KETIKA zaman begitu bercelaru dan menghambat kita dengan pelbagai persoalan, barangkali soalan yang benar-benar kita perlukan cuma satu;
Apa sebenarnya erti menjadi manusia?
Dapatan dari Oxford Economics menjangkakan 10 tahun akan datang, 20 juta pekerjaan manufaktur di seluruh dunia ini akan dikuasai oleh robot. Malah menjelang 2022, 75 juta pekerjaan bakal pupus. Ketika dunia meminta Malaysia supaya bersiap siaga dengan cabaran Revolusi Industri 4.0, Menteri Sumber Manusia kita berkata kadar pengangguran belia Malaysia yang sebanyak 10.9% itu tidaklah menakutkan. Malah Malaysia sudah menjadi yang tertinggi di antara India (10.5%), Vietnam (7.9%), Thailand (5.9%) dan Singapura (4.6%). Soalan paling logik yang sesiapapun bisa utarakan adalah - Bagaimana kita mahu berhadapan dengan perkembangan teknologi yang luar biasa ini sekiranya purata pengangguran di Malaysia masih tinggi iaitu 516,600 orang?
Atau mungkin ditanyakan soalan yang lebih ke dalam, ketika masa depan manusia saat ini ditentukan oleh mesin akan terlucut jugakah esensi kemanusiaan kita?
Menjawab soalan, apa sebenarnya erti menjadi manusia, Fromm melontarkan pentingnya untuk mencari definisi baru tentang ‘’manusia’’ terlebih dahulu. Di dalam proses evolusi para manusia purba, manusia didefinisikan sebagai homo faber, pembuat alat-alat, pertukangan. Kemudian manusia dikenali juga sebagai homo sapiens yang bererti makhluk yang dapat menggunakan akal budi dan kecerdasannya dalam menemukan tujuan hidup.
Manusia pernah juga didefinisikan sebagai homo ludens, manusia yang melakukan aktiviti-aktiviti santai yang tidak mempunyai tujuan tertentu. Ditambah lagi dua definisi yang lain iaitu homo negans bahawa manusia yang dapat berkata ‘tidak’ ketika dihadapkan dengan pilihan-pilihan mengenai kebenaran, cinta, integriti moral walaupun diancam penganiayaan fizikal dan ketika mana majoriti yang lain mengatakan ‘ya’. Juga menurut Fromm, manusia sebagai homo esperans - manusia yang berharap.
Nah, soalan penting yang lain - apa pula ertinya harapan? Adakah kita masih punya harapan?
Sehingga hari ini, saya masih merasai kerancuan emosi seorang lelaki sunyi bernama Theodore yang jatuh cinta dengan Samantha, sebuah sistem operasi komputer. Filem Her membawa persoalan tentang kesunyian dan nilai-nilai kemanusiaan yang telah terhakis ketika mana teknologi A.I ternyata lebih humanis, lebih manusiawi dari manusia yang nyata.
Entah keterbalikan ini baik atau sebenarnya telah menghapuskan nilai-nilai kemanusiaan universal. Erich Fromm mengatakan, ‘’Kemungkinan yang paling sering muncul dalam masyarakat teknologi adalah individu menjadi pasif, cepat bosan, mati rasa, menghidap simptom-simptom penyakit seperti cemas, depresi, depersonalisasi, hidup yang begitu-begitu saja tidak ada seninya, serta kekerasan.’’
Malah mendepani IR4.0 yang akan membiakkan lebih ramai manusia mesin, yang menggugat esensi kita sebagai manusia, hal-hal mengenai keterasingan dan kekosongan manusia moden ini tidak akan jadi perbincangan serius para birokrat. Barangkali kita boleh meminjam dari fikiran Terence bahawa seseorang yang sedar penuh akan kemanusiaannya bererti ia sedar, ‘’Saya manusia dan tidak ada manusia lain yang asing bagi saya’’ ketika menjawab persoalan - apa sebenarnya erti menjadi manusia.
(Tulisan ini sengaja ditulis tidak panjang kerana usahlah persoalan ini dipanjang-panjangkan lagi)
Comments