamin. Kalau SDG itu ada satu bulatan, akan ada satu bulatan lagi, iaitu bulatan maqasid. Kata Pak Menteri, maqasid syariah dapat membantu untuk mencapai cita-cita sustainable pembangunan lestari yang digagaskan oleh PBB. Sampai sekarang, kita masih tertanya-tanya, apakah usul yang Pak Menteri mampu kedepankan dengan teori maqasid syariah? Yang kita hanya dengar, “maqasid syariah” sahaja merata-rata, tetapi projek dan usul untuk memaqasidkan institusi-institusi Islam ni masih tidak nampak sampai sekarang. Begitu juga dengan slogan “rahmatan lil ‘alamin”, tidak lebih hanya daripada sekadar slogan kerana kita juga masih tertanya-tanya rahmat mana yang Pak Menteri dah berusaha untuk bawa untuk dinikmati oleh sekalian unsur alam di bumi Malaysia bertuah ini kerana nyatanya masih ramai lagi yang tertindas dengan peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh institusi-institusi Islam. Daripada pengurusan wang zakat, wakaf sehinggalah ke undang-undang syariah dan fatwa, semuanya masih lompong ruh maqasid syariahnya. Terbaru, pesakit kanser tahap empat yang terlantar di atas katil terpaksa juga diusung ke pejabat KWSP semata-mata untuk memberikan cap jari demi mengeluarkan wang carumannya untuk merawat penyakitnya kerana pegawai KWSP tidak mahu datang sendiri ke hospital untuk mengambil cap jari. Kalau Pak Menteri sedar, karenah birokrasi yang merapu ini tidak maqasidi, pasti ini juga akan masuk dalam pertimbangannya untuk beliau cuba ubah. Untuk memahami rahmatan lil ‘alamin di negara kita ini, kita tidak mampu mendapatkan pemahamannya dek kerana tidak menemukan manifestasinya secara jelas kerana rahmatan lil ‘alamin ini hanya sekadar sebuah sebutan sahaja. Saya berkesempatan berkunjung ke Indonesia baru-baru ini, dan saya dapati ungkapan ini juga sering kedengaran di mulut orang, mulut-mulut pak kiyai, ibu nyai, santri-santri serta para intelektual di sana. Rahmatan lil ‘alamin bukan sahaja menjadi kosa kata seharian mereka, tetapi cuba dimaknai dalam wacana dan praktik mereka sehari-hari. Kiyai Husein Muhammad ada mengungkap satu ayat yang cukup bermakna untuk memahamkan bagaimana caranya untuk memanifestasikan rahmatan lil ‘alamin. Kata beliau, “engkau adalah aku yang lain”. Melihat orang lain sebagai diri kita sendiri dalam bentuk yang lain akan membuatkan kita melayani orang lain sebagaimana kita mahu dilayani. Tidak mungkin kita akan melayan orang lain dengan cara yang tidak menyenangkan mereka apatah lagi menyakiti mereka jika kita melihat mereka sebagai diri kita sendiri. Kita sukar untuk berlapang dada dan toleran dengan orang yang tidak sama pegangan dan pemikiran dengan kita apabila kita menganggap mereka bukan sebahagian daripada diri kita. Pesan ‘Ali radhiAllahu ‘anhu kepada Malik Al Ashtar wajar untuk direnungi sejajar dengan ungkapan Kiyai Husein tadi. Kata beliau, “manusia itu terbahagi kepada dua, sama ada saudara kamu dalam agama atau saudara kamu dalam kemanusiaan”. Kemudian pesan Nabi SAW kepada kita semua, “Kamu tidak (dikira) beriman sehinggalah kamu menyayangi saudara kamu sebagaimana kamu menyayangi diri kamu sendiri”. