BENCANA yang dibawa Covid 19 yang juga terkenal dengan nama pena sebagai Coronavirus kepada umat manusia kali ini begitu mengejutkan sekali. Mana tidaknya, virus yang pada mulanya hanya menyebabkan perintah berkurung cuma setakat di kota Wuhan, daerah Hubei, Republik Rakyat China sahaja bemula 23 Januari 2020, namun sebulan dua kemudian nampaknya hampir satu dunia juga terpaksa mengurungkan diri. Jadi apabila sudah terkurung dan terkepung di kediaman masingmasing, tentunya persoalan utama adalah bagaimana untuk meneruskan hidup tanpa kita perlu pergi bekerja?
Nah! Seperti yang telah disebut oleh seorang teman dengan niat bergurau, katanya - setelah bermacam-macam cara penentang kapitalisme selama berabad dan berdekad ini cuba menjatuhkan kapitalisme, ternyata pada akhirnya virus Covid 19 jugalah yang berjaya menumbangkan kapitalisme. Ya, ada benarnya gurauan itu walaupun sudah tentu sistem kapitalisme bukanlah tumbang sepenuhnya, cuma kelihatan sedikit tempang dan terencat juga di kala musim Covid 19 ini menyerang umat manusia seluruh dunia.
Namun apa yang menarik untuk diperhatikan adalah apakah benar sistem kapitalisme yang selama ini dimomok-momokkan sebagai tidak manusiawi, jahat, bengis dan sebagainya ini benar-benar telah terdedah segala kebobrokannya sepanjang tempoh Covid 19 ini?
Umum mengetahui kapitalisme itu memerlukan modal untuk bergerak. Namun bukanlah yang menjadikan kapitalisme itu jahat kerana modal semata-mata, kerana seperti diungkap Karl Marx, segala perkara dalam dunia ini bergerak kerana kepentingan ekonomi. Maka, antitesis dari kapitalisme juga mengusulkan perkara yang berkaitan ekonomi, dan tentulah perkara berkaitan modal juga tidak dapat lari dari wacana utama. Cuma yang menjadikan kapitalisme itu selama ini diibaratkan seperti kayu api di neraka jahanam adalah kerana cara mereka mengumpul modal dan apa yang dilakukan terhadap modal tersebut, dengan tidak mengagihkan secara adil kepada mereka yang menghasilkan nilai modal itu yang menjadi asbab kapitalisme itu wajib ditentang selama sistem yang berdasarkan penindasan ini berkuasa.
Tiba-tiba, siapa sangka Covid 19 ini begitu gila menjejaskan jutaan nyawa di seluruh dunia hingga belasan ribu nyawa telah terkorban disebabkan wabak ini yang pada akhirnya menyebabkan hampir segala aktiviti yang membabitkan pergerakan ekonomi telah lumpuh sama sekali.
Maka, ternyatalah mereka yang begitu berbangga dan mendabik dada dengan kejayaan kapitalisme selama ini mula menekup muka kesipuan kerana sepanjang musim wabak Covid 19 ini - kapitalisme ternyata tidak dapat memberikan kesejahteraan dan jaminan kewangan yang stabil khususnya kepada golongan pekerja dan bawahan yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia dan juga seluruh dunia.
Apa yang menarik untuk diperhatikan, para politikus bersama parti mereka yang selama ini dilihat begitu mendukung sistem pasaran bebas, yang mutakhir semenjak era 1980an bermula di era Margaret Thatcher di United Kingdom (UK) dan Ronald Reagan di Amerika Syarikat (AS) sudah bermutasi menjadi kapitalis neoliberalisme - kini sudah melakukan pusingan U (U-Turn) apabila melaksanakan polisi ekonomi yang bersifat campur tangan kerajaan secara besar-besaran dalam membantu memberi rangsangan kepada ekonomi terutama dalam membantu nasib kelas pekerja dan bawahan yang tidak dapat bekerja kerana perintah kurungan di kediaman di negara masing-masing.
Walaupun tidak dinafikan kerajaan yang berunsurkan kapitalisme di seluruh dunia juga cuba melakukan ‘bail out’ atau bantuan kepada syarikat-syarikat besar dalam percubaan untuk memastikan gergasi-gergasi cekik darah ini untuk terus mampu bernafas dalam menawarkan penindasan kepada pekerja mereka pasca era Covid 19 ini berakhir nanti, namun rangsangan ekonomi yang khusus untuk tetap memastikan golongan pekerja tetap mempunyai wang di tangan terpaksa dilakukan oleh kerajaan kerana golongan pekerja inilah yang sebenarnya menggerakkan kitaran ekonomi selama ini.
