Oleh Basri M.
BUKU: Islam Di Persimpangan Jalan (Terjemahan Islam at the Crossroad)
“Buku ini aku dedikasikan kepada generasi muda Islam hari ini dengan harapan ia memberi manfaat.”-Muhammad Asad (1900-1992)
Beberapa tahun menjelang Perang Dunia II, Muhammad Asad menulis sebuah buku, Islam di Persimpangan Jalan. Kini, kita sudah memasuki abad ke-21, sementara dunia Islam belum banyak beranjak dari posisinya di persimpangan jalan. Sukar sekali bagi umat yang mengaku percaya pada Al-Quran ini untuk meninggalkan persimpangan itu. Buku Islam Di Persimpangan Jalan ini adalah merupakan buku terjemahan daripada karya asal Muhammad Asad yang bertajuk ‘Islam at the Crossroad’ yang diterbitkan di Delhi dan Lahore pada 1934. Untuk edisi terjemahan kali ini ia diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front dimana kerja-kerja terjemahan dilakukan oleh Dr. Ahmad Nabil Amir dan Dr. Farouk Musa sebagai Editor.
PENGENALAN DAN BIODATA PENULIS
Muhammad Asad (1900-1992) dilahirkan di Lviv (Lemberg) Galicia, kini merupakan Ukraine adalah salah seorang pemikir, penulis, wartawan, pengembara dan diplomat Islam yang namanya agak kurang didendangkan sama ada di Barat mahupun pada kebanyakkan umat Islam sendiri. Assad bukanlah seorang Arab, beliau adalah seorang Eropah yang agama asalnya Yahudi (datuknya merupakan Rabbi Yahudi) dan menemui kebenaran Islam dengan pelbagai cara seperti pengembaraan, diskusi, dialog, pembacaan dan pergumulan antara kerohanian dan intelektual sepertimana yang beliau catatkan:
“Perhatianku terhadap bangsa-bangsa yang aku kunjungi itu mula-mula adalah sebagai orang luar saja. Aku melihat susunan masyarakat dan pandangan hidup yang pada dasarnya berbeda dengan susunan masyarakat dan pandangan hidup orang-orang Eropah, dan sejak pandangan pertama, dalam hatiku telah tumbuh rasa simpati terhadap pandangan hidup yang tenang, yang boleh aku katakan lebih bersifat kemanusiaan jika dibanding dengan cara hidup Eropah yang serba terburu-buru dan mekanistik. Rasa simpati ini secara perlahan-lahan telah menyebabkan timbulnya keinginanku untuk menyelidiki sebab adanya perbedaan itu, dan aku menjadi tertarik dengan ajaran-ajaran keagamaan orang Islam. Dengan persoalan ini, aku belum merasa tertarik cukup kuat untuk memeluk agama Islam, akan tetapi telah cukup membuka mataku terhadap suatu pemandangan baru mengenai masyarakat kemanusiaan yang progresif dan teratur, dengan mengandung hanya sedikit pertentangan, tapi dengan rasa persaudaraan yang sangat besar dan sungguh-sungguh, walaupun kenyataan hidup orang-orang Islam sekarang masih jauh berbeda dengan kemungkinan-kemungkinan yang dapat diberikan oleh ajaran-ajaran Islam.”
[Muhammad Asad, The Road to Mecca]
Pada pengamatan saya setelah membaca dan menelusuri Asad secara hemat, beliau bukanlah tipikal mualaf seperti kebanyakkan yang lain. Asad merupakan ‘orang asing’ yang memeluk Islam dengan kemahuan yang tinggi dan seterusnya terjun bersama dalam kancah masyarakat dan menjadi pemikir yang berusaha untuk memecahkan serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah umat ketika itu yang mana secara umum boleh dibahagikan kepada dua golongan yang berada di kutub yang saling berseberangan. Golongan yang pertama ialah mereka yang terlalu kagum dan taksub dengan Barat. Golongan yang kedua pula ialah mereka yang berfahaman konservatif dalam beragama. Sosok Asad tidaklah seperti golongan-golongan ini. Beliau rasional malah berusaha untuk membina jambatan harmoni diantara kehidupan Barat dan tradisi Islam. Penyeruan Asad terhadap Muslim ketika itu adalah kembali kepada ajaran Islam yang sejati iaitu berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi dalam masa yang sama boleh mencedok apa yang bermanfaat daripada Barat, bukan berperang secara melulu. Hal ini dapat dibuktikan dengan memetik tulisan Asad dalam Islam di Persimpangan Jalan, muka surat 58:
“Protes terhadap pendidikan Barat bagi masyarakat Islam tidak sedikitpun bermaksud bahawa Islam menentang pendidikan seperti itu… Al-Quran sarat dengan tuntutan untuk belajar ‘supaya kamu menjadi bijaksana’, ‘supaya kamu berfikir’, ‘supaya kamu mengetahui’.”
