top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

KEJANGGALAN KEMPEN “BUY MUSLIM FIRST”

Oleh: A. Muziru Idham


Sekarang ini, isu Malaysia yang paling hangat ialah kempen Buy Muslim First, iaitu kempen yang mendorong kepada pengutamaan untuk membeli barangan daripada produk-produk buatan Muslim berbanding produk non Muslim. Kalau dalam konteks di Malaysia, Muslim itu lumrahnya akan disertakan sekali dengan bangsa Melayu. Melayu yang tidak Muslim tidak diiktiraf sebagai Melayu jika menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.


Sebab itulah kalau tengok senarai barangan produk Muslim yang dikeluarkan sebagai rujukan pengguna itu, kebanyakannya ialah produk-produk keluaran bangsa Melayu. Mungkin bangsa lain yang Muslim hampir tidak ada mengusahakan apa-apa produk di negara ini, atau mungkin sebab penulis senarai tersebut susah hendak mengenal pasti sama ada pengusaha produk lain itu sudah menjadi Muslim ataupun tidak.


Tapi hakikatnya adalah, di Malaysia ini, apabila sebut Muslim, gambaran sebenarnya yang ada dalam fikiran sebahagian masyarakat ialah Melayu-Islam. Kalau tengok kumpulan-kumpulan FB yang mempromosi kempen ini pun, perbincangan dalam kumpulan tersebut tetap akan menghala kepada produk Melayu-Islam. Jadi, tidak dapat tidak, isu perkauman memang secara tersiratnya atau secara minda bawah sedarnya adalah wujud dalam kempen Buy Muslim First ini.


Jadi, apabila isu melibatkan perkauman sekarang ini, saya kira wajar kita telusuri sebentar bagaimana perihal identiti perkauman ini menjadi suatu isu bersifat nasional dalam konsep negara moden. Saya tahu Ibn Khaldun pernah bercerita perihal konsep assabiyyah dalam kitab ulungnya, Muqaddimah. Tapi konsep assabiyah dalam sistem kenegaraan tradisional adalah berbeza daripada konsep perkauman dalam sistem kenegaraan moden. Ramai orang sengaja memanipulasikan konsep tersebut demi kepentingan masing-masing.


Begini. Sejarah pembentukan negara bangsa (nation state) dimulakan dengan sejarah Perang 30 Tahun di Eropah Tengah, sekitar tahun 1618-1648, antara wilayah-wilayah bersekutu pro Habsburg (yang cenderung pada fahaman Katolik) dan anti Habsburg (yang cenderung kepada fahaman Protestan) di Empayar Suci Rom (Holy Roman Empire). Perjanjian Westphalia turut wujud untuk menyelesaikan Perang 80 Tahun antara Sepanyol dan Republik Belanda sekitar tahun 1568-1648.  Sehinggalah selama 30 tahun dan 80 tahun berperang, maka pemerintah-pemerintah utama kerajaan ini membuat keputusan untuk membuat perjanjian damai pada tahun 1648 yang dimeterai di Kota Osnabrück dan Kota Münster yang terletak di wilayah Westphalia, German. 


Kesan daripada perjanjian tersebut adalah wujudnya pembahagian-pembahagian wilayah yang sentrik kepada ras keagamaan Katolik dan Protestan selain daripada faktor semangat kebangsaan terhadap wilayah masing-masing. Perjanjian Westphalia itulah permulaan kepada sistem kenegaraan moden yang terus berlanjutan sehingga membentuk sistem peta dunia seperti yang kita lihat pada hari ini. Sistem tersebut memberi idea kepada para kolonial untuk membina pemisahan wilayah yang berasaskan ras bangsa tertentu kononnya bagi mengelakkan daripada ketegangan bangsa yang berterusan. Maka sebab itulah sistem pemisahan wilayah "berdaulat" tersebut dinamakan sebagai negara bangsa. 


Ia memberi kesan besar terhadap cara fikir masyarakat di sesebuah negara, di mana bangsa yang dominan dari sudut faktor sejarah, ras, dan kebudayaan di wilayah tersebut akan sentiasa berusaha untuk kekal dominan dan memaksakan dominasi mereka terhadap bangsa lain yang mereka anggap sebagai “the Other” (pihak Asing). Mereka kekal berfikir bahawa bangsa lain sebagai "pihak Asing" walaupun bangsa tersebut sudah lama menetap bersama-sama mereka semenjak wilayah penetapan mereka tidak terbentuk sebagai sebuah negara bangsa pun lagi. Boleh lihat apa yang berlaku di kebanyakan negara yang pernah dijajah dan menjajah. Kalau dalam bidang hubungan antarabangsa, istilah yang menggambarkan situasi tersebut dipanggil sebagai "strategic culture". 


Kenapa saya menceritakan fakta-fakta itu?


