top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

KEMISKINAN SEPERTI SEKS: MAHATHIR, MAZA, ZAKIR NAIK TIDAK AKAN PERNAH MELIHAT BAGAIMANA IA BEKERJA.

Oleh Izzah Dejavu.



KITA bakal 62 tahun merdeka dan sebahagian dari waktunya adalah melihat bagaimana kemiskinan bekerja. Kita tidak perlu menjadi genius untuk membaca situasi dunia hari ini. Ketegangan di wilayah Jammu-Kashmir, respon Priyanka Chopra terhadap perang nuklear terhadap Pakistan, Dong Zong, ajakan MAZA untuk gempur, Mahathir dan Zakir Naik semuanya berdiri atas garis yang sama; Perkauman. Kad-kad kaum, identiti dan ketuanan dilempar ke masyarakat, biar gundah, biar roboh, biar mengaduh sampai gaduh!


Beribu-ribu batu jauh dari tanah air-pengalaman bertukar-tukar negara lewat persidangan antarabangsa atau perjalanan yang dimulai sendiri bertahun lepas, ada satu persamaan yang aku perhatikan baik di pergunungan, baik di desa, di ceruk-ceruk bandar bahkan di tengah kota metropolitan masyarakat golongan pertengahan. Namanya kemiskinan. Bezanya cuma aku, yang tidak lagi menulis hal-hal kemiskinan lewat waktu yang panjang. Bukan aku hilang rasa, kerana di hati paling dalam cuma ada kemarahan yang tak bisa disalurkan. Dan menurut aku, ia cuma kemarahan kosong- kerana yang aku mampu saat ini adalah sepotong artikel kecil ini.



KEMISKINAN SEPERTI SEKS.


Kemiskinan seperti seks. Bukan perkara baru, tapi umum mengetahuinya. Bukan perkara tabu, tapi dilindungi kerana bakal membunuh golongan penguasa, melukai para pemegang ekonomi. Bahkan kemiskinan juga diromantisasi lewat agama. Kita diajar bersyukur, kita diberitahu menerima apa adanya. Kata agamawan lagi, ini takdir Tuhan, ujian biasa manusia didunia. Masa mahu ke syurga, tidak ada halangan? Jadi harus sabar. Sedangkan semua maklum, tidak ada yang mampu bertahan walau sesaat untuk satu nikmat hidup yang lebih baik. Kenapa disuruh sabar?

Begitulah sistem kemiskinan ini telah menutup mata kita. Bahkan membuat kita malu meminta keadilan secara terus. Apa nanti perspektif masyarakat? Malas, tak punya tenaga. Tidak bersyukur. Tidak berusaha. Tidak tahu malu. Pokoknya, yang negatif semuanya. Kerana apa? Kerana masyarakat telah ditanam dan diajar untuk tidak melihat kemiskinan baik dari institusi negara, institusi agama dan ini termasuk para agamawan hipokrit. Di mata liar mereka seolah ada satu penyaringan yang menyah kemiskinan, dibiar buta.



APA BENAR PENGUASA NEGARA DAN AGAMA BUTA?


Institusi negara dan agama yang memiliki kekuasaan sentiasa tahu tentang kebenaran. Betapa sistem kemiskinan menjerut masyarakat kecuali mereka yang punya kekuasaan dan mereka yang selasa berdamping manja, bercium ghairah di ranjang kekuasaan demi memastikan hubungan baik dengan pemerintah. Mahathir tahu apa yang dilakukannya. Narendra Modi tahu apa yang dilakukannya. Para elit tahu apa yang dilakukannya. Mereka yang menambak laut di Pulau Pinang tahu apa yang dilakukannya. Para birokrat, para kontraktor tahu berapa nilai yang mereka rampas dan curi dari rakyat dan upah atas korupsi yang mereka lakukan. Tidak ada baik sangka, husnuzhon, atau was-was tentang kekuasaan tahu akan kebenaran; bahawa kemiskinan itu wujud dan sistem kemiskinan ini dipolopori kita; golongan tidak berkuasa.


Para agamawan bagaimana? Mudah. Melakukan hubungan seksual luar nikah itu jelas haram. Melakukannya itu berdosa. Berfikir untuk melakukan aja sudah zina hati. Apa lagi mahu melihat, simpang malaikat 44. Bentangkan sejadahmu, kuatkan zikirmu, kukuhkan imanmu. Menuju Tuhan itu nafsi-nafsi. Biar miskin di dunia, tidak mengapa. Kelak di akhirat ada sungai arak yang mengalir. Bertahan sahaja menunggu hari golongan kita bisa berendam, bermain dan mabuk dalamnya. Dengan izin, Tuhan kabulkan!



HUBUNGAN BERKUASA DAN TIDAK BERKUASA


Hubungan golongan berkuasa dan tidak berkuasa ibarat hubungan haram yang dilarang keluar dari dunia gelap para pelaku dosa. Hubungan mereka pembuat keputusan dan mereka yang terkesan akibat keputusan. Hubungan yang tidak akan pernah mencapai keadilan kerana dalam dunia neo-liberalisme, yang tidak berkuasa akan ditindas lumat. Yang tinggal cuma perjalanan kemiskinan dipenuhi pembohongan, kekerasan dan ketidakadilan maha dahsyat mengawal mereka yang tidak berkuasa.


‘Anyone who has ever struggled with poverty knows how extremely expensive it is to be poor.’ Inilah yang dipahat oleh James Baldwin sekitar 50 tahun lalu yang masih relevan sehingga hari ini.


Orang miskin akan terus dijerut putaran sistem kemiskinan, menjalani 'terapi' ekonomi yang membebankan, pemotongan subsidi, penswastaan dan hutang-hutang seumur hidup. Inilah kesengsaraan yang tidak perlu kita tonton di media, atau membaca artikel panjang tentang ekonomi. Cukup dengan melihat raut wajah pengemis di jalanan-di mana sahaja dipijak-di benua apa sekalipun- adalah bukan kerana kemalasan, sikap atau bencana alam tetapi sebuah 'kesengajaan' dalam putaran sistem pemiskinan. Lihat sahaja bagaimana pembangunan, kos kesihatan, kos perumahan, pemotongan subsidi pendidikan telah membuat kita terperangkap dalam sistem global ini.



KEMISKINAN ADALAH KEKEJAMAN


Kemiskinan bukan hanya persoalan ketiadaan wang atau tidak memiliki apa-apa, tetapi juga adalah persoalan tentang ketidakberdayaan orang miskin melawan sistem kemiskinan. Kemiskinan adalah kekejaman, ketidakmanusiaan dan peras atas orang miskin. Sekalipun kita cuba menutup mata, telinga, langkah dari kemiskinan dengan harapan-harapan palsu, kerja-kerja keras dan sebahagian kecil pertolongan, keadaan ekonomi yang tak terlawankan ini akan terus menindas orang miskin, orang tidak berdaya dan tidak berkuasa kerana kemiskinan seperti seks: Mahathir, MAZA, Zakir Naik bahkan dewan muslimat sekalipun tidak pernah melihat bagaimana ia bekerja sehingga para ahli politik, para birokrat dan elit mengerti dan menjalani apa maknanya menjadi miskin di negara ini, kita telah ditakdirkan untuk gagal dalam sistem neoliberal dan pemiskinan ini dan kita harus membayar harga yang mahal atas kegagalan itu.


Memetik isi surat James Baldwin kepada Angela Davis pada 19 November 1970,


‘For, if they take you in the morning, they will be coming for us that night.’



Nepal,1731.

198 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page