Sebenarnya, kita harus mula merenungi semula, apakah pertimbangan paling hadapan perlu kita letakkan ketika kita membaca sesebuah isu di akhbar atapun media eletronik? Apakah pertimbangan itu kita mulakan dengan penghakiman dan penghukuman, ataupun kita meletakkan pertimbangan kemanusiaan dan keihsanan sebagai nilai fikiran kita?
Masalah pada pertimbangan adalah masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini ketika membaca sesebuah isu. Seringkali yang dikehadapankan adalah pertimbangan hukuman yang dianggap sebagai penyelesaian kepada sesebuah isu. Benda ini tidak asing, dan tidak perlu kepada sebarang penafian lagi. Fikirkan semula: Ketika membaca sesebuah isu, apakah kita akan terlebih dahulu memikirkan hukum halal/haram sesebuah tindakan, atau kita akan mencari sebab-sebab berlakunya sesebuah isu tanpa membuat sebarang spekulasi awal terlebih dahulu?
Jadi, ketika membaca isu Sajat menunaikan umrah di Mekah, di mana pendirian kita selepas mengetahui Sajat dikenakan tindakan di Mekah kerana memakai pakaian wanita?
Ia adalah sedia maklum bahawa amalan Islam di nusantara sekitar kurun ke-14 yang datang berasimilasi dengan feudalisme masyarakat menjadikan pemberatan terhadap soal-soal fiqh adalah dinaungi oleh kekuasaan. Pengajian agama diajarkan oleh ulama-ulama istana di istana-istana. Ulama yang biasanya cuba membangunkan madrasah sendiri dan mula memiliki ramai pengikut mula dicemburui oleh ulama-ulama istana lalu fitnah-fitnah ditabur. Tidak sedikit ulama yang dibunuh atau dihalau keluar negeri oleh raja-raja akibat daripada fitnah ulama istana.
Apabila pengajian fiqh itu mendapat naungan istana, maka yang ditanam ke dalam fikiran penuntutnya adalah fiqh yang taatkan pemerintah dan segala macam bentuk hukuman ke atas sesiapa yang dianggap melanggar norma sosial kerana ia dianggap melawan pemerintah. Sekian zaman berlalu dan terus berlalu, tradisi fiqh istana ini semakin dikembangkan dalam tradisi masyarakat justeru masyarakat ditanamkan dengan dogma bahawa sesiapa yang dianggap berlawanan dengan norma sosial perlu segera dihukum kerana ia dianggap melawan agama dan justeru mengacau ketenteraman sosial.
Cukup saya bagi penerangan ringkas terhadap latar sosial masyarakat feudal itu dalam bab hukum-hakam agama, maka mari kita lihat bagaimana masyarakat hari ini berhadapan dengan isu-isu Sajat. Isunya adalah seorang Sajat yang menunaikan umrah di Mekah dengan berpakaian wanita.
Cuba fikirkan semula: Yang kedengaran adalah hukuman demi hukuman dan makian demi makian yang masyarakat lontarkan kepada Sajat. Rata-rata meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Sajat kerana dianggap telah melanggar hukum agama dan norma sosial. Sajat dianggap sebagai memalukan negara, justeru pihak berkuasa negara diminta agar hukum Sajat.
Pihak berkuasa dianggap sebagai tuhan yang akan menyelesaikan masalah masyarakat yang dilihat sebagai telah melakukan kesalahan. Masalah dianggap akan selesai setelah pelakunya menerima hukuman sekalipun kesalahan yang dilakukan itu hanyalah sekadar maksiat peribadi yang boleh diselesaikan dengan jalan taubat.
Apakah kita terbaca di mana-mana seseorang cuba menyarankan agar para ahli ilmu bahaskan terlebih dahulu, sama ada wujud atau tidak fiqh transgender yang boleh diaplikasikan ke atas kes Sajat? Jangan-jangan fiqh itu sudah ada dalam tradisi Islam, tetapi tidak diangkat kerana kekurangan literasai agawaman terhadap tradisi Islam atau sengaja didiamkan daripada perbincangan awam.
Walhal jika kes Sajat dipertimbangkan dari pertimbangan kemanusiaan, maka masyarakat akan terlebih dahulu cuba membincangkan jalan penyelesaian jikalau seorang Sajat itu boleh menunaikan umrah dengan tenang dan ikhlas dalam dirinya berkeadaan begitu.
