top of page
Search
Admin Baik Hati

KESEDARAN DAN SIKAP MAHASISWA YANG BERKARAKTER

Oleh: Basri M


Bagaimanakah kesedaran dipupuk? Sikap yang seperti apa diperlukan oleh intelektual dan terus penulis menujukan kepada golongan mahasiswa? Penulis rasa terpanggil untuk menulis tulisan ini bukan kerana ingin mengajar, menunjuk-nunjuk, mendabik dada bahawa dirinya sahaja yang betul dan selainnya salah, atau menyebabkan perpecahan dan sebagainya. Sebaliknya, penulis ingin berkongsi rasa jiwa dan menyeru agar golongan mahasiswa sedar akan fungsinya serta bersikap intelektual dalam pemikiran, pandangan alam, gerak-geri strategi, perilakunya, dan praktik realiti mendepani masyarakat dan dunia global.


Seperti kata budayawan masyhur Jawa, Ranggawarsita, zaman kini adalah Zaman Edan (gila). Bertebaran kerosakan, salah guna, kesesatan, salah faham, persengketaan, ketidakadilan, dan pelbagai jenis kemungkaran. Namun begitu, apakah patut golongan mahasiswa berpeluk tubuh dan bersila panggung menonton sahaja kefasadan yang berlaku di depan matanya?


Sikap intelektual mahasiswa seperti apa yang dimaksudkan penulis?


Pada pengamatan penulis, mahasiswa hendaklah punya tiga sikap intelektual, iaitu: (1) Sentiasa berdamping dengan buku dan terlibat aktif dalam aktiviti ilmiah. Saranan Dr. Alinor Abdul Kadir ketika membentang kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Budaya Intelektual’ dalam Simposium Citra Cendekia Bitara di Bangi pada bulan Jun yang lepas menyatakan bahawa, mahasiswa perlu membaca sekurang-kurangnya 100 muka surat sehari buku ilmiah.


Praktik ini bukanlah suatu indikator tetapi ia adalah suatu proses perjalanan disiplin diri untuk mahasiswa. Dengan banyak membaca maka mahasiswa akan membuka pandangan sarwa dan menerima pelbagai perspektif didalam memandang sesuatu isu. Rentetan luas pembacaan diterjemah melalui tindakan iaitu diskusi-diskusi. Dengan berdiskusi mahasiswa mampu melakukan silang informasi dan pendapat didalam perkara yang belum ia terokai.


Selain itu, (2) Mahasiswa hendaklah kritis dan inovatif dalam berfikir serta bertindak. Sepatutnya mahasiswa perlulah mempersiapkan diri mereka dengan pemikiran kritikal-analitikal. Dalam mendepani gelombang Revolusi Industri keempat ini, minda konsumerisme adalah bukan pilihan mahasiswa. Seperlunya mahasiswa berinovasi dalam menyediakan alternatif-alternatif permasalahan dan penciptaan sesuatu yang baru buat masyarakat. Tamsilan, penciptaan ‘Mini Urban Farming’ oleh dua orang siswa Kolej Komuniti Masjid Tanah pada tahun 2015 merupakan contoh yang baik. Mini Urban Farming adalah inovasi kitar semula tanaman aquaponik tanpa penggunaan tanah yang berkonsepkan Go Green. Kos permulaan projek inovasi ini hanya RM10 sahaja. Hasil inovasi ini menyelesaikan permaslahan kesempitan wang yang dihadapi orang ramai dengan penjimatan perbelanjaan sayur-sayuran. Kini orang ramai mampu menanam sayuran dan buahan sendiri. Hal ini kerana model ini sesuai dipraktikkan dengan tanah, bahan dan masa yang minimum.


Seterusnya, (3) Mahasiswa haruslah seorang yang berkarakter mandiri. Mereka orang yang mengenal kebenaran & kebatilan, berani menggunakan ilmu dan pengetahuannya memperjuangkan kebenaran serta memerangi kebatilan dengan caranya mandiri tanpa bergantung harap pada mana-mana pihak. Menurut Ki Hajar Dewantara, karakter tidak jauh bezanya dengan budi pekerti bukan sekadar konsep teoritis sebagaiman yang difahami masyarakat umum. Karakter datangnya daripada keperibadian dalaman yang berpaksikan kesedaran untuk membuatkan kebaikan tanpa diskriminasi.


Dalam buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri karya Pendeta Za’ba yang kurang lebih ditulisnya 40 tahun yang lalu ada menyebutkan dalam bab kedua perihal 2 mengenai kemajuan diri tunggal dan bangsa. Dalam bab ini, Pendeta Za’ba menekankan bahawa umat yang kuat dan maju lahir daripada individu-individu yang kuat dan maju. Begitu juga aplikasi kepada mahasiswa. Mahasiswa yang mandiri dan berkarakter lahir daripada siswa-siswa yang mandiri dan berkarakter. Contoh yang dapat dilihat melalui gerakan Persatuan Pelajar Universiti Malaya pada tahun 1960-1970. Mereka mampu mandiri dengan mempunyai akhbar terbitan sendiri, mempunyai bas yang dibeli sendiri untuk kegunaan aktiviti pelajar, mempunyai bangunan pejabat yang disewa sendiri dan lain-lain.


Kesimpulannya, kesedaran dan sikap mahasiswa yang berkarakter dapat dicapai melalui 3 cara seperti yang disebut penulis iaitu sentiasa berdamping dengan buku dan terlibat dalam aktiviti ilmiah, kritis dan kreatif dalam bertindak dan mempunyai karakter mandiri. Jika mahu melihat bagaimana nasib dan masa depan sesuatu negara bangsa maka lihat para pemuda dan mahasiswanya.

30 views0 comments

Коментарі


bottom of page