Oleh: Basri M
Wada’ (Khutbah Perpisahan) adalah khutbah terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Agung, Nabi Muhammad SAW di Lembah Uranah, Arafah pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah. Khutbah ini disampaikan dihadapan kira-kira 100,000 orang jemaah haji yang bersama Nabi Muhammad SAW. Didalam lautan manusia ini Nabi Muhammad SAW menyampaikan suatu risalah dan pesan-pesan yang memberi isyarat bahawa “hari ini telah sempurna agama (Islam) ini.”
Jika diteliti intipati khutbah ini maka boleh didapati bahawa ada beberapa tema dan perspektif yang disentuh oleh Nabi Muhammad SAW. Sudah pasti pesan-pesan in penting kerana ia umpama kesimpulan yang didalam bahagian sebuah buku. Ini adalah penutup. Bahagian yang disimpulkan, dirumuskan dan ditekankan semula mesej-mesej Islam. Betapa ia penting sehingga Nabi Muhammad SAW berpesan supaya sampaikan kepada mereka yang tidak hadir hari ini di sini (Arafah).
Khutbah Wada’ merupakan suatu risalah saleh ritual dan saleh sosial. Ada pesan-pesan daripada langit (wahyu) dan ada pesan-pesan kemanusiaan yang menekankan perihal keadilan sosial. Mengambil gagasan Gus Mus, Saleh Ritual adalah hubungan vertikal antara hamba dan Allah SWT (hablum minallah) manakal Saleh Sosial adalah hubungan horizontal antara hamba dan sesama makhluk (hablum minannas).
Khutbah pertama dimulakan oleh Nabi Muhammad dengan larangan mengambil harta yang bukan hak kita. Pesan ini disampingkan dengan larangan jangan menyakiti sesiapa. Seterusnya, Nabi Muhammad SAW berkata mulai hari ini Allah SWT telah mengharamkan riba. Kita boleh merumuskan bahawa suku pertama isi khutbah ini membawa pesan-pesan melawan penindasan dan ketidakadilan dalam urusan seharian.
Suku kedua khutbah menarik kerana Nabi Muhammad SAW membawa pesan-pesan membela hak dan kedudukan wanita didalam Islam. Perkara ini penting kerana jika ditelusuri daripada sosio-historis, Arab Jahiliah sangat merendahkan martabat wanita didalam masyarakat. Nabi Muhammad SAW menyampaikan suatu risalah berani yang berjaya mengubah fabrik sosial dan menongkah arus budaya gelap Arab Jahiliah. Nabi Muhammad SAW meminta supaya wanita dilayani dengan baik dan lemah-lembut.
Suku ketiga intipati khutbah Nabi Muhammad SAW mula menyentuh perihal Saleh Ritual. Arkanul Islam (5 Rukun Islam) jelas digariskan secara jelas kepada umat manusia untuk dipelihara teguh. Tauhid Allah SWT, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa bulan Ramadhan, tunaikan zakat dari kekayaanmu, dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.
Menarik kerana pesan-pesan Saleh Ritual ini terus disambung dengan semangat persaudaraan sesama manusia. Manusia semua hanyalah sama. Tiada siapa yang lebih mulia daripada sesiapa di sisi Allah SWT melainkan ketaqwaan dan amal. Barangkali Nabi Muhammad SAW sudah mengetahui bahawa pada zaman yang mendatang akan banyak ‘tuhan-tuhan palsu’ yang dicipta. Terpisah dan menjadi kelas-kelas hierarki manusia dengan adanya mereka yang suci mulia di atas dan mereka yang hina rendah dibawah. Oleh itu, dengan kebijaksanaan dan hikmah Sang Nabi ini maka ditegaskan supaya jangan sesekali terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku!
Terakhir, Nabi Muhammad SAW memasukkan unsur Nubuwat (kenabian) didalam suku keempat khutbah baginda iaitu tiada akan lagi Nabi yang diutus selepas Nabi Muhammad SAW. Tiada lagi agama baru yang akan turun. Nabi Muhammad SAW berkata bahawa baginda meninggalkan dua perkara yang jika kita berpegang teguh maka tidak akan sesat iaitu al-Quran dan Sunnah.
Comments