top of page
Search
  • Writer's picturerabiatuladawiyah233

MELAWAN MASYARAKAT KORUP Oleh: A. Muziru Idham

i) Selepas terbitnya Shit pada tahun 1999 sebagai respon kepada kecelakaan politik korup, ada satu hasil kerja lain Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad yang turut diterbitkan pada tahun yang sama tetapi tidak mendapat dendangan sambutan yang serupa, iaitu sebuah kumpulan cerpen MahaMaha. Kedua-duanya diterbitkan oleh penerbit yang sama, iaitu Pustaka Reka dan kedua-duanya juga tidak memiliki daftar ISBN.


Sebenarnya, selepas membaca Shit yang dipenuhi dengan kotor dan jijik politik tahi, MahaMaha adalah susulan terbaik untuk bacaan seterusnya sebagai bilasan semula terhadap hal-hal jijik yang terperangkap dalam imaginasi kita itu kepada suatu seni cerita yang lebih cantik tanpa melonggarkan sedikit pun bahasa perlawanan Pak Shahnon yang tidak kunjung kendur itu.


Barangkali selepas Pak Shahnon menulis Shit selama dua minggu itu dengan gejolak kemarahan yang tinggi sehingga tidak mampu lagi terselindung daripada imaginasi dan bahasanya itu, maka beliau menulis MahaMaha pula seolah-olah sebagai ekspresi maaf kerana terlepas kata dalam Shit lalu digantikan oleh sesuatu yang lebih menyegarkan dan menguatkan imaginasi namun tetap berisi semangat penentangan yang masih tinggi.


Jadi, dalam MahaMaha, ada satu cerpen bertajuk Rakyat. Kisahnya tentang "kami" yang bernama Rakyat sering didengarkan dengan suara-suara bisikan yang entah dari mana asyik sibuk melaung-laungkan kononnya kekuasaan rakyat yang berkuasa untuk melawan segala pemerintah korupsi, tetapi suara-suara itu cuma tinggal sebagai bisikan sahaja semata-mata. Suara-suara itu seperti suara untuk menggerakkan demonstrasi dan revolusi, tetapi akhirnya sekadar tinggal suara yang menjerit-jerit untuk mempertahankan kebenaran dan melawan kepalsuan. Begitulah resam rakyat. Saya petik suatu petikan menarik daripada cerpen Rakyat itu di sini:


"Rakyat juga tidak boleh menentang menteri kerana menteri bukan gagasan, tapi kalau menteri itu menteri korap, menteri palsu, menteri selewengan, menteri yang membawa fe'el syaitan dan ibilis, rakyat akan bangun melenyapkan menteri itulah kerana dalam tubuh menteri itu telah tersebati dengan kepalsuan, penyelewengan, korapsi dan syaitan. Itulah makna rakyat yang sebenar pun. Dan rakyat tidak akan menentang rakyat kerana rakyat bukan gagasan, tapi kalau dalam diri rakyat itu tersumbat kepalsuan dan syaitan, rakyat akan membunuh rakyat, rakyat akan menghakiskan rakyat sehingga rakyat semuanya terhapus".

Kalian baca itu? Saya petik sekali lagi ayat terakhir itu buat tatapan kalian:


"Dan rakyat tidak akan menentang rakyat kerana rakyat bukan gagasan, tapi kalau dalam diri rakyat itu tersumbat kepalsuan dan syaitan, rakyat akan membunuh rakyat, rakyat akan menghakiskan rakyat sehingga rakyat semuanya terhapus".


(ii) Ceritanya politik pada abad ke-21 ini bukan lagi sekadar perihal politikus yang korup, kerana politikus dan korupsi itu adalah seperti adik beradik susuan yang memang sukar sekali dipisahkan. Sekarang ini, yang paling merisaukan adalah bagaimana hendak merawat masyarakat yang sudah korup mindanya disebabkan ketaksuban terhadap dokongan terhadap parti dan sosok politik tertentu menyebabkan minda tertutup untuk membuat penilaian seimbang.


