top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

KEPALA TIDAK BERTUDUNG: MUSUH MASJID ATAU MUSUH SI ABID?

Updated: Aug 9, 2019

Oleh: Huda Ramli 


Minggu lepas kita dikhabarkan dengan kisah judgemental yang tidak masuk dek akal seorang makcik yang menarik telekung dua orang perempuan kerana tidak suka salah seorangnya tidak bertudung dalam surau. Apatah lagi dengan rambut perang dan baju pendeknya membuatkan kebencian makcik itu meluap-luap dan seorang lagi perempuan yang membelanya daripada dicemuh terus-terusan ketika mereka hendak menunaikan solat di surau sebuah pasaraya. Kisah lanjut boleh dibaca di [SINI].


Kisah ini mengingatkan saya kepada Maryam Lee tentang bagaimana dia pernah dicemuh oleh netizen satu Malaysia kerana memakai skirt pendek dalam masjid. Dituduhnya tidak menghormati masjid dan membuat kemungkaran dalam masjid. Ditambah lagi dengan komen-komen seksis yang mengata fizikal Maryam dan peribadinya, seolah-olah perbuatan komen-komen keji itu menjadi halal lagi mulia hanya kerana Maryam tampak melakukan kemungkaran besar pada rumah Tuhan; dan mereka yang mencemuh merasa diri mereka pembela Tuhan.


Apabila kisah ‘tarik telekung’ ini tersebar, seorang kawan mengadu akan hal yang hampir sama. Dia tidak berkerudung. Apa yang diadukan kepadaku adalah susah untuk dia solat di surau dan masjid kerana penampilannya tanpa cemuhan mata yang melihat. Sudahnya dia akan memilih tempat yang jauh daripada orang untuk menunaikan solat. Begitu sekali susah orang yang tidak bertudung mahu bersolat di tempat awam. Sampai dia jadi fed up mahu solat. Maka, cerita makcik ekstrim yang menarik telekung dua orang perempuan tadi sebenarnya bukan satu kepelikan. Itu adalah simptom sikap judgmental yang membarah dalam masyarakat yang tidak diubati dan dipangkas awal-awal akarnya, lalu ia menjadi parah dan membinasakan keamanan dan kerukunan sesama muslim. 


Hal aurat perempuan adalah sesuatu yang sering menjadi modal perbincangan hangat masyarakat muslim terutamanya di tempat kita ini. Saya katakan aurat perempuan sahaja kerana jarang lelaki dicemuh kerana tidak berpakaian menutup aurat. Dalam hal ini, terang-terang cemuhan berkenaan dengan aurat perempuan berbalut patriarki kerana cemuhan ini tidak pernah seimbang antara lelaki dan perempuan. Mengawal tindak-tanduk perempuan, pakaian perempuan, dan pemikiran perempuan adalah ciri patriarki yang paling utama. Polis moral lebih keras pada perempuan tidak bertudung dan memakai skirt pendek di masjid berbanding dengan pemakan rasuah dan pencabul kehormatan kanak-kanak yang merosakkan kehidupan orang lain. 


Dalam hal ini, ketempangan masyarakat dalam memahami keramahan masjid pada semua orang tanpa mengira siapa pun, saya letakkan kesalahannya kepada para agamawan dangkal yang tidak cukup ilmu ataupun yang tidak jujur menyampaikan agama. Para agamawan ini lupa, tidak tahu atau tidak kisah untuk mengambil iktibar daripada hadith Nabi tentang kisah seorang Arab pedalaman yang kencing di masjid. 


Kisah ini direkodkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: 


Seorang Arab badwi telah kencing dalam masjid, maka orang ramai meluru kepadanya untuk memukulnya, maka Nabi SAW berkata: “Biarkan dia dan siram kencingnya itu dengan sebaldi air; sesungguhnya kalian diutuskan sebagai orang yang memudahkan bukan diutuskan sebagai orang yang menyusahkan”. (Riwayat Bukhari)


Nah, pada saya ini dalil yang membuktikan bahawa masjid atau mana-mana tempat ibadat ini wajib tidak menghalau siapa-siapa pun termasuk orang yang dilihat tidak patut berada dalam masjid melainkan pengganas atau penjenayah yang mahu membahayakan dan mengancam keselamatan orang lain. Perangai jemaah masjid yang mahu memukul si badwi itu sama sahaja dengan kisah makcik-makcik yang jahat tangan dan mulutnya. Tetapi malangnya tiada tangan yang kuat menghalang dan menegur perbuatan makcik-makcik tersebut. Si badwi itu beruntung kerana Nabi SAW ada di situ menyelamatkan dia daripada dipukul oleh jemaah masjid. Tidak masuk dek akal perbuatan kencing di dewan solat masjid lebih ringan tarafnya berbanding tidak memakai tudung dan berskirt pendek dalam masjid. Tidak pula dihalaunya lelaki itu balik dan jangan datang lagi ke masjid kerana perbuatan kejinya itu. 


Suara-suara yang menyanggah berkata, “Bila masuk masjid dan surau, adabnya kena lah tutup aurat. Kalau orang cemuh, memang padan muka lah sebab tak ikut peraturan dan adab dengan masjid”. Kalau mahu dituturkan dengan nada yang sama boleh sahaja Nabi salahkan si badwi jika badwi itu dipukul itu kerana telah menghina masjid dengan perbuatannya yang kencing dalam masjid, tetapi Nabi tidak bersikap demikian. Nabi melihat, perbuatan sebegitu hanya menjauhkan orang dari masjid. Tidak pula jemaah masjid mempertikaikan Nabi dengan mengatakan bahawa: “Nanti dia kencing lagi macam mana?” Terus sahaja mereka faham dengan ayat Nabi yang mengatakan, “Kamu diutuskan sebagai orang-orang yang memudahkan, bukan orang yang menyusahkan”. 


Dalam hadith lain yang mempunyai spirit yang sama, Nabi mengingatkan kita: 


Daripada Anas, Nabi SAW bersabda: “Permudahkanlah, jangan menyusahkan. Dan berilah khabar gembira, dan janganlah kalian buat orang lari.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)


Dalam satu hadith tentang peri pentingnya solat: 


Daripada Jabir bin Abdullah Al Ansari, diriwayatkan daripada bapanya: sabda Nabi SAW: 


“(Pemisah) di antara seorang lelaki dengan kufur dan syirik itu adalah meninggalkan solat”. (Riwayat Muslim)


Lalu soalan yang saya mahu tanyakan, tidakkah mereka yang mahu solat itu adalah orang yang paling layak diramahi dan diberikan khabar gembira serta dimudahkan urusannya kerana dia mahu menjauhi kekufuran dengan solatnya itu? 

189 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page