top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

MELIHAT HEGEMONI, PSIKOLOGI FEUDAL DAN KEKUASAAN POLITIK BEKERJA oleh W .N Khuzairey

“Pemberian bantuan…langsung, (hanya) mengalihkan perhatian rakyat agar mereka melupakan keadaan sosial yang tidak adil, yang sebenarnya menjadi penyebab kemiskinan mereka”-David C. Korten


SEORANG ketua turun ke kampung melihat rakyatnya yang sedang bekerja membanting tulang siang dan malam. Semua yang melihat ketua itu tersenyum riang sambil berebut-rebut untuk bersalaman, maklumlah untuk melihat orang besar turun ke kampung bukanlah mudah.


Jadi bila ada kesempatan mereka turut teruja apabila melihat orang kenamaan sanggup turun ke kawasan yang kotor dan penuh lumpur itu. Sambil menyambut tangan orang kampung bersalaman si ketua berpesan supaya teruskan bekerja dan kerjalah dengan kuat.


Setelah pulang, sepertinya ada sesuatu yang direncanakan dalam kepala si ketua sambil melihat graf ekonomi kampung tersebut, dia merasakan wang penghasilan kampung itu terlampau banyak dan matanya mula berpinar-pinar sambil mengeluarkan lambang wang. Dia sedar benar dengan wang yang banyak akan menyerlahkan lagi kekuasaan


Maka si ketua memanggil teman-temannya yang lain membentangkan pelan strategik untuk mengambil sedikit wang penghasilan tadi lalu memasukan wang tersebut ke dalam kocek-kocek mereka. Si ketua sedar yang hal ini tidak boleh dilakukannya seorang.


Keesokan harinya, si ketua dan lima lagi temannya yang lain berjaya mengambil sejumlah wang hasil dari pendapatan kampung itu. 50 peratus milik mereka dan 50 peratus lagi dikongsi oleh penduduk kampung.


Awalnya semua kelihatan biasa sahaja, lama kelamaan penduduk kampung menghadapi kesusahan. Antaranya baja mula menyusut, kenderaan awam berkurang kerana rosak tidak dibaiki, jalan berlubang, hospital kekurangan ubat, sekolah-sekolah kekurangan guru dan meja belajar.


Wakil dari penduduk kampung terus menghadap ketua bagi menjelaskan keadaan sebenar. Si ketua menunjukan graf ekonomi, menjelaskan terma ekonomi seperti inflasi, deflasi, regulasi, kegawatan ekonomi, kadar purata pendapatan kampung kepada wakil penduduk kampung itu.


Dia kelihatan rungsing kerana tidak memahami apa yang berlaku. Cuma yang dia faham ketua akan tingkatkan cukai bagi menyelamatkan ekonomi kampung. Ketua juga cuba mengalihkan perhatian wakil kampung dengan menanam syak wasangka kepada penduduk-penduduk yang tak sama warna kulitnya, supaya isu pokok dapat disembunyikan.


Beberapa minggu kemudian, si ketua telah meningkatkan kadar cukai kampung semua ini bertujuan supaya ekonomi kampung berada dalam keadaan yang seimbang kembali. Tetapi nampaknya bertambah teruk. Ramai anak-anak yang tidak dapat kesekolah kerana membantu keluarga mereka di kebun, yang sakit pula tidak ke hospital kerana takut bilnya melambung tinggi, banyak kediaman yang tidak membayar bil api dan air dan duduk bergelap.


Kemudian anak-anak dan warga tua ramai yang kelaparan kerana berhari-hari tak makan. Pemuda kehilangan kerja ada yang langsung tidak mendapat kerja walaupun dia pandai membaca, yang tragik ada yang sampai membunuh diri kerana tidak betah hidup.


Keadaan ini merungsingkan penduduk kampung. Wakil kampung sekali lagi pergi menghadap ketua. Si ketua membelai belakang badang wakil kampung sambil berpesan “Jangan bimbang, kamu semua telah memilih kami sebagai ketua, saya akan berusaha membatu kamu semua dengan sedaya upaya.”


Maka si ketua mengarahkan supaya kampung itu diberikan sejumlah wang. Wang ini bersifat one off atau sekali bagi. Semua penduduk bersorak kerana keperitan yang mereka alami, kebuluran kesempitan, kesusahan, ketakutan dan kelaparan mereka akhirnya didengar. Disana-sini semua heboh mengatakan kebaikan si ketua.


