top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

MASKULINITI YANG TIDAK WAJAR

Oleh: Andi Suraidah


PERNAH tak kita mendengar ungakapan-ungkapan begini, “Alahai macam pondan, takkan itu pun takut?”, “Lelaki kena jadi kuat, tak boleh menangis”, “Kau ni aku tengok dah macam perempuan, kerja dapur ni kerja isteri”, dan segala macam lagi? Pernah tak kita melihat lelaki melontarkan usikan berbaur seksual terhadap perempuan yang melintas dihadapan mereka misalnya, dan kita hanya ketawa berdekah-dekah membenarkan ia terus berlaku, dengan alasan, “Ala, biasalah budak lelaki”?


Apabila kita berkata-kata, seringkali kita tidak menjaga kata-kata yang keluar daripada mulut, walaupun mungkin tanpa niat yang tidak elok, dan hanya berseloroh, sehingga kita terlupa bahawa betapa kata-kata yang dituturkan boleh membawa implikasi berat? Seolah-olah kita berpesan dan mengajar kepada anak-anak lelaki dan perempuan untuk membenci mereka yang tidak mengidentifikasi diri mereka sebagai lelaki atau perempuan, malah perbezaan dilihat sebagai satu kelemahan; seolah-olah lelaki tidak boleh menjalankan fungsi kudratnya sebagai manusia dengan mengalirkan air mata; mengajarkan peranan gender yang kaku – bahawa perempuan tempatnya di dapur (lalu lelaki yang lapar tempatnya di mana?); seolah-olah kita membiasakan anak lelaki untuk sewenang-wenang tidak menghormati mereka yang berlainan jenis kelamin atau gender?. Kegiatan membedah implikasi di sebalik ungkapan atau jenaka seksis sebegitu boleh mengambil masa yang panjang dan tidak berkesudahan. Intinya, inikah mesej-mesej yang kita mahu wariskan kepada generasi akan datang?


Maskuliniti dengan sendirinya tidak menimbulkan masalah. Tetapi, ia boleh menjadi toksik apabila norma maskulin budaya tradisional yang ideal dipaksakan ke atas lelaki termasuk menyekat lelaki daripada mempamerkan sisi emosi yang lunak seperti menangis, berempati, atau menunjukkan sisi rentan (vulnerability) sebaliknya mendorong lelaki menunjukkan emosi yang keras, menyembunyikan kesedihan, atau bersifat ganas untuk menunjukkan kekuasaan. Inilah yang kita ajarkan kepada anak-anak lelaki kita.


Bermasalahnya maskuliniti yang hegemoni ini adalah kerana ia mengabsahkan dominasi "lelaki unggul" di dalam masyarakat, seolah-olah kaum "lelaki unggul" itu sahih dan membenarkan perempuan, atau lelaki yang mahu hidup di luar kotak "lelaki unggul", atau identiti gender yang lain direndahkan oleh kerana tanggapan ‘feminin’ ke atas mereka. Oleh itu, komen-komen dan ungkapan-ungkapan sebagaimana disebut diatas dianggap sebagai sebuah bentuk penghinaan, perendahan dan pelecehan di dalam struktur masyarakat.

The Good Men Project memberi definisi maskuliniti yang toksik sebagaimana berikut: Maskuliniti toksik adalah penerangan tentang sifat kelelakian yang sempit dan menindas; keganasan, seks, status, dan sifat agresif merupakan penanda aras kelelakian. Ia merupakan ideal budaya kelelakian, yang mana kekuatan adalah segala-galanya sementara emosi adalah bentuk kelemahan; di mana seks dan kekejaman adalah kayu pengukur ke atas lelaki, sementara sifat feminin - yang boleh merangkumi kerentanan emosi kepada tidak menjadi hiperseksual – adalah antara cara status sebagai seorang “lelaki” boleh dirampas.


Oleh sebab itu, apabila seorang anak lelaki jatuh ke tanah akibat memanjat pokok dan mengalirkan air mata, kita tegah dia daripada menangis, "Kamu anak jantan. Kena kuat dan tak boleh menangis". Sementara itu, jika ada seorang suami redha dan rela hati menjadi suami yang menjaga hal ehwal rumah tangga dan anak-anak manakala si isteri pula menjadi pencari nafkah utama, suamia tersebut dituduh dayus dan lemah. Apabila seorang lelaki yang setia tidak mahu berkomplot berbuat nakal di belakang pasangan mereka, mereka diejek-ejek sebagai "Lelaki takut perempuan atau suami takut isteri”. Walhal dengan membuktikan komitmen dan kesetiaan kepada pasangannyalah,maka si lelaki tersebut menjadi lelaki unggul dan berkualiti.