Membaca dan mengenali Muhammad Asad akan membawa kepada suatu penemuan yang sangat unik dimana beliau adalah antara individu yang banyak memberi kefahaman serta menyeru kebangkitan (revivalisme) Islam dalam pelbagai karya-karya beliau yang monumental seperti Islam at the Croosroad, The Principles of State and Government in Islam, The Message of the Quran, The Road to Mecca dan lain-lain. Beliau juga sedar atau tidak merupakan individu yang sehabis baik berusaha untuk mengharmonikan dialektika antara keilmuan Barat dan Timur dengan membina jambatan yang mana bermanfaat dan objektif (tanpa terlampau berpihak dan terlalu anti). Walaubagaimanapun, terdapat beberapa tokoh akademia Timur yang melemparkan tuduhan kepada beliau sebagai ‘Orientalis’ yang secara halus ingin serta sedang merosakkan sejarah peradaban dan keilmuan Islam hanya semata beliau merupakan seorang figura Barat Yahudi yang memeluk Islam.
GAGASAN IDEA DALAM KARYA INI
Antara gagasan idea yang dibawa oleh Muhammad Asad dalam karya ini menurut pemerhatian pembentang pada asasnya merupakan seruan kepada umat Islam untuk menghindar taklid buta terhadap bentuk dan nilai sosial Barat, dan cuba untuk memelihara sebaliknya warisan Islam mereka, yang suatu masa dulu bertanggungjawab terhadap pelbagai-sudut fenomena sejarah, yang gemilang, yang terangkum dalam istilah “peradaban Islam”. Kehidupan Barat yang serba-serbi mekanistik dan materialistik – istilah yang diberi oleh penulis sendiri telah membuatkan Umat Islam juga telah menyanjung kehidupan sebegini padahal mereka telah kekeringan rohani dalam kehidupan mereka. Didalam bab 2 Semangat Barat, penulis dengan teliti menghuraikan perbezaan perkembangan peradaban Barat dan peradaban Timur.
Selain itu, buku ini juga melihatkan sisi penulis yang sangat optimistik dengan kebangkitan semula Islam dengan beberapa syarat iaitu sikap kita (Muslim). Memetik buku Islam Di Persimpangan Jalan, muka surat 106:
“Apa yang harus kita perbaharui adalah sikap kita terhadap agama, kemalasan kita, keangkuhan diri kita, kepicikan (kekurangan) kita – pendeknya, kekurangan kita dan bukan kononnya sebahagian dari kekurangan Islam.”
Tambah Asad lagi;
“Perubahan harus berlaku, tetapi ia harus merupakan perubahan dari dalam diri kita sendiri – dan ia harus menuju dalam arah Islam dan bukan menjauh darinya.”
Tambahan pula, rencah utama didalam buku ini sepertimana yang disebutkan didalam nota pengarang kepada edisi semakan iaitu “kebangkitan semula” dan “pemeliharaan” – yakni memelihara bentuk dan nilai lampau kita yang masih relevan kepada realiti Islam sebagai kekuatan yang menghasilkan budaya, dan menghidupkan semula semangat ideologi Islam sebagaiman diekspresikan dalam al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabi saw. Walaubagaimanapun, mesej yang ingin disampaikan penulis kini banyak yang telah disalahtafsir oleh pemimpin Muslim dan pembaca Muslim yang berfikir hanya cukup untuk setakat kembali kepada bentuk sosial yang terbukti dalam kurun kemunduran umat Islam yang lalu.
Rujukan:
Asad, Muhammad, Islam Di Persimpangan Jalan, terjemahan Islam at the Crossroad terbitan Islamic Renaissance Front. (2016).
Asad, Muhammad, The Principles of State and Government in Islam terbitan Islamic Book Trust. (2014).
Seminar Pemikiran Reformis Siri IV – Muhammad Asad, 24 September 2016, anjuran Islamic Renaissance Front, Concorde Hotel Kuala Lumpur.
Comments