oleh Amirah Haziqah.
“I saw the best minds of my generation destroyed by madness, starving hysterical naked, ...”
-Allen Ginsberg di dalam karyanya Howl (1955)
SIMFONI No.3 Brahms, simbolik dengan rapsodi ‘bebas, tetapi sunyi’ telah menemukan dua susuk utama dalam filem Kill Your Darlings (2013) iaitu Allen Ginsberg dan Lucien Carr di kamar milik Lucien. Caknanya minda Allen terhadap alunan Brahms, Lucien terus menggelarkannya “An oasis in a wasteland”. Perlu diketahui Allen adalah pelajar baru di Universiti Columbia, manakala Lucien adalah senior kepadanya. Sejak pertemuan rasmi tersebut mereka berkenalan dan menjadi rapat. Allen seterusnya dikenalkan kepada Jack Kerouac seorang pelaut pada masa tersebut yang mana telah ditendang daripada universiti dan William Burroughs, yang pada itu sedang bereksperimentasi dengan dadah. Lucien mempunyai sikap anti-golongan berkuasa namun bijak dalam membawa naratif yang jauh daripada kebiasaan dan tidak mandom.
Berpandukan kitab W.B. Yeats seorang penyair Irish, A Vision mereka giat bersenggama dalam idea-idea yang disekat pihak akademik. Mereka berempat kemudian membentuk kumpulan sendiri dengan nama A New Vision. Kenakalan mereka makin terserlah apabila mereka menukar buku-buku agung yang dipamerkan di perpustakaan kepada karya-karya larangan seperti Lady Chatterly’s Lover, Ulysses dan Tropic of Cancer kononnya untuk membalas tindakan pihak akademik yang meletakkan status pengajian mereka dalam tempoh percubaan.
Namun, persahabatan Allen dengan Lucien tidak disenangi oleh David Kammerer yang merupakan penjaga kepada Lucien. Tanpa disedari Allen, keghairannya bersahabat dengan Lucien menimbulkan perasaan cemburu kepada David hingga membawa kepada peristiwa yang mudarat kepada masa depan Lucien.
Di adaptasi daripada kisah benar tunggak-tunggak utama kepada Beat Generation, sebuah gerakan sastera yang dimulakan oleh Allen Ginsberg bersama-sama Jack dan William, filem ini mula ditayangkan perdana dunia di Festival Filem Sundance 2013. Menerusi karya John Krokidas ini secara tidak langsung memperkenalkan kepada kita dengan gerakan yang memecahkan tabu literasi, terutamanya. Peristiwa di dalam filem ini telah memberikan inspirasi kepada Allen untuk menulis puisi buat Lucien bertajuk Howl.
Fokus gerakan sastera oleh anak muda ini menjurus kepada meneroka kembali apakah budaya dan pengaruh politik di Amerika pada era selepas perang. Jika kita lihat kepada lambakan nukilan mereka rata-ratanya adalah berkenaan penolakan nilai naratif standard, mencari sisi spiritual melalui agama-agama yang ada, penolakan kepada sikap materialisme serta penayangan secara telus tentang keadaan manusia. Banyak filem dan dokumentari yang dihasilkan menayangkan ‘ideologi’ penulis-penulis gerakan ini antaranya Howl (2010), On The Road (2012) dan Big Sur (2013).
Kill Your Darlings membawa sudut pandang yang baik untuk kita melihat sendiri gerakan anak muda dalam melawan literasi yang menjadi trend utama serta usaha untuk menimbulkan kembali karya-karya yang disekat. Babak-babak di mana kita melihat pemain watak bercakap, merancang, dan pada akhirnya saling berani untuk melaksana dan berinovasi (hasil daripada pembacaan sastera), adalah perkara yang harus dipuji di dalam filem ini. Walaupun pada awalnya kita mungkin menganggap ini adalah kisah pembunuhan yang malangnya terjadi dalam tempoh persahabatan mereka, namun filem ini menjadi menarik kerana kita ditayangkan dengan babak-babak anak muda yang moral intelektualnya tersangkut di pagar sesat. Mereka tercari-cari dan keliru dengan apa yang perlu dilakukan seterusnya dan bukanlah filem yang bertindak menjadi hero dengan menyediakan jawapan buat kita anak muda. Hal ini dapat dilihat sebagai satu perkara yang perlu diberikan kredit.
Sekiranya filem ini melepasi panggung di Malaysia sudah pasti elemen lain yang akan diangkat dan dihentam kerana membawa agenda pembebasan seksual (secara umumnya). Atau jika diberikan kepada kumpulan aktivis yang tercakna pemikiran mereka pasti akan mengatakan filem ini tidak inklusif, terlampau dicuci dengan pemikiran orang kulit putih dalam permulaan segala-galanya. Bukan semua filem sempurna, namun, cela yang ada pada karya ini tidak bermakna kita tidak bisa mencari lapisan yang baik, bukan?
Sejujurnya, saya merasakan ada satu perkara yang kita boleh pelajari, walaupun boleh dikatakan agak tersirat iaitu keberanian Allen dan teman-teman dalam membawa gerakan yang naratif agak bohemian. Hari ini jika kita berusaha membawa perihal-perihal yang berisiko walaupun dibawa dalam ruang perbincangan yang intelektual, pasti akan menimbulkan kacau-bilau hingga membuatkan penggeraknya lemah stamina. Saya pasti, melalui filem ini, dan berkenalan dengan gerakan sastera yang berani memijak tabu masyarakatnya, impak Beat Generation terhadap pemikiran anak muda anti-konformis masih wujud, seperti perjalanan hidup Alexander Supertramp dalam Into the Wild (2007).
Kommentare