top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

KEBEBASAN BERAGAMA SEBAGAI HAK SOSIAL

Updated: Aug 23, 2019

Oleh: A. Muziru Idham 


Agama merupakan suatu kepercayaan yang bersifat individual, di mana seseorang individu memiliki akal (rasional) dalam mencerapi apa yang dapat tercapai oleh indera dan fakulti logik, dan jiwa (spiritual) untuk sama ada melalui capaian emosi ataupun fakulti kejiwaan yang merasai suatu pengalaman metafizik yang melangkaui ruang fizik. Dalam hal ini, fakulti akal dan jiwa adalah dua fakulti dalam diri manusia yang membentuk suatu keyakinan dan kepercayaan, yang mana ianya terisi dan terbentuk daripada pelbagai perkara dan ruang yang diisi oleh individu.


Dalam hal ini, agama itu datang dalam bentuk keindividuan yang hadir daripada keyakinan-keyakinan yang menyinggahi fakulti akal mahupun jiwa dalam menerimanya sebagai sebuah pegangan dan kepercayaan hidup. Agama datang tidak sekadar sebagai dalam bentuk set moral, nilai, ataupun ritual, tetapi ia juga datang dalam bentuk dimensi ketuhanan yang mengisi ruan rasiona dan spiritual individu dan menjadi paksi kepada kepercayaan individu akan hal-hal yang berkait dengan ketuhanan dan dimensi-dimensi kehidupan, sama ada kehidupan di atas dunia ataupun kehidupan selepas kematian.


Daripada hal ini, jelas tergambar bahawa agama adalah sesuatu kepercayaan individu yang datang daripada fakulti akal dan jiwa dalam mencerap pemaknaan dirinya. Kepercayaan itu adalah sesuatu yang tidak terbentuk daripada ugutan ataupun paksaan, apatah lagi perundangan. Maka, adalah amat hairan sekali apabila dalam budaya masyarakat majoriti, maka wujud dua perkara atau salah satu daripadanya: (i) Memaksakan orang lain untuk menerima naratif kepercayaan dan pegangan mereka; dan (i) Meminta orang lain untuk menjaga hati mereka dengan tidak menzahirkan sebarang kepercayaan yang bercanggah daripada kepercayaan mereka dalam ruang awam.


Jika diperhatikan semula, ia adalah suatu paradoks yang berlaku dalam masyarakat, apabila masyarakat minoriti diminta untuk menjaga hati masyarakat majoriti, dengan meminta agar “iman dan hati” mereka dijaga dengan sesuatu yang merendahkan pula hak orang lain untuk memiliki hak yang sama seperti mereka.


Kebebasan beragama itu telah ditafsirkan sebagai kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing, tapi masyarakat minoriti tidak berhak memanifestasikannya di ruang awam, kerana masyarakat majoriti yang lebih berkuasa dan lebih berhak untuk menguasai ruang awam dengan naratif-naratif kepercayaan mereka sahaja. Dalam konteks di Malaysia, Islam itu telah diangkat setingginya dengan laungan retorik “Al-Islamu ya’lu wa la yu’la ‘alaih” (Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya), lalu cukup dengan retorik itu justeru masyarakat non-Muslim diminta untuk tunduk dan patuh padanya, sama ada dengan jalan tidak boleh mempersoalkan rasionaliti masyarakat majoriti yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, juga tidak boleh menzahirkan keimanan secara terbuka kerana dibimbangi “menggugat keimanan” masyarakat majoriti.


Semua ini adalah suatu karut-marut dalam masyarakat sosial yang tidak berlandaskan kepada tuntutan ajaran agama (baca: Islam) yang sebenar. Apabila Al-Quran menyebutkan “La ikraha fi ad-Deen” (Tidak ada paksaan dalam agama), maka sebab-sebab penurunan wahyu tersebut bukan sekadar melarang kepada pemaksaan untuk orang lain menganut kepercayaan Islam, malahan turut menjadi suatu kebebasan kepada seseorang itu mengamalkan kepercayaan sendiri.


Dalam Tafsir al-Manar, Rashid Redha menyebutkan asbabun nuzul (sebab diturunkan ayat) tersebut bahawa seorang lelaki Ansar daripada Bani Salim yang bernama Al-Hussain yang mempunyai dua anak Nasrani sedangkan dirinya Muslim; maka ditanyakannya kepada Nabi akan kebenaran untuk memaksa kedua-dua anaknya itu turut menganut Islam; maka turunlah ayat 256 surah al-Baqarah tersebut yang menyatakan larangan kepada perbuatan tersebut.[1] Taha Jabir al-Alwani menyebutkan bahawa, Al-Qur’an tidak hanya menetapkan kebebasan berkeyakinan, malah menjadikan kebebasan berkeyakinan sebagai kebebasan mutlak yang tidak terbatas, sekaligus menegaskan bahawa perhitungannya merupakan hak khusus Allah yang tidak diwakilkan kepada sesiapa pun.[2]


Daripada asbabun nuzul ayat tersebut, maka jelaslah terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan: (i) Tidak dibenarkan memaksa orang lain untuk menganut Islam; (ii) Kebebasan dalam mengamalkan kepercayaan sendiri. Kita tidak mahu membicarakan soal isu murtad di sini, kerana itu termasuk dalam perbincangan yang lain. Tetapi yang ingin disentuh di sini adalah betapa Islam itu sendiri menjaga hak-hak orang lain untuk mengamalkan kepercayaan beragama dan tidak pula sebarang dalil yang menunjukkan larangan untuk penganut agama lain dalam mengamalkan dan memanifestasikan kepercayaan mereka di ruang awam. Pelarangan yang seperti itu ternyatalah hanya suatu alasan politik yang lebih bersifat pengekalan hegemonik kebangsaan dan kebudayaan yang merisaukan akan kelangsungan status quo bangsanya dalam arus kemasyarakatan lalu diwujudkan pelbagai macam peraturan yang bersifat menyusahkan dan menunjukkan kekuasaan.