Segala falasi yang dilaungkan oleh mereka yang begitu menentang campur tangan kerajaan dalam menguruskan kehidupan rakyat samada ada dalam hal ekonomi mahu pun secara politik dan sosial juga kini meleset. Mereka yang mengambil pendekatan fahaman neoliberal iaitu mengurangkan seminima mungkin sehingga akhirnya menolak terus campur tangan kerajaan dalam hak ekonomi kini perlu melihat betapa pentingnya peranan kerajaan dalam menguruskan hal sosioekonomi.Waima kaum anarkis yang begitu menentang campur tangan kerajaan juga perlu patuh kepada arahan kerajaan dalam musim Covid 19 ini.
Selain itu, falasi mengenai peranan sektor swasta yang kononnya begitu efisien sehingga perlunya digadaikan pemilikan kerajaan dalam sektor yang melibatkan kepentingan awam kini mula terbungkam setelah melihat kegagalan hospital-hospital swasta dalam menangani musibah wabak Covid 19 ni. Pujian dan tabik hormat kepada setiap pekerja dari sektor kesihatan yang bertungkus lumus bekerja untuk menyahkan virus Covid 19 sepanjang tempoh virus ini menular. Tanpa campur tangan kerajaan dalam membantu sektor kesihatan, tentunya keadaan akan lebih parah.
Tentunya setelah reda Covid 19 nanti, dunia akan menyaksikan data pengangguran yang akan meningkat secara besar-besaran. Untuk mengembalikan semula keadaan ekonomi agar terus mapan, selain jaminan bersama antara pekerja yang dapat meneruskan pekerjaan mereka atau mendapat peluang pekerjaan baru dan majikan pula masih dapat meneruskan lagi perniagaan mereka selain membuka peluang pekerjaan yang baru, campur tangan kerajaan amatlah diperlukan untuk menangani hal ini.
Peranan kerajaan bukanlah hanya semata-mata memberikan suntikan duit poket kepada rakyat yang terkesan sepanjang musim Covid 19 ini saja, tetapi perlu memikirkan dan melaksanakan kerangka yang lebih besar dan tidak lagi mengharapkan solusi berdasarkan kapitalisme neoliberalisme yang hanya akan menyebabkan ekonomi akan menemui jalan buntu.
Sesuatu yang radikal, seperti skim jaminan pekerjaan sebagai contoh harus diwujudkan sebagai satu tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan peluang baru melalui program-program kerajaan yang seterusnya dapat membantu dalam memberikan pekerjaan kepada mereka yang menganggur dan hilang punca pendapatan. Langkah ini amat penting memandangkan salah satu faktor masalah sosial adalah kerana isu pengangguran.
Kegagalan kapitalisme neoliberalisme juga mewajarkan supaya kerajaan untuk mengambil tanggunggungjawab dalam membantu untuk mencipta peluang pekerjaan dengan melancarkan projek-projek infrastruktur bagi keperluan rakyat. Ramai tenaga kerja dapat dilibatkan untuk menjayakan projek ini nanti yang seterusnya dapat mencipta peluang pekerjaan yang lebih meluas. Kaedah neoliberalisme yang anti kepada projek-projek seperti ini haruslah dielakkan kerana tanpa peluang pekerjaan yang dapat dicipta kerajaan, ekonomi pastinya menuju jalan kehancuran seperti yang telah disaksikan selama ini ketika era neoliberalisme begitu rakus dijadikan polisi kerajaan-kerajaan di kebanyakan negara di dunia termasuk di negara dunia yang ketiga.
Natijahnya, musibah Covid 19 ini harus dimanfaatkan dengan penghapusan sistem kapitalisme neoliberalisme yang ternyata gagal bukan sahaja dalam membendung wabak Covid 19, malah telah menggagalkan ketamadunan umat manusia secara keseluruhan. Setelah kita tumpaskan neoliberalisme, secara dialektika kita akan memastikan kapitalisme juga kemudian akan turut berkubur.
----
Nota: Artikel ini telah memenangi Tempat Kedua dalam Pertandingan Menulis Artikel Jurnal Sang Pemula.
Commenti