LAUNGKANLAH Ing ngarso sung tulodo di hadapan anak didik kau untuk kau sedarkan mereka akan kau si contoh mereka. Laungkanlah Ing madyo mangun karso di samping anak didik kau untuk sedarkan mereka akan kau si penurun ilmu kepada mereka. Laungkanlah Tut wuri handayani di belakang anak didik kau untuk sedarkan mereka akan kau si pendorong mereka. Namun, telah sempurnakah kau sebagai seorang pendidik?
Adakah sempurna seorang pendidik terletak pada mesra dan tegasnya dia dengan anak didiknya? Sempurnakah juga seorang pendidik dengan ajaran cekapnya serta visi tinggi untuk anak didiknya? Terpampang sempurna jugakah seorang pendidik pada tampak dia untuk tayangan anak didiknya? Takrifkanlah kesempurnaan seorang pendidik itu dan jadikanlah takrifan itu sebagai konsep sukatan pelajaran, ajarkan bakal pendidik akan takrifan itu dan aturkan langkah mereka menuju vokasi, akan sempurnakah pendidik itu? Tanpa perlu kekhuatiran, tidak akan lari seorang pendidik dari tercicir ciri-ciri sempurna itu. Adakah mereka masih layak untuk ditampilkan kepada pendidik?
Sukatan pelajaran untuk bakal pendidik bergantian, norma lama telah larut dalam masa dengan reformasi pendidikan berulangan, telah terpampang luas falsafah pendidikan untuk menjadi pilihan, etika pendidik dengan kuku besi ditegaskan, tetapi kekecewaan masih dalam putaran abadi tatkala kalangan bakal pendidik tidak sedar akan gahnya entiti pendidik. Terkejar bakal pendidik akan cantiknya keputusan dan kepingan kertas penanda kecemerlangan, tetapi tertinggal sedar akan arah tuju itu. Kenapa terkejarnya mewah gelaran pendidik itu jawapannya tidak didalami selain daripada variasi ‘gemar akan vokasi’ serta ‘ingin diri’. Tanpa wujudnya sedar akan kegagahan entiti pendidik, aliran usaha sepanjang persediaan menghadapi anak didik akan terhilang dihadapan kesukaran yang mendampingi vokasi ini bahkan mungkin tidak pernah timbul sekali usaha tersebut.
Apakah entiti pendidik itu? Adakah posisi semata-mata atau hanya kerja dengan permintaan yang tinggi dalam pasaran dengan lambakan graduan? Mewahnya vokasi ini mungkin hanya kecil berbanding kerjaya lain, namun permintaan yang tinggi terhadap pendidik ini menolak pencari kerja untuk memenuhi ruang kosong dalam pasaran dan bilik kuliah. Fikirkan nanti signifikan vokasi ini, pentingnya hanya pada terjamin sumber pendapatan. Terdapat juga sebilangan bakal pendidik dengan visi sendiri, mewahnya pada materi ingin dan suka. Tidak tergadai masa depan bakal pendidik tersebut dalam jurusan ini, namun bagaimana pula dengan anak didik mereka? Terlintaskah walau sejenak untuk siapakah diabdikan diri ini dalam vokasi pendidikan? Untuk diri bakal pendidik itu sendiri, atau untuk bakal anak didik yang tidak dapat lari dari menuruti pendidik dengan cernaan hasil kehendak awalan pendidik?
Untuk menjadi pendidik adalah untuk menjadi pekerja amal. Pembaktian kau terletaknya pada kemurniaan kau menghambakan diri mendidik anak bani bumi. Kau adalah entiti bersignifikan. Perilaku kau adalah untuk dituruti anak didik kau, dibukukan dalam projeksi tingkah laku mereka dan dikontemplasikan. Ilmu yang ditumpatkan dalam gudang pemikiran dan setiap zat tubuh kau tidak dapat dinafikan kemahaannya. Dorongan kau penuh kekuasaan. Setiap arah yang kau tuding adalah puncak kemanisan pengetahuan dan pemahaman anak didik kau. Mulianya kau bukan untuk anak didik kau sujud, namun untuk kau akur dan sedar akan ketunggalan kau sebagai pendaya pemimpin merentas masa.
Kekecewaan timbul bukan pada kurangnya kesempurnaan sebagai seorang pendidik, tetapi pada kekosongan yang memenuhi ruang sedar akan panggilan untuk mendidik. Walaupun tersergram indah semboyan Ki Hajar Dewantara untuk diamati, perit Paul Freire mengkaryakan Pedagogi Kaum Tertindas untuk dibedah berkali-kali, kuliah berjudul Social Reconstructionism dan Pragmatisme Pendidikan menyuar arah tuju pendidikan masa kini, sekiranya bakal pendidik tidak menimbulkan kesedaran untuk siapa dibaktikan diri, asa tersebut terputus begitu sahaja. Aturan etika pendidik dan metodologi seakan-akan teriakan dalam ruang vakum, tiada impaknya walaupun penat mengejar sukatan pelajaran jurusan tersebut. Apa yang terlampir dalam pasaran hanyalah lohong yang akan dipenuhi dengan entiti berposisi namun berlohong.
Bakal pendidik, sedarkan diri akan arah tuju kau. Tapak kau berlabuh adalah mulia. Cematkan langkah kau dengan setiap kesedaran yang telah kau murnikan untuk bakal anak didik kau. Sucikan usaha kau dari setiap ingin dan visi kau yang telah kau tetapkan untuk diri dan berlayarlah engkau untuk menuju kepastian vokasi ini. Yang menunggu di pelabuhan sana adalah anak didik kau dan bukan ingin kau.
Semoga kita terus berbakti.
Commenti