Oleh: Ruby Mas
Telefon bimbit Mahmoud bergetar lagi. Buat kali keberapa, dia tak pasti. Malas memikirkan masalah yang masalah yang lama terpendam sejak tiga tahun lalu. Malah, dia tahu siapa yang menghubunginya berkali-kali. Dia tahu apa kesan mengabaikan panggilan itu.
Kadang-kadang, dia menyesal menyambung PhD hanya untuk memenuhi hasrat arwah ibu. Jika difikirkan sijil PhD ini tidak akan membawa apa-apa perubahan besar dalam kerjayanya. Pangkat yang dimiliki sudah cukup tinggi. Dia dianggap golongan bertuah dan berharta.
Oleh kerana itu ramai yang menggangapnya seperti angsa bertelur emas dan lembu yang takkan kehabisan susu. Memang tidak aneh jika penyelianya sendiri tidak ragu dan malu meminta itu dan ini setiap kali perjumpaan. 10 kilogram minyak zaitun, 5 kotak Kit Kat edisi terhad, 3 kotak buah delima, dan berbotol-botol minyak wangi. Hutang yuran pelajaran pelajar yang berasal dari kampung Dr. Labid, Mahmoud yang lunaskan. Dr. Labid melancong di negaranya, Mahmoud yang menanggung. Sebutkan apa sahaja, dia akan tunaikan semua.
Hari Raya Aidiladha semakin mendekat. Mahmoud gusar lagi. Sudah beberapa kali Dr. Labid memberi bayangan permintaan. “Mahmoud, tahun ini masih mahu teruskan kebaikan?”. “Mahmoud, tanyalah rakan lain dari negaramu sertai korban tahun ini? “. “Mahmoud, tahun ini berapa lembu yang mahu kamu korbankan di kampungku?”
Kebaikan apa yang dia dapat dengan menunaikan semua ini? Adakah semua ini diterima Allah sedangkan dia tidak ikhlas langsung melakukannya. Adakah dia mendapat hak yang sepatutnya diterima sebagai pelajar? Adakah dia diselia dengan baik? Adakah dia mendapat kelebihan dengan pemberiannya yang banyak itu? Tidak seribu kali tidak. Dia teringat kali pertama menghantar kertas cadangan kajian PhD. “Mahmoud, kertas cadangan kajian kamu tidak berapa bagus. Hantar pada Syibli. Dia boleh mantapkan dan bayar pada dia RM1500”. Ketika dia menghantar bab kedua pula, Dr. Labib meminta RM2000 pula. Dia tahankan sahaja perasaan demi sekeping sijil.
Pada mulanya dia hormat dan kagum pada Dr. Labib dek kerana kata-kata awal yang diucapkan beliau pada kali pertama bertemu pelajar-pelajarnya. “Saya menganggap kamu semua setara dan sama sahaja. Tidak kira siapa kamu di negara kamu. Mahmoud, kamu bukan Ketua Polis di sini. Rashid, kamu bukan dekan fakulti di sini. Dan Fahad, kamu bukan duta di sini. Di sini kamu semua hanyalah pelajar saya. Tiada layanan istimewa ditawarkan”. Rupa-rupanya barulah dia fahami kini, ianya hanya kenyataan bagi memperlihat dan menonjolkan betapa besarnya kuasa penyelia ke atas pelajar.
Mahmoud tersepit dan buntu di antara dua persimpangan. Adakah dia perlu menelan sahaja demi menunaikan hasrat ibunya yang sudahpun meninggal dunia. Dia hanya perlu menghubungi dan menyatakan, “Dr. Labib, kali ini 4 ekor lembu untuk kampungmu”. Selesai. Sijil idaman dalam gengaman. Atau, menamatkan kitaran penyalahgunaan kuasa Dr. Labib. Dia hanya perlu menghubungi dan menyatakan, “Dr. Noreen, saya Mahmoud. Saya ingin mengadukan perihal Dr. Labib”.
Pilihan kedua lebih sukar dilaksanakan. Datang pula persoalan-persoalan lain. Adakah Dr. Noreen sebagai dekan akan mempercayai aduan pelajar atau pensyarah dan rakan sekerja yang dikenalinya bertahun-tahun?. Adakah aduan ini akan memberi kesan kepada perjalanan PhDnya? Adakah perlu dia mengadu sekarang? Adakah perlu dia yang mengadu sedang pelajar-pelajar lain rela mengetap gigi dan mengunci mulut?
Mahmoud lemas lagi dengan persoalan dan kemungkinan yang menyesakkan dadanya. Mahmoud kalah lagi dengan ketakutan dan kebimbangan. Mahmoud gagal memenangkan hak diri dan rela diperah sehingga kehabisan susu.
Comentarios