Definisi korupsi di mata mereka hanyalah kalau ahli politik tertentu terlibat dalam suatu skandal wang yang besar. Walhal jika buka buku Rasuah, Sifat, Sebab, Dan Fungsi yang ditulis oleh tokoh sosiologis besar negara, iaitu Syed Hussein Alatas, paling kurang 10 jenis dan sifat rasuah telah disenaraikan dan dihuraikan satu persatu. Sekiranya setiap jenis itu dibaca dan difahami lalu direfleksi terhadap situasi politik negara, saya rasa semua orang akan sorok muka dalam tanah kerana malu rupanya politikus dokongan mereka selama ini pun korup juga rupanya.


Disangka ulama tidak mungkin akan mengenal dosa pahala justeru pastinya akan melawan korupsi, rupanya korup juga. Disangka sedap retorik ucapan di pentas-pentas ceramah hendak melawan korupsi dan siap bersalutkan kata-kata tokoh besar mahupun dalil-dalil agama, sekali tidak terlepas juga daripada korupsi. Disangka ahli akademik universiti dan berdegar-degar selama ini melawan korupsi di bilik kuliah dan di jalanan sudah tentunya akan mengotakan kata-kata apabila menyertai politik, rupanya korup juga. Disangka idealis yang berdegar-dengar di lapangan aktivisme selama ini berjuang untuk mereformasi sistem pendidikan negara, pun korup juga. Disangka sudah bertaubat dengan kesilapan politik lampau lalu turun semula ke lapangan politik hendak bersihkan semula apa yang telah dirosakkan masa lalu, alih-alih bertukar jadi korup 2.0 pula. Disangka bersih daripada kes-kes SPRM maka sudah tentu dia ialah ahli politik bersih, eh bila semak kerja-kerjanya di belakang, lahhh, korup rupanya.


Akhirnya, siapa sahaja ahli politik yang bebas korupsi sama ada langsung atau tidak langsung?


Tetapi itulah, Syed Hussein Alatas cuma hanya akan disebut dan dirujuk ketika dendangan "Melayu Malas" keluar daripada mulut mana-mana politikus, terutamanya Tun Mahathir. Apabila kisah korupsi dalam kalangan ahli politik berlaku, diam seribu bahasa pula nama Syed Hussein Alatas daripada bibir dan tulisan mereka. Nama seorang Syed Hussein Alatas cuma seronok ditunggang ketika hendak melawan naratif Melayu Malas, tetapi namanya ditenggelamkan dan direndam terus apabila hendak berbicara tentang korupsi.


Sedangkan selain daripada kerja melawan naratif orientalis-imperialis, antara kerja besar Syed Hussein Alatas juga ialah melawan perangai masyarakat Melayu daripada terjebak dengan segala macam korupsi, termasuklah korupsi minda yang ditipu oleh para politikus yang hendak mengaburkan mata mereka demi mendapat sokongan politik untuk terus kekal duduk di atas kerusi pemerintahan. Tapi itulah, apabila masyarakat itu sendiri sudah korup, gantinya pula ialah dalil-dalil al-Qur'an dan hadis serta kalam-kalam ulama pula bagi menjustifikasi bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak salah dan tidak korup.


Itupun belum tentu lagi mereka akan terima dengan skandal tersebut sekiranya yang terlibat itu adalah skandal melibatkan politikus dokongan mereka. Tetapi kalau yang terlibat itu bukan daripada politikus pujaan mereka, nah, dihambur habis-habisan seperti manusia hilang pedoman sedangkan apabila politikus dokongan mereka terlibat, habis cuba dijustifikasi dan ditutup segala bukti sana sini.