Dalam waktu yang sama seorang dari rakan ketua mempersoalkan mengapa orang kampung ini diberikan wang hasil dari apa yang mereka ambil tiap bulan. Ketua dengan tenang menjelaskan inilah hegemoni, penduduk kampung tak perlu mengikut nilai-nilai moral universal, hanya menurut nilai moral yang diatur mereka. Apabila kawal kepala maka kaki dan tangan turut sama mengikuti. Selepas ini tak perlu dipaksakan penduduk kampung untuk mendengar dan mengikuti arahan kalau melanggar nilai moral sekalipun, mereka sendiri yang akan patuh dan bertindak sesuai apa yang dirancangkan.


Mereka tidak perlu memikirkan bagaimana membetulkan ekonomi, menghancurkan korupsi, mengagihkan ekonomi dengan adil, memberikan kerja pada pemuda, meningkatkan kualiti hospital dan sekolah. Pendek kata tak perlu memikirkan untuk menyusun ekonomi yang adil dan sejahtera buat penduduk.


Satu hari seorang dari penduduk kampung berdiri dan mempersoalkan keadaan kampunya. Dia bertanya kenapa kampungnya yang sebelum ini makmur terus menjadi sebegini, dia menuntut penjelasan bahkan dia meminta untuk menukar ketua yang ada kerana baginya ketua itu telah salah mengurusi kampung sehingga menyebabkan semua orang berada dalam keadaan yang kucar kacir.


Lebih kurang dua puluh orang bangun menyerang lelaki yang bersuara tadi. Sambil mengatakan bahawa ketua itu telah melakukan macam-macam perkara, malah dia juga telah memberikan wang kepada penduduk kampung. Mereka telah melakukan seupayanya, sebagai rakyat bawah tidak boleh mempersoalkan apa yang berlaku di atas, kerana itu tugas mereka, dan mereka mengerti benar tugas mereka.


Lelaki yang dipukul itu bangun membalas kembali hujah gerombolan itu. Dia meyakinkan semua bahawa itu semua tipu muslihat ketua. Jika benar kita semua dalam keadaan susah mengapa si ketua boleh menggunakan mobil mewah, duduk ditempat mewah, makan mewah malah berpakaian mewah. Malah setiap kali dia datang ke kampung pakaiannya masih segar berbau baru, dimana dia mendapatkan kesemua wang itu.


Kemudian lelaki itu dikeroyok oleh sekumpulan penduduk kampung fanatik, itu sahaja cara untuk mensenyapkan lelaki itu. Walaupun separuh mati dibedal dia sempat melontarkan jeritan “ini semua psikologi feudal. psikologi feudal, kamu semua telah masuk dalam jampi serapah ketua!”


Dalam pejabat, ketua dengan temannya yang lain membincangkan soal pemilihan ketua yang akan datang. Mereka harus kekal berkuasa supaya mereka dapat mengautkan lagi keutungan. Maka “politik sedang dimainkan.” Menurut ketua saat paling ampuh untuk mendapat populariti apabila kita memberi wang disaat orang kampung dalam kesusahan. Walaupun sebenarnya kesusahan itu merekalah yang ciptakan pada awalnya.


“Adakah kita ada peluang untuk menang?” soal seorang dari temannya.


Ketua ketawa kecil dan dia memang sudah mengagak bahawa dia akan menang kerana pertama dia sudah menghegemoni semua penduduk kampung, dan secara langsung penduduk kampung sudah mendengar kata-katanya, kedua kerana sudah lama ditekan dan mempropagandakan bahawa ketua tak boleh dikiritik melahirkan psikologi feudal yang kuat pada penduduk kampung. Dia tak perlu berkerja kuat hanya perlu menarik picu sentimen supaya penduduk kampung tunduk dan memuja-mujanya kembali.


Ketiga dan yang terakhir kedua faktor tadi telah menyebabkan pemikiran kritis penduduk kampungya lumpuh. Sambil melihat teman-temannya dia menjelaskan tanpa pemikiran ini penduduk kampungya tidak akan ada daya mengkritiknya. Sekolah-sekolah telah mereka kawal apatah lagi pemikiran penduduknya. Sudah pasti kemenangan milik mereka. Inilah permainan politik mereka dan inilah yang mereka faham mengenai politik.


Seorang perempuan tua dikampung itu pernah mengajukan soalam sebelum dia mati dalam kelaparan.


“Kenapa menjadi seorang yang baik (bermoral) dalam dunia dianggap salah, tapi menjadi yang jahat dan zalim dianggap perlu dan wajar?”


Begitulah caranya jika kita mahu melihat bagaimana hegemoni, psikologi feudal dan politik berkerja. Siapa mereka? Anda tahu jawapannya.

3 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page