INDUSTRI filem kebelakangan ini kurang mengeluarkan karya-karya ‘whodunit’ yang menarik bagi mereka yang sukakan genre ini. Usaha Rian Johnson selepas The Last Jedi (2017) ini mendapat kritikan yang positif dan ada beberapa media mengiktirafnya sebagai salah satu filem terbaik untuk tahun 2019.
Secara ringkas, filem ini menceritakan tentang seorang penulis novel genre jenayah yang kaya bernama Harlan Thrombey (Christopher Plummer) telah ditemui mati di loteng rumahnya. Seorang penyiasat peribadi Benoit Blanc (Daniel Craig) berada di lokasi atas alasan bahawa beliau telah diupah oleh seorang individu misteri untuk menyelesaikan jenayah yang berlaku. Plot biasa dalam filem yang berkaitan dengan orang kaya, sudah tentu perebutan harta wasiat. Menariknya perbualan meta (meta conversation) oleh watak-watak yang selari dengan isu semasa, kita boleh menganggap dan percaya bahawa ini adalah filem yang bijak.
Barisan pelakon yang terkenal seperti Chris Evans, Toni Collette, Katherine Langford, Michael Shannon dan banyak lagi membuktikan bahawa tanpa ragu-ragu perwatakan yang dimainkan bukanlah perkara utama yang perlu bincangkan. Kesemua mereka menjalankan watak masing-masing dengan sangat baik. Cuma watak yang dimainkan Ana de Armas sebagai Marta Cabrera iaitu jururawat dan ‘jurudengar’ kepada semua permasalahan yang Harlan hadapi (dengan anak-anaknya) ada turun naik dalam ‘loghat’ yang sepatutnya dibawa.
Apa yang kalian boleh dapat filem ini?
1. MARTA CABRERA ADALAH MVP SEBENAR DAN BUKANLAH BENOIT BLANC
Kebiasaan menonton ‘whodunit’ kita pasti akan mudah terhibur dengan watak detektif dan mudah terpaut dengan kecekapan mereka meneliti kes. Kemungkinan kalian yang menonton akan mendapati Blanc seorang yang wajar diangkat dan dikagumi. Tetapi kalian harus juga melihat sisi Marta. Dia seorang yang bijak dan tahu apa yang dia patut lakukan dalam memastikan keluarga dan dirinya selamat dalam sistem yang menindas dan tidak memahami. Realiti Marta ini yang harus kita sedar. Walaupun setiap daripada keluarga Thrombey menyatakan bahawa dia adalah sebahagian daripada keluarga mereka, namun perkara keji yang tidak ketara yang dilakukan - tiada siapa antara mereka tahu dari negara mana Marta datang. Lebih teruk apabila ada perbualan keluarga yang jelas-jelas mendiskriminasi status Marta. Namun apa yang boleh dilakukan adalah hanya menelan tohmahan berkenaan. Jika diselitkan dengan konteks yang ada pada masa kini berapa ramai migran yang berkerja berhadapan dengan diskriminasi dan stigma yang secara tidak langsung mengganggu psikologi mereka – yang juga manusia biasa dan berusaha?
2. DELUSI KARAKTER
Rian Johnson bermain dengan karakter ditempatkan ke dalam satu slot mengikut pekerjaan yang dilakukan, kewarganegaraan, atau kedudukan sosial. Dari sinilah kita melihat keseronokan Knives Out. Watak-watak bertindak tidak seperti mana tekaan yang kita tembak berdasarkan slot yang ditetapkan tadi.
Filem ini bukanlah satira yang jitu memandangkan polemik fahaman kiri dan kanan berlaku dalam meta conversation antara watak. Akan tetapi, perkara yang jelas kita boleh faham adalah kemegahan yang indah-indah belaka yang dirasakan waris-waris Harlan. Lihat sahaja bagaimana Linda telah berusaha keras menaikkan status dirinya yang bermula dari bawah (walhal ada bantuan daripada bapanya). Atau Walt yang hanya menikmati dan mewarisi syarikat penerbitan Harlan. Malah cucu Harlan, Ransom juga hanya mahu memastikan bahawa dia akan mendapat harta warisan daripada datuknya. Ini adalah kritikan sosial (orang kaya yang tidak mempunyai perangai yang baik apabila melibatkan harta) namun bukanlah cara sofistikated yang dilakukan Rian Johnson di dalam filem ini. Jangan risau, masih tetap seronok dan sedap untuk dilayan.
3. KONFLIK KELUARGA – KEDEWASAAN MENJADIKAN KITA PENTING DIRI
Bolehkah kita menyalahkan Harlan kerana dia tidak mendidik anak-anaknya hingga mereka semua terus-terusan bergantung kepada kekayaan yang dia ada? Ya atau tidak. Filem ini memperlihatkan kita sisi kedewasaan dan bagaimana mereka menjadi manusia yang pentingkan diri. Misalnya Meg seorang ‘self-righteous’ tahu dirinya akan kesusahan setelah mengetahui bahagian hartanya bukan miliknya, terpaksa mementingkan diri atas alasan tertentu.
Jelasnya di sini, keluarga Thrombley enggan mengakui kekayaan mereka berasal dari apa-apa selain kebaikan mereka sendiri. Mereka mengutuk mata bercakap yang hanya memberi manfaat kepada mereka, keyakinan mereka terhadap keunggulan mereka sendiri, keangkuhan diri mereka sendiri - itulah yang tidak masuk akal. Mereka dengan sengaja melepaskan diri menjadi karikatur yang sangat biasa hari ini, dan diserikan lagi filem itu memainkan lagu-lagu bertema gembira, kurang tegang dalam mencari siapa pembunuhnya.
4. KEBIJAKAN YANG SAMA ANTARA HARLAN DAN RANSOM
Harlan dan cucunya Ransom sebenarnya mempunyai kebijaksanaan yang sama. Kenapa tiba-tiba begitu? Apa kaitan datuk dan cucu sikap mereka yang kedua-duanya licik? Kalau mahu tahu lebih lanjut, pergilah tonton dan cari siapa sebenarnya pembunuh itu.
Dalam kes ini, ia adalah prasangka mereka yang buta, bukan kita, yang menyebabkan mereka tersesat. Akhir sekali, karya Rian Johnson ini boleh dipuji sebagai homaj yang baik untuk Agatha Christie.
Comentarios