Dalam ruang wacana awam, kepercayaan agama tidak lagi sekadar terhenti sebagai ruang kebebasan individu. Ianya sudah termasuk dalam lingkungan hak sosial. Apabila wujudnya suatu pengamalan hak secara sepihak manakala pihak yang lain direndahkan pula haknya, maka di situlah wujudnya suatu diskriminasi sosial walau apa juga sekalipun alasan yang digunakan, sama ada ianya disebut sebagai kontrak sosial atapun perundangan (yang menerima tafsiran dogmatis). Perkara-perkara sebeginilah yang menghalang kepada pembentukan masyarakat bermoral (good society), di mana menurut Mahmoud Mohamed Taha dalam The Second Message of Islam, “A good society also enjoys tolerant public opinion, permitting different life-styles and manners, as long as these are beneficial to society.”[3] Masyarakat bermoral membenarkan kesakmaaan hak-hak sosial, yang ketika mana mereka meminta hak tersebut diberikan kepada mereka, mereka juga turut memberikan hak tersebut kepada orang lain untuk dinikmati sama.


Kebebasan beragama merupakan sebuah hak sosial, di mana sesebuah komuniti mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang mungkin tidak sama dengan komuniti majoriti. Perbezaan tidak sewajarnya menjadi perbatasan kepada kewujudan ruang awam yang berbeza, kerana tidak mesti keharmonian itu tercapai daripada kesamarataan dan meminimakan perbezaan. Meminimakan perbezaan yang memerlukan kepada pencairan prinsip dan identiti hanyalah mewujudkan suatu masyarakat diktator, yang mana masyarakat majoriti menindas masyarakat minoriti melalui keupayaan mereka dalam menguasai ruang lingkup wacana awam dan menyekat wacana berbeza untuk seiring bersama mereka.


Itu yang berlaku apabila masyarakat picik (parochial society) terlalu membimbangi untuk hidup bersama dengn komuniti yang di luar tradisi mereka kerana memikirkan kelangsungan komuniti mereka atas nama bangsa dan agama, sekalipun ketakutan itu cumalah hadir daripada imaginasi dan sangkaan mereka sendiri semata-mata. Tetapi keharmonian itu tercapai daripada masyarakat yang bersepadu, di mana masyarakat bersepadu itu terbina daripada kepelbagaian identiti yang disepadukan dalam suatu ruang kesefahaman dan toleransi, yang tahu menghargai kepercayaan dan pegangan agama orang lain. Apabila hal yang tersebut dicapai, maka kebebasan itu akan lebih membawa erti, kerana ianya diselaputi oleh kefahaman yang tinggi akan makna kebebasan dan hak sosial yang perlu dilindung dan dijaga bersama.


Hairan sekali apabila umat yang menyakini akan kepengukuhan dan kebenaran kepercayaannya untuk merisaukan akan kedudukan agamanya tergugat oleh sekadar pemanifestasian kepercayaan agama lain di ruang awam seolah-olah mereka sendiri yang meragui akan kebenaran agamanya sendiri. Sudah tentulah begitu, kerana jika tidak, sudah pasti tidak perlu disusahkan diri lagi untuk melindungi kebenaran kepercayaan sekiranya kepercayaan itu sudah benar.


Apakah iman masyarakat itu terlalu rapuh dengan hanya melihat ritual keagamaan lain, petikan kitab daripada agama lain, atau puji-pujian penganut agama lain terhadap agamanya, maka kepercayaan masyarakat Islam itu dengan mudah luntur terhadap agamanya sendiri?


Ianya agak sukar untuk diterima apabila mengenali agama lain dikatakan sebagai membuka jalan untuk menukar agama, kerana ternyata ramai saja non Muslim membaca Al-Qur’an dan pandai membaca kitab-kitab agama kerana pandai berbahasa Arab pun tidak kunjung untuk menjadi Muslim. Tetapi apabila ada yang mengaku gentar imannya hanya kerana membaca puji-pujian orang terhadap agama lain atau petikan kitab sucinya disebarkan di merata tempat, maka kita ragui senipis mana imannya sekalipun perjuangannya menegakkan Islam itu berdegar-degar di mana-mana atau sepincang mana pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah tentang asas-asas tauhid. Permasalahan paling utama berlaku adalah sedari kecil yang diajar cumalah untuk menghormati agama lain, tetapi pengenalan agama lain itu langsung tidak diajar dalam silibus-silibus sekolah melainkan yang diajar itu cumalah perbezaan-perbezaan teologi yang naratifnya ingin pergi kepada kesimpulan hukum Kafir-Muslim.


Sebab itu penting ruang untuk berdialog dalam menemukan titik kesefahaman dengan penganut agama lain. Ruang kebebasan memberikan hak kepada masyarakat penganut agama lain untuk memberi penjelasan tentang kepercayaan mereka dan membetulkan naratif-naratif yang seringkali disalahfahami. Tidak