Supaya kita semua sedar bahawa, mahu tidak mahu, sejarah kenegaraan moden itu telah membentuk cara fikir kita yang tidak lagi memberatkan soal kesepaduan ras, tapi kita lebih terbentuk dengan semangat kebangsaan. Kata dasar bangsa yang dicantumkan dengan imbuhan ke...an itu telah menyebabkan kita lebih cenderung untuk melihat bangsa itu sebagai nadi kekuatan dan identiti sesebuah negara. Sesebuah negara dilihat penting untuk memiliki identiti kebangsaan tertentu.


Jadi, akibat daripada itu, kita melihat asal-usul masyarakat Cina adalah berasal dari Tanah Besar China dan masyarakat India itu daripada negara India. Manakala masyarakat pribumi pula seringkali terpinggir daripada kesedaran sosial pada sebahagian masyarakat disebabkan faktor demografi, sejarah, kebudayaan, dan wilayah sosial yang berbeza. Masyarakat dominan merasakan bahawa merekalah bangsa paling penting terhadap pembangunan Malaysia ini, sehingga wujud perasaan keunggulan bangsa sendiri yang menyebabkan tanpa sedar mereka memperkecil sumbangan dan kewujudan bangsa lain yang pada sejarahnya, turut sama-sama membangunkan sebuah bangsa Malaysia. 


Maka akan timbullah hal-hal yang tak sepatutnya, seperti gelaran "bangsa pendatang", kempen boikot barangan keluaran bangsa lain, pengutamaan bangsa sendiri dalam jawatan-jawatan penting negara, meminta bangsa lain diam untuk urusan-urusan penting negara, dan banyak lagi. Bayangkan, kempen yang dikatakan sekadar bermotifkan untuk mengutamakan pembelian barangan Muslim, apakah pula perasaan mereka yang non-Muslim apabila melihat kempen tersebut berlegar di merata-mata tempat ajak orang ketepikan barangan keluaran dan jualan mereka? Nanti bagaimana pula kalau mereka pula balas dengan kempen yang sama, apa pula reaksi masyarakat Melayu-Islam? Barulah terbongkar helah tujuan asal yang memang hendak memboikot, tapi guna istilah lebih muluk, iaitu "pengutamaan" bagi apologetik dengan hasrat sendiri. 


Itulah yang berlaku apabila proses pembentukan negara bangsa di Malaysia ini tidak berlaku secara sempurna, sehingga perasaan 'superiority' bangsa sendiri itu wujud sampai memperendah kewujudan bangsa lain, sedangkan telah puluhan tahun lamanya hidup membesar dan membangunkan negara secara bersama-sama.


Kita tidak merasa penting untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain, tanpa mengira ras dan agama. Kita merasakan bahawa kemajuan bangsa sendiri itu lebih penting, berbanding kemajuan masyarakat kolektif secara menyeluruh. Pembangunan negara bangsa yang tidak siap ini menjadikan kita masih lagi melihat definisi "pihak Asing" ialah mereka yang tidak sama identiti dengan kita dari sudut ras dan agama sekalipun di tempat sendiri. Apabila tidak sama identiti, kita taruh kecurigaan bertalu-talu sehingga mereka yang dari "pihak Asing" itu pun turut sama mencurigai kita. Kesudahannya, sekalipun kita sama-sama membesar dan membangun, tapi semua proses itu adalah sebuah hipokrasi semata-mata kerana kita sebenarnya tetap menyimpan curiga antara satu sama lain.


Apakah ini dosa perjanjian Westphalia yang memberi akal kepada para kolonial untuk melakukan pemisahan bangsa atas nama kedaulatan wilayah? Mungkin kita boleh mempersalahkan sejarah. Tapi ternyata, dalam kalangan kita jugalah yang sengaja mencucuk semula api perkauman tersebut hingga kecurigaan itu terus bertumbuh dan sentiasa menimbulkan kegusaran terhadap ras lain. Kalangan kita itu juga yang menggunakan nama bangsa dan agama untuk merasakan bangsa mereka satu-satunya tuan di tanah ini, lalu mewujudkan istilah "ketuanan" untuk membina naratif yang bersifat segregasi sebegitu.  


Maka, terhasillah kempen seperti “Buy Muslim First” ini bagi memastikan bangsa Melayu-Islam itu lebih dominan, sedangkan yang hendak membangunkan Malaysia ini sepatutnya adalah secara bersama-sama, bukan bangsa Melayu-Islam sahaja. Kecurigaan demi kecurigaan hanya akan membunuh ketenangan yang dikecapi selama ini, sedangkan kecurigaan itu barangkali hanya wujud daripada keinginan hendak mendominasi. Saya akhiri artikel saya ini daripada satu baris daripada puisi Pemuda Dan Gadis Tionghoa oleh Sasterawan Negara Usman Awang:


“Bukankah kecurigaan terbunuh ketika kita bersapa?”


Jadi, apakah kita sudah cukup menyapa jiran dan saudara sekeliling kita tanpa mengira ras dan agama?

228 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page