top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

#MELAWANLUPA oleh Izzah Dejavu

Beberapa hari lalu, aku bertanya pada seorang teman dari Abuja, ibu negara Nigeria kerana sering melihat dia tenggelam di layar kaca telefon melihat semua berita semasa tentang penangkapan besar-besaran di Malaysia.


‘Boleh aku tahu, kau sering membaca berita begitu. Apa kau takut atau merasa tidak selamat?’ soalku naif.


‘Kamu tahu kan, menjadi kulit hitam di Malaysia berat. Di Malaysia, mereka cuma belas pada mereka yang berkulit cerah. Lihat ini…’ dia menunjukkan layar telefon kepadaku,

‘…orang-orang ini dari Indonesia, Mymmar, Nepal, Bangladesh tak disukai dan senang ditangkap. Dan aku seperti mereka kerana menjadi orang seperti aku, people of color, kami hidup berhati-hati di sini. Kerana hanya itu yang boleh kami lakukan. Kami harus beradaptasi dengan keadaan yang tidak selamat. You will never know what happened to you if you are being arrested.’


Dia memandangku sepi sambil menyambung,

‘Pernah kamu dengar tentang Ewansiha, he is a nice guy and he come from the same country as me’.

*****


ORHIONS EWANSIHA THOMAS adalah seorang pelajar Phd Limkokwing warga Nigeria mati dalam Depot Tahanan Jabatan Imigresen Bukit Jalil awal pagi, 9 Julai 2019. Menurut berita 2 Januari 2020, peguam dalam kes penyiasatan kematian Ewansiha, saksi apabila dipanggil memberi keterangan, bahawa ada kira-kira 10 tahanan berkongsi lokap dengan Ewansiha. Saksi turut mendakwa Ewansiha telah meminta bantuan perubatan dengan menjerit dan menggoncang pagar lokap, meminta untuk berjumpa dengan doktor selama 3 hari sebelum kematiannya.


Teruslah bersolidariti dan melawan lupa. Pengalaman tanpa pemikiran kritis itu melahirkan pemikiran naif. Dan pemikiran kritis tanpa pengalaman melahirkan mereka yang gagal menyambung realiti dan ‘common sense’.

*****


8 BUKU CADANGAN ANTI PERKAUMAN DALAM BERSOLIDARITI ATAS SEMUA PENENTANGAN DAN PERLAWANAN TERHADAP PENINDASAN


1. KEBUDAYAAN DAN KEKUASAAN, FRANTZ FANON

Buku ini menyorot pemikiran Frantz Fanon (1925-61), seorang revolusioner di Aljazair melawan penjajahan Perancis. Fanon merupakan salah satu pemikir penting dalam kajian teori pascakolonial. Buku ini menghurai dan mengaitkan konsep-konsep dasar, metadologi dan kritik-kritik Fanon dengan konteks dan biografinya.


2. THE WRETCHED OF THE EARTH, FRANTZ FANON

Fanon menyorot analisis tentang kesan dehumanisasi terhadap individu dan negara. Fanon juga membincangkan lebih luas tentang budaya dan implikasi politik dalam membentuk gerakan sosial untuk dekolonialisasi individu dan masyarakat.


3. BLACK LIBERATION AND SOCIALISM, AHMED SHAWKI

Buku ini membedah titik persilangan antara bangsa dan kelas di United States. Ia hadir dari analisis sejarah dalam melihat hubungan antara pejuangan anti-perkauman dan perlawanan untuk pembebasan masa hadapan untuk semua. Buku ini adalah pelajaran penting untuk mula memahami perjuangan hari ini.


4. DARK DAYS, JAMES BALDWINS

Buku ini mengandungi 3 esei pendek lakaran perjalanan dan pengalaman James Baldwin terhadap prejudis di Amerika yang dipecahbelahkan oleh bangsa. Esei dalam buku ini mengadun kuat pengalaman peribadi dan politikal Baldwin yang membayangkan satu masa depan lebih baik untuk semua orang.


5. A DANGEROUS UNSELFISHNESS (Learning From Strike Actions), dikeluarkan oleh APWLD - Asia Pacific Forum on Women, Law and Development

Di Malaysia, kita tidak asing mendengar protes bukan budaya kita. Ia adalah cubaan anti-politikal untuk mendiamkan suara mereka yang ditindas dan terpinggir. Buku ini menerangkan dengan ringkas kenapa perjuangan ini perlu disusun secara kolektif dan mengapa kita mesti bersolidariti. Buku ini juga mengumpul 40 kes kajian terhadap aksi dan perlawanan dari pelbagai perjuangan bagi merungkai masalah struktural yang berlaku secara global.


6. RACE MATTERS, CORNEL WEST

Buku ini menganalisa kepedulian moral dan perdebatan tentang warna kulit. Persoalan yang digali adalah tentang isu kepedulian moral dan politik serta memaparkan pandangan tentang krisis kepimpinan di Amerika.


7. WOMEN, RACE AND CLASS, ANGELA Y.DAVIS

Buku ini menerangkan bagaimana bangsa, kelas dan gender berada dalam satu ruang yang sama membentuk ketidakadilan yang berlaku secara global. Penulisan ia juga menjelaskan tentang perjuangan pelbagai pergerakan feminis bergerak melalui lensa sejarah. Meskipun feminisme disatukan dalam satu tema perjuangan yang penting, perkauman masih menjadi salah satu perkara yang bercampur tangan dalam kemampuan gerakan hak asasi perempuan untuk mencapai keadilan dan kesamarataan tulen.


8. FREEDOM IS A CONSTANT STRUGGLE, ANGELA Y. DAVIS

Buku ini adalah koleksi esei, temu ramah dan ucapan Angela Y.Davis dalam menerangkan hubungan antara perjuangan melawan keganasan negara dan penindasan yang berlaku dalam sejarah dunia. Buku ini juga adalah refleksi tentang kepentingan ‘black feminisme’, titik persilangan(intersectionality). Angela Y.Davis juga menceritakan bagaimana pertembungan dan analisis perjuangan melawan keganasan negara, dari Ferguson hingga Palestin. Mendepani dunia yang penuh ketidakadilan, Davis mencabar kita untuk berimaginasi dan membina gerakan untuk pembebasan manusia. Dalam melakukan demikian, Davis mengingatkan bahawa, ‘Pembebasan adalah Perjuangan yang Berterusan’

Panjang Umur Perlawanan,

30 views0 comments
bottom of page