Kita tidak sedar, kata-kata yang kita lontarkan, pada hujungnya memberi pesan kepada kaum lelaki bahawa mereka tidak dibenarkan menjadi manusia kerana mereka adalah lelaki yang perlu ikut ukuran lelaki ideal yang dikehendaki masyarakat. Bukankah ini melelahkan bagi kaum lelaki dalam memenuhi tuntutan yang bukan-bukan? Bukankah ini merendahkan darjat perempuan seolah-olah ciri-ciri feminin adalah remeh?


Chimamanda Ngozi Adichie berkata, “By far the first thing we do to males – by making them feel they have to be hard – that we leave them with very fragile egos.” Pernah tak terfikir mengapa kebanyakan peristiwa-peristiwa kekejaman lebih sering kita dengar lelaki adalah pelaku keganasan tersebut? Contohnya, terdapat 97 tembakan massa di Amerika semenjak tahun 1982, hanya 2 tembakan massa dilakukan oleh perempuan. Benar ada faktor-faktor lain yang mendorong, dan ia akan menjadi terlalu mudah dan tidak adil jika kita katakan lelaki lebih cenderung bertindak ganas. Melalui kempen #MeToo yang meledak di dada-dada akhbar dan media sosial antarabangsa dan nasional baru-baru ini kita dapat lihat hanya beberapa orang sahaja lelaki yang benar-benar berdiri teguh di belakang kempen tersebut. Walhal kita tahu lelaki juga menjadi mangsa kepada gangguan seksual. Masih ramai yang takut-takut untuk mencabar maskuliniti yang toksik.


Lelaki menggalas tugas penting dalam menangani isu ini iaitu dengan mencabar keistimewaan mereka sendiri secara sukarela. Kewujudan kumpulan lelaki-lelaki yang bertekad untuk memerangi ideal lelaki unggul ini, sebagai contoh The Good Men Project, merupakan langkah yang mustahak. Di peringkat setempat, Men Act Tough (MAT) Community yang digerakkan oleh anak muda yang mengamalkan perbincangan yang bersifat reflektif dan mencabar mentaliti ‘boys will be boys’, di samping mempertanggungjawabkan lelaki ke atas tingkahlaku berbaur seksis dan misoginis.


Implikasi lain daripada ciri-ciri maskuliniti yang toksik ini adalah tekanan mental ke atas remaja lelaki. Artikel di SOSCILI ini bagus sekali dalam mencerahkan kita tentang akibat daripada maskuliniti yang toksik daripada sisi pandang kesihatan mental. Fenomena ini bukan baharu, malah gejala yang sama berlaku di Amerika iaitu lelaki dicatatkan 3.5 kali lebih cenderung untuk membunuh diri berbanding perempuan oleh kerana norma budaya yang menyekat lelaki daripada mengekspresikan emosi mereka atau disekat daripada mengakui kerentanan diri dan akhirnya lebih berkemungkinan untuk tidak mendapatkan bantuan profesional.


Kesenjangan keadilan gender di dalam masyarakat terus terbuka luas. Masih banyak perbualan yang perlu dipicu dan dirungkai berhubung isu maskuliniti toksik ini. Mencabar sistem pemikiran yang sudah lama menyerap menjadi adat resam dan budaya bukan hal mudah, kita perlu usaha yang lebih menyeluruh dan melibatkan masyarakat untuk mengubah cara pandang. Kaedah membesarkan anak lelaki mesti diubah dan fahamkan mereka bahawa mereka tidak perlu mengikut stereotaip maskuliniti yang agresif untuk menjadi lelaki yang utuh. Kaum lelaki perlu tampil ke depan mengutuk keganasanan yang dilakukan oleh lelaki secara terbuka dan terang-terangan. Kita perlu kaum lelaki yang berada di posisi penting, contohnya ahli politik, pemimpin masyarakat, pemimpin agama, bahkan artis dan selebriti. Kami dambakan lelaki berkualiti dan mengangkat equality.


Saya akhiri dengan satu petikan yang benar-benar menusuk ke kalbu, semoga pembaca merasakan hal yang sama:


“Perhaps if tearful little boys were comforted instead of shamed there wouldn’t be so many angry men struggling to emphasise with emotions” – Leila Schott.

125 views0 comments

Comments


bottom of page