"Jangan buka aib orang!" "Biar mahkamah yang putuskan keputusan!" "Sila beradab dengan ulama!" "Ini rencana jahat pihak _________ (sila letak nama parti politik tertentu untuk dikambinghitamkan) bagi menghancurkan ketuanan Melayu!" "Dah jumpa dengan ulama kami belum untuk dapatkan penjelasan sendiri daripadanya?" "Alah, dulu parti kau berkuasa pun buat perkara yang sama juga"


Biasa kedengaran kan ayat-ayat sebegitu? Itu skema dialog biasa yang digunakan oleh para netizen di internet. Para pahlawan siber (cybertrooper) yang disogok oleh politikus di belakang telah menghidangkan skema jawapan itu kepada kalian supaya kalian boleh menggunakannya bila-bila masa apabila diperlukan mengikut hawa nafsu kalian sendiri.


(iii) Perlawanan utama kita sekarang ialah melawan masyarakat korup terlebih dahulu sebelum melawan politikus yang korup. Sekiranya kita tidak melawan masyarakat korup, maka politikus yang korup kekal terus bermaharaja lela di atas takhta, dan akan terus menjadikan masyarakat semakin korup kerana itu lebih memudahkan kerja-kerja mereka untuk menipu fikiran dan mengaburi mata masyarakat daripada terus tajam fikiran untuk membaca segala tipu daya mereka itu.


Masyarakat korup itu bukanlah mereka yang terlibat dengan korupsi atau menyokong korupsi, tetapi mereka inilah yang telah tertipu dengan minda sokongan fanatis mereka terhadap politik dokongan mereka sehingga minda mereka telah terbius daripada melihat sebarang kesalahan yang dilakukan oleh aktor-aktor politik dokongan mereka itu.


Ia boleh difahami lagi jika mereka berdiam diri kerana tidak mahu terlibat dalam perbahasan yang belum tentu salah atau betul, tetapi keterampilan korupsi pada diri mereka itu jelas kelihatan apabila mereka menggunakan segala macam cara pula untuk mempertahankan aktor-aktor politik dokongan mereka sedangkan mereka sendiri pun belum tentu jelas bahawa apa yang mereka pertahankan itu adalah kebenaran. Paling korup lagi, apabila bukti korupsi itu telah ada terbentang, mereka akan memanipulasi bukti itu dengan segala macam cara sehingga bukti sahih itu pula yang diragukan seolah-olah hujah mereka itu adalah lebih benar.


Kesannya, masyarakat bergaduh sesama sendiri sehingga berantakan tetapi politikus korup di atas sana bertepuk tangan dan tersenyum bersandiwara melihat kedudukan mereka lebih kukuh untuk melakukan korupsi apabila melihat rakyatnya berantakan sesama sendiri. Semakin berantakan, semakin bagus. Senang kerja mereka di atas sana hendak berpolitik kotor di belakang tanpa sebarang gangguan peniup wisel (whistleblower) di mana-mana.


Sebab itu, yang kita perlu lawan sekarang ialah masyarakat korup, dengan menjelaskan dan memperbetulkan semula cara fikir dan cara faham mereka agar kembali kepada kejelasan dan kebenaran yang sebenar. Tapis dan kikis terlebih dahulu fanatisme-fanatisme politik dalam diri itu terlebih dahulu supaya kebenaran itu lebih jelas kepada kita untuk membina pendirian dalam keberpihakan.


Dan siapakah masyarakat korup yang kita hendak lawan itu? Iaitulah perlawanan kita terhadap diri sendiri bagi mengikis habis segala saki-baki fanatisme politik dalam diri kita itu supaya benar-benar ikhlas dalam pendirian untuk berpihak kepada kebenaran, bukannya terhadap politik dokongan.


Jika tidak, kita akan kembali seperti cerpen Rakyat oleh SN Shahnon Ahmad, iaitulah sekadar laungan suara berdengung-dengung tentang ketuanan rakyat dan rakyat yang melawan korupsi, tetapi akhirnya ia sekadar tinggal sebagai suara yang berlalu pergi sia-sia apabila datang angin yang lebih kuat untuk meniupnya pergi. Tidak ada apa-apa perubahan yang lebih baik kita akan lakukan, melainkan tangan-tangan kitalah yang korup ini merosakkan negara kita sendiri.

25 views0 comments
bottom of page