Dalam dunia pasca-moden ini, kita dilambakkan dengan pelbagai hiburan. Salah satu hiburan yang masih kekal hingga sekarang adalah filem. Umumnya kita berminat dengan sesuatu filem adalah kerana kita menikmatinya dan apa yang kita nikmati kadang-kala kurang berkaitan dengan elemen seni. Ada kalanya, kita sering timbul dengan persoalan sejauh mana kebenaran atau logik yang ada dalam sesuatu filem. Seorang pengkritik filem bernama Pauline Kael menyatakan penonton filem akan mengambil lambakan ‘sampah’ yang dihidangkan akan tetapi sukar untuk kita beratur mendapatkan pedagogi. Dalam filem sebenarnya kita mahu kebenaran yang berbeza sifatnya, sesuatu yang mengejutkan atau sesuatu yang kita daftar dalam kepala sebagai lucu atau yang menakjubkan. Ada kalanya kita boleh dapat sesuatu daripada filem-filem biasa atau filem-filem teruk. Jadi, persoalan ini mula timbul, mengapa kita tonton filem? 1. Filem mempamerkan budaya atau realiti yang jarang/tidak pernah kita ketahui Budaya yang terkandung dalam filem-filem lama boleh jadi kekal relevan dengan realiti masyarakat atau sifat individu pada hari ini. Lambakan filem seram dan rempit suatu ketika dahulu menggambarkan realiti masyarakat kita. Ada realiti dalam filem yang kita sedar atau buat-buat tidak sedar seperti filem Anak Halal (2007) arahan Osman Ali, Mukhsin (2006) arahan Yasmin Ahmad, Jagat (2015) arahan Shanjhey Kumar ataupun Perempuan, Isteri dan ... (1993) arahan U-Wei Haji Saari. Semua ini dapat kita pelajari dan hadam tentang perkara-perkara yang berlaku disekeliling. Kehidupan orang di bawah sering tidak mendapat perhatian orang kelas atasan. Melalui filem, segalanya kebenaran hidup perlahan-lahan terkupas. Anak-anak milenial mungkin mengenali filem-filem Hindustan dengan babak-babak indah – kita semua tahu filem apa. Realiti menampar apabila kita dicampakkan dengan karya Vikas Swarup, Slumdog Millonaire (2005). Walaupun dikaburi dengan kepintaran Jamal Malik (Dev Patel) namun, kritik sosial tetap ada berakar dalam filem berkenaan. Ditambah pula dengan beberapa filem aktivisme Aamir Khan tahun-tahun berikutnya. 2. Filem bawa kita meneroka Tidak kiralah filem itu tentang pengembaraan hidup individu atau kelompok minoriti, perkara utama yang kita akan terima dari filem sudah tentu berkenaan arena penerokaan. Apa peri pentingnya penerokaan? Supaya kita sedar, hidup ini lebih daripada apa yang kita fikirkan. Pengembaraan bukan sahaja terhad kepada ke sesuatu tempat baru atau berjumpa dan bersembang dengan orang asing. Ibarat dalam filem Secret Life of Walter Mitty (2013) atau Into the Wild (2007), penerokaan dan pengembaraan hidup itu boleh berlaku melalui dalam jiwa individu itu sendiri. 3. Filem bina estetika penonton yang tersendiri Sepanjang minggu kita akan merindui hari minggu - di mana kita akan bercadang untuk bersantai duduk di pawagam, dengan hanya menikmati diri sendiri, merehatkan bertanggungjawab yang ditanggung semasa hari-hari bekerja serta tidak perlu menjadi "baik" untuk memuaskan orang lain. Kita mungkin hanya mahu melihat orang-orang di skrin dan tahu bahawa mereka tidak melihat kembali kepada kita, bahawa mereka tidak akan menghidupkan kita dan mengkritik kita. Apa yang pasti, melalui filem, ia boleh menjadi medium dan asas yang terbaik dan paling mudah untuk membangunkan perasaan estetika kerana tanggungjawab untuk memberi perhatian dan menghargai seni. Secara tidak langsung ini membuatkan kita tidak hanya seronok secara melulu dalam menonton wayang, namun dapat memupuk nilai estetika. Kita mungkin tidak dapat memahami Interchange (2016) arahan Dain Said atau Velvet Buzzsaw (2019) arahan Dan Gilroy. Tetapi ada nilai-nilai estetika yang boleh kita pelajari dan hargai. Ada kalanya seni filem itu hanya perlu dinikmati tanpa perlu difahami sepenuhnya. Memetik kata-kata Sean O’Connell ketika bertemu dengan Walter Mitty di pergunungan terpencil; Beautiful things don’t ask for attention.
top of page
bottom of page
Comments