top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

KERA, HUJAN DAN HAMKA.

Oleh Nursyuhaidah A. Razak.



PAGI itu, hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Suara-suara kasar dan ganas terdengar di tengah langit, entah bergaduhkan apa tiada seorang pun yang berani bertanya. Pokok kelapa yang daunnya sudah tua, disambar petir. Dua kali. Terjelepok mati kera Tuan Faqehudin. Hangus. Hitam. Pokok kelapa itu barangkali terkejut dan menangis hanya saja di dalam cara yang manusia tidak fahami.


‘’Engkau bersungguhkah ini?’’


‘’Mengapa tidak?’’


‘’Dia itu perempuan!’’


Surat bersampul kuning yang aku terima tiga bulan lalu, masih erat lagi di tanganku. Tangan itu aku genggam.


Aku sembunyikan dahulu kelat pada bibirku yang telah kusapukan pemerahnya sebelum kulepaskan ia bercakap dengan lelaki bermata udang itu. Hanya sederhana, sekadar sudah boleh menutup pucat dan garisan halus, selebihnya kubiarkan bibir itu terbentuk dengan keasliannya. Lelaki tidak berbaju itu tidak lagi aku pandangi dengan ketakutan yang berpuluh tahun aku sorokkan, pagi itu aku sengaja menunggu apa lagi kebodohan yang akan keluar dari bibir gemuknya itu.


‘’Caramu itu tidak bermaruah. Engkau cuma akan mencemarkan santun perempuannya. Apa engkau tidak berasa malu?’’


Wajah lelaki itu makin membulat, kali ini bersama lelehan peluh dari anak rambutnya yang menggumpal sehinggalah ke leher. Kakinya bersilang di atas kerusi kayu yang sudah lusuh sarungnya itu, menampakkan betis kakinya yang besar dan berbulu kerinting. Dia menjentik-jentik hujung rokok daunnya sebelum disuluhkan api. Matanya yang tersembul hodoh itu melirik ke arahku.


‘’Di mana salahnya caraku? Bukankah perempuan juga punya hak memilih?’’


‘’Ah engkau hanya memalukan diri sendiri. Bukan cara kita perempuan melamar lelaki, tidak cukupkah engkau membiarkan lelaki saja melakukan hal itu? Engkau terlalu terdesak sampai perlu pergi kepada lelaki. Itu cara pelacur!’’


‘’Jadi aku perlu menguncikan diri, lalu membiarkan lelaki tercelaka sepertimu masuk ke kamarnya?’’


Mendadak cawan berisi kopi itu dihempas ke lantai, lelaki yang besar itu bingkas bangun dengan segala kepayahan, perutnya memang terlalu besar dari kepalanya sendiri. Dia mengangkat-angkat tangannya sampai nampak urat-uratnya yang berselerak. Tangan yang selalu menggerunkan aku berpuluh-puluh tahun, pagi itu sekali lagi ia mengeras di mukaku. Dua kali. Tiga. Lima.


Aku sempat melihat perut besarnya bergerak-gerak seperti ombak, nafasnya dihembus kuat dan laju, terlalu dekat dengan mukaku.


Tiga puluh tahun lalu, apabila lelaki itu meminta anak perempuannya Haji Karim, aku tidak mampu mengagak apa sebenarnya yang difikir orang tua ketika itu. Aku seperti tikus yang disuakan tuan rumah sepapan keju di balik lubang kecil. Sedang di luar lubang kecil itu, kucing lapar telah siap untuk menerkam.


“Sudahlah! Engkau jangan lagi mengatur hidup anak perempuan kita. Cukuplah orang tuaku saja yang bodoh, janganlah kebodohan itu engkau ambil. Dia sudah membesar dengan elok, aku yakin dia lebih percaya diri. Baca ini, dia sudah pandai jujur dengan Cintanya!”


Surat bersampul kuning itu aku tunjal-tunjal di kepalanya. Terus lelaki bernafsu kuda itu meludahiku.Kaki panjangnya melangkah keluar dari rumah. Pokok kelapa yang sudah condong itu diterajangnya sekali, tumbang. Batang pokok itu kemudian dipatah-patahkan sehingga menjadi kepingan tajam.


“Apa yang engkau buat di situ? Engkau mahu merodok perutku dengan itu? Silakan!”


Lelaki itu meluru kepadaku, memang tidak lagi dia peduli dirinya yang separuh bogel itu. Matanya berubah menjadi merah. Tiba-tiba langit mengaum begitu ngeri, kilat pancar-memancar. Belum sempat mataku berkedip, sekilas petir memanah tepat di kepala lelaki itu.

Mati! Tuan Faqehudin mati! Matilah dia di tempat yang sama keranya mati.


Aku kemudiannya ketawa sehingga tidak boleh lagi aku hentikan tawaku sendiri. Surat bersampul kuning itu aku rangkul. Perlahan-lahan, aku mengucupnya.


“Anakku, engkau sudah boleh pulang.”



*

Bondaku, engkau masih ingat bukan Hamka yang selalu aku ceritakan dalam surat-surat yang lepas? Aku selalu menjumpai bayanganmu pada baris-baris ayat yang ditulis Hamka, kemudian aku mesti akan menuliskan namamu di tepi ayat itu. Ayatnya seperti ini bonda - dalam masyarakat perlu ada orang-orang yang berani menyatakan perkara-perkara yang dipandangnya benar. Lagi Hamka menyambung, misalnya menyatakan kesalahan perkara-perkara yang telah terbiasa orang, telah teradat, padahal tidak sesuai lagi dengan zaman. Dengan keberanian budilah orang-orang berani itu membantah dan orang-orang lain marah kerana kritiknya. Namun kata Hamka, dengan diam-diam orang-orang yang marah itu akan turuti juga apa yang dikatakan orang-orang berani itu.


Bonda, aku telah boleh mendamaikan perasaanku terhadap ayah, aku sudah lupakan kerakusannya pada malam 10 tahun lalu. Janganlah kerana ketakutan engkau sanggup menyekat laluan kerinduanku kepadamu. Engkau telah sempurnakan kemuliaan dirimu, berilah aku peluang menatap anak matamu sekali lagi. Aku telah cukup belajar kecekalan hati dari matamu. Di sini juga ada satu hal yang engkau perlu tahu, bonda. Aku telah belajar mempercayai seorang lelaki, ya di sini ada seorang lelaki yang telah berani membesarkan jiwaku. Engkau telitilah dia selama 6 bulan, dan lamarlah dia untukku sekiranya dia baik menurut fikirmu. Bersama ini aku kirimkan sekali buku Falsafah Hidup. Carilah kekuatanmu kerana sudah kutuliskan namamu di situ.


Untuk kesekian kalinya aku bertanyakanmu bonda, sudah bolehkah aku pulang ke rumah?

69 views0 comments

Commenti


bottom of page