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Saya kira kita tidak punya alasan untuk tidak memaknai frasa “saudara kamu” dengan makna saudara kemanusiaan, melangkaui saudara seagama seiman berdasarkan pesan Ali bin Abu Talib kepada Malik Al Ashtar itu. Melayan orang lain sebagaimana kita mahu dilayan yakni tidak ada dual standard dalam layanan kepada orang lain adalah kunci kepada keadilan hakiki. Di pesantren Pondok Kebon Jambu Al Islamy, Cirebon, saya dan teman-teman ditayangkan video dokumentari yang bertajuk “A Boarding School”. Dokumentari tersebut memaparkan aktiviti sehari-hari kehidupan di pondok Kebon Jambu. Saya diilhami lagi di sini tentang apa itu rahmatan lil ‘alamin. Ada satu babak memaparkan seorang kiyai sedang memberikan kuliah kepada anak-anak santrinya. Beliau mengajarkan bahawa Tuhan itu Al Rahman dan Al Rahim. Al Rahman itu maknanya memberi rahmat dan kasih sayang kepada semua makhlukNya tanpa mengira makhlukNya itu kafir atau Islam. Sementara Al Rahim itu bermakna memberi rahmat kepada orang yang beriman di hari akhirat. Justeru, kalau di dunia Tuhan memberi rahmatNya kepada semua tanpa memilih antara yang kafir atau Islam, akhlak kita di dunia kepada semua orang harus mengikut sifat Al Rahman, mengasihi dan berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira siapapun dia kerana dia adalah makhluk al Khaliq. Urusan hari akhirat bukan urusan kita untuk membawanya ke hari dunia. Di pondok pesantren ini, anak-anak santrinya diajar untuk menghormati dan menghargai perbezaan. Berulang kali dipesankan dan diperingatkan agar tidak memusuhi perbezaan dan menghormati orang lain meski berbeza fahaman dan kepercayaaan. Kerana bibit-bibit permusuhan dan perpecahan berpunca daripada tidak menghormati dan menghargai perbezaan. Dari situlah datangnya toleransi dan usaha-usaha menyebar damai. Tidakkah Tuhan telah memberitahu kita bahawa dijadikan kita berbeza-beza supaya kita saling berkenal-kenalan, bukannya untuk bergaduh dan bermusuhan? Tidak hairanlah Nabi SAW sangat tegas dalam larangan baginda terhadap perbuatan mengkafirkan orang lain kerana mengkafir-kafirkan orang hanya mencetuskan permusuhan dan mengundang pertelingkahan yang merosakkan kedamaian. Rahmatan lil ‘alamin tidak akan terealisasi hanya dengan toleransi, menyebar damai, dan menghormati perbezaan semata-mata. Di Jakarta, Kiyai Ulil Abshar mengajarkan kami bahawa keadilan dalam Islam itu tidak akan bisa tercapai tanpa pemihakan terhadap golongan mustadh’afin atau golongan orang yang tertindas. Tertindas ini bukan sahaja orang-orang miskin tetapi orang-orang yang tidak dapat menikmati haknya untuk hidup sebagai manusia yang bermartabat seperti kumpulan minoriti dan golongan marginal. Maqasid syariah tanpa pemihakan golongan tertindas dan marginal adalah tidak maqasidi kerana keadilan hakiki hanya bisa terealisasi bila golongan tertindas dibela. Teringat saya kepada undang-undang kita yang tidak memihak perempuan terzalim oleh suami yang culas dalam tanggungjawabnya. Jelas amat maqasid syariahnya tiada. Pengajaran ini semua mengajar saya bagaimana rahmatan lil ‘alamin itu dapat dimanifestasikan dalam kehidupan seharian dan wacana, juga dalam pembuatan polisi. Skeptik dan pesimis orang Malaysia terhadap slogan “Rahmatan lil ‘Alamin” ialah kerana selain ia berbunyi Arab, ia hanya tidak lebih daripada sekadar sebutan di bibir pemerintah sahaja tanpa ada tindakan yang memanifestasikan ia dengan sebenar-benarnya. Nyatanya, “Rahmatan lil ‘Alamin” bukanlah satu jenama atau penamaan konsep yang dibangunkan dengan membuat projek-projek tertentu tetapi ia adalah spirit yang patut dijiwai oleh setiap manusia yang mengaku dirinya beriman kepada Tuhan Al Rahman.
top of page
bottom of page
Comments