Itulah betapa tenatnya keadaan sosial kita yang sudah larut dalam tradisi masyarakat feudal yang berfekahkan fiqh istana. Yang menjadi pertimbangan cuma hukuman demi hukuman, tetapi yang terus ditinggalkan adalah naluri kemanusiaan untuk melihat daripada kanon tradisi Islam itu sendiri kalau-kalau ada jalan keluar kepada masalah ini dengan lebih baik agar semua orang dapat menikmati kemudahan beragama dan ketenangan menjalankan ibadah.
Sayang sekali ramai orang seringkali melupakan kisah Nabi dalam menjatuhkan hukuman hudud ke atas sahabat baginda yang bernama Mai'z bin Malik al-Aslami yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Mai'z datang kepada Nabi mengaku telah berzina. Nabi memintanya pulang ke rumah dan baginda sendiri yang mempersoalkan barangkali Mai'z ada masalah dengan akalnya sehingga tiba-tiba datang membuat pengakuan dosa dan minta dihukum. Tiga kali Nabi meminta sahabat itu pulang selepas membuat pengakuan. Malah Nabi sampai menghantar wakil ke kaum Ma'iz untuk bertanyakan keadaan Ma'iz kalau-kalau Mai'z itu ada masalah pada akalnya. Kali keempat sahabat itu datang, barulah Nabi menjalankan hukuman setelah sahabat itu mendesak agar dijatuhkan hukuman ke atasnya atas perzinaan dan setelah Nabi memastikan bahawa keadaan akalnya sihat.
Begitu juga dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga, bahawa tiba-tiba datang seorang Badwi ke dalam masjid untuk kencing. Para sahabat ingin menggertak, namun bukan sahaja dilarang oleh Nabi, malah Nabi meminta agar Badwi tersebut menyelesaikan kencingnya terlebih dahulu. Selepas Badwi tersebut selesai kencing, Nabi menasihatinya dengan nasihat paling lembut agar tidak mengotori masjid dengan kencing kerana masjid adalah tempat untuk beribadah. Lalu Nabi dengan tenang menyuruh seorang sahabat baginda untuk mencuci najis kencing Badwi tersebut dengan sebaldi air.
Nah, ketika kalian membaca dua kisah tersebut, apakah kalian rasa masyarakat kita akan membuat respon yang sama jika berlaku pada hari ini? Jika seseorang datang dan kencing ke dalam masjid, apakah kalian akan bersikap seperti Nabi itu yang tenang itu? Saya hampir pasti ia bukan sahaja tidak berlaku, malahan akan keluar segala makian dan cacian berserta tangan dan kaki singgah ke badan orang tersebut.
Dalam sebuah masyarakat yang berorientasikan fiqh istana ini, saya percaya hampir tiada lagi orang yang memiliki ketinggian akal budi untuk mampu berfikir secara rasional yang setinggi Nabi itu dalam berurusan dengan isu-isu sosial kontemporari. Lihat sajalah pada isu Sajat menunaikan umrah itu.
Yang menunaikan umrah dan mencipta isu itu Sajat seorang sahaja tanpa melibatkan permasalahan kepada pihak lain. Tetapi segala warga internet di Malaysia ini terus-menerus melemparkan segala kata makian dan cacian kepada Sajat tanpa cuba hendak memahami pun apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Dalam sebuah zaman yang masyarakatnya dibanjiri oleh maklumat, sayang sekali yang semakin hilang ada pekerti kemanusiaan mereka yang tidak mampu lagi hendak menjadi panduan dan teladan untuk mereka menghadapi isu-isu kehidupan. Sayang sekali pengajian agama yang mereka pelajari selama ini adalah terlalu berorientasikan fiqh semata-mata yang tidak dilandaskan oleh nilai-nilai ihsan.
Sementelah pula, tradisi fiqh istana itu sudah mengakar menjadi budaya masyarakat lalu daripada kecil diajar fiqh-fiqh yang seringkali bermula dengan soal hukum-hakam, bukannya tentang penanaman nilai-nilai tulen agama dalam kehidupan. Agama yang diajar daripada kecil di kelas-kelas kafa itu seolah-olah sebagai persiapan dan alat untuk menghukum mana-mana orang yang dilihat telah melakukan kesalahan. Agama itu sudah semakin hilang makna nilainya daripada pedoman ilmu, lalu yang dianggap agama itu hanyalah pada hukum-hakam fiqh semata-mata.
Jika masyarakat tidak bermentaliti fiqh kaku dan mempertimbangkan ihsan dan kemanusiaan sebagai landasan kepada pemerhatian dan kefahaman, pasti isu yang seperti Sajat ini sudah lagi tidak menjadi isu kerana masyarakat sudah mampu menghadapinya dengan tenang dan kefahaman ilmu yang jelas.
top of page
Search
bottom of page
Comments