Oleh Azura Nasron.
TANPA merancang, semalam aku dan teman-teman melihat cerita Escape Plan: The Extractors (Part 2). Cerita ini mendapat kritikan yang teruk di IMDB dengan kata-kata ‘Cheap, awful nastiness. So bad it’s bad.’. Jauh sekali jalan cerita Escape Plan Part 1 dan Part 2 ini. Malah cerita ini juga dikeluarkan pada waktu yang sangat jauh. Hanya selepas 6 tahun cerita Part 2 ini keluar di pawagam.
Namun, sepanjang aku melihat cerita ini hanya ada satu perkataan di minda, ‘dark’. Ya, cerita ini mungkin gagal dari segi sinematografi, sudut kamera merakam aksi, pencahayaan malah ke tahap tona warna filem ini juga bermasalah. Walaubagaimanapun, semua kegagalan ini tidak dapat menolak fakta tentang kezaliman yang berlaku di penjara.
Dalam cerita ini, penjara tersembunyi di Devil’s Station ini menempatkan orang yang paling jahat diantara orang yang jahat. Tempat terbuangnya semua tahanan daripada semua negara yang sudah tidak lagi mahu mereka. Antaranya adalah perogol bersiri, pengganas, pembunuh dan pelbagai lagi. Nyawa mereka juga di tangan-tangan para penjahat walaupun sebenarnya tetap bisa dikira ‘baik’ kerana keistimewaan (privileged) atas perbezaan kelas, dan sebagainya.
SI WALI DAN SI PENCURI
Suatu ketika dulu, guru pernah bertanya, jika Tuhan menurunkan seorang wali dan seorang pencuri, yang mana kamu akan pilih?
Ada yang menjawab wali ada juga yang menjawab pencuri. Tapi tiada seorang yang dapat memberikan jawapan yang tepat. Nah, kata cikgu wali lebih mudah, tidak perlu fikir, langsung masuk ke syurga. Akan tetapi, wali ini sudah tentu tidak perlukan bantuan kita, kerana tentu sahaja wali akan ke syurga. Sedangkan Tuhan menurunkan seorang pencuri dengan bersebab. Barangkali pencuri ini masih ada ruang untuk difahami, dibantu dan sebagainya.
Konsepnya mudah. Siapa kita untuk tentukan seseorang itu benar-benar pesalah melainkan Tuhan yang Maha Esa dan Maha Mengetahui. Kata Hadith pertama dalam 40 Hadith Imam Nawawi, innamal a’malu binniat - Pada permulaan segala perbuatan pasti didahului adanya niat. Maka, siapa kita untuk tahu setiap perbuatan seseorang itu memang dengan jelas niatnya sengaja untuk melakukan sesuatu kejahatan? Bagaimana jika niat itu sebenarnya terperangkap dengan sejarah silam, trauma, kesedihan, denda dan lain-lain lagi? Apa Tuhan akan tentukan hukumannya sama? Tentunya tidak. Tuhan tidak simplistik sebegitu. Jadi, adakah kita lebih Tuhan daripada Tuhan untuk menentukan sesuatu hukuman pada seseorang itu?
BICARA TEMAN TENTANG HUKUMAN MATI
Adapun pernyataan di atas ini terkeluar semasa teman-teman serumah sedang bertungkus-lumus, malah hingga kini masih dalam kajian tentang hukuman mati. Kebanyakan keluarga atau NGO yang selepas ditemu bual menerbitkan kemarahan yang tidak berpenghujung. Terdapat juga beberapa individu yang mahu ditemubual menolak untuk tidak terlibat. Dua alasan yang kerap didengar di pihak yang menolak ini adalah pertama, takut untuk mengatakan apa-apa manakala kedua, sudah tidak lagi berhubung dengan tahanan walaupun mereka punya talian kekeluargaan. Terdapat juga yang berputus asa selepas beratus-ribu habis pada peguam yang ‘gengster’ dan sampah.
Diceritakan oleh teman-teman, terdapat satu kes di mana tahanan sudah 25 tahun berada di dalam sel bilik akhir (bilik sebelum dijatuhkan hukuman mati). Tahukah kalian tahanan di bilik akhir hanya dapat melihat cahaya matahari selama sejam setiap hari? Jadi, tahanan ini sepanjang 25 tahun hanya melihat 9,125 jam matahari. Selebihnya 219,000 jam yang lain dalam kegelapan dengan hanya sedikit cahaya kecil. Dalam 25 tahun ini masih ada kekeliruan mahu dihukum atau tidak. Dalam 25 tahun ini juga persoalan benarkah dia seorang yang bersalah juga masih belum diselesaikan.
Belum lagi membicarakan isu dipukul, diseksa, dirogol, diracun dadah sehingga rosak buah pinggang. Belum lagi membincangkan isu tahanan wanita yang jarang sekali diketengahkan, tiada wakil atau NGO yang fokus pada mereka. Kalau adapun, usahanya mereka sering diterhadkan.
Dalam satu laporan dikeluarkan SUARAM,
‘ Torture has been and remains a well-documented and reoccurring issue in Malaysia. Incidents of physical violence inflicted upon detainees under remand or during investigation are prevalent especially when there are elements of chain remand or detention under security laws. In general, it is difficult to provide the appropriate medical evidence to prove torture has been inflicted as detainees are often locked away until their next court appearance and subjected to threats of further violence by investigating officers if they were to reveal what had been inflicted upon them… In general, ill-treatment often results from inadequate and limited facilities afforded to the police, lack of necessary resources to provide for basic amenities and medical needs, and lack of training or available staff to provide adequate or appropriate detention condition.’
Menurut SUARAM juga, pada tahun 2014 hingga 2018 sebanyak 1096 kes mati dalam tahanan sama ada dalam jurisdiksi polis, penjara mahupun imigresen. Kebanyakannya menggunakan alasan bunuh diri, tidak pun masalah kesihatan seperti sakit jantung atau kencing tikus. Namun, jarang-jarang sekali orang mempersoalkan benarkah alasannya disebabkan kesihatan atau bunuh diri? Sekiranya ya, mengapa boleh wujudnya kes-kes seperti Soh Kai Chiok, S. Balamurugan serta kes N. Dharmendran?
KITA DI MORAL PENJARA
Perkara yang paling berat pada masa ini bukanlah isu sistem perundangan kerana perihal sistem perundangan ini sudah jelas, ada kegagalannya. Ketaranya masalah di dalam sistem ini terlampau banyak hingga sepertinya tiada usaha untuk membereskannya. Masalah yang lagi besar sebenarnya adalah golongan masyarakat yang merasakan perkara ini adalah perkara biasa. Lagi teruk, masyarakat yang merasakan perkara ini layak dikenakan kepada mereka.
Sekarang ini, kita bukan hanya berdepan dengan kata-kata; bersyukurlah sekurang-kurangya dapat makanan, apalah sangat roti berkulat, ikan busuk, teh tawar. Tetapi juga kita mendepani kata-kata seperti, 'ha baguslah, dah bunuh orang, dan rogol orang layak kena lanyak sampai mampus dalam penjara'. Tidak kurang juga dengan kata-kata, 'bagus hukuman mati ini, sekurang-kurangnya mereka dapat bertaubat'. Belum lagi keasyikan kawan-kawan kita menangis apabila Alif Satar membuat sesi gambaran bersama tahanan bilik akhir pada Eidul-Fitri yang lepas.
WAN JI, DIPOLITISASI DAN PENGUASA
Fenomena di atas ini bisa dipanggil sebagai proses dipolitisasi. Dimana mereka-mereka ini cuba menarik keluar masalah-masalah ini dengan sistem struktur yang gagal ini. Mereka merasakan ini bukan masalah sistem apatah lagi masalah awam. Ini adalah masalah peribadi yang tidak mempunyai sifat syukur dan khusnuzon dalam perkara yang dilakukan penguasa. Sepertinya, penguasa itu diturunkan Tuhan dengan jelas mereka lah paling tahu sekali apa yang mereka lakukan. Hukuman-hukuman ini layak pada mereka kerana persoalan tentang mengapa mereka lakukan tidak perlu dinilai dari segi kemanusiaan.
Jadi teman, sebenarnya jika ada cerita-cerita atau video tentang apa yang berlaku di dalam penjara itu janganlah hanya dipandang soal kuantiti hari atau kesnya. Contohnya video atau ceramah yang Wan Ji yang keluar tempoh hari, walaupun kecil sekali seksanya, hanya dipukul sedikit, air teh tidak ada warna, ikan tidak ada rasa, tidak bermakna apa yang dirasai ini harus diterima.
Cukuplah dengan penyataan dari pihak penguasa setiap hari perbelanjaan RM41 riggit bagi 5 kali makan sehari, atau 1.4 billion peruntukan untuk menyelenggara dan operasi penjara untuk kita mempersoalkan kebenaran fakta-fakta ini. Ini belum lagi membicarakan tentang RM647,400 yang didakwa digunnakan untuk warga asing. Kalaulah kita semua mengerti keadaan di dalam penjara imigresen bagaimana!
Ada pun teman-teman yang membaca makalah ini mungkin akhirnya akan mengatakan, ‘Ha sebab inilah kita harus ada hudud, hukuman Tuhan, adil sekali.’ Ahh. Mimpi. Jangan fikir tentang undang-undang jika masalah akar, masalah rakyat, masalah birokrasi masih belum dibereskan.
Oh ya, sebelum berakhir berikut merupakan 5 cerita menarik untuk ditonton untuk mengetahui tentang keadaan penjara, Felon (2008), A prophet (2009), The Green Mile (1999), The Shawshank Redemption (2004) dan Escape from Alcatraz (1979). Juga untuk memahami sifat moral penjara boleh dilihat melalui cerita The Experiment atau The Stanford Prison Experiment. Jika mahu lebih real, ilmiah dan fakta boleh cari dokumentari-dokumentari di Youtube atau kunjungi NGO-NGO yang melakukan isu-isu mati dalam tahanan dan sebagainya.
-TAMMAT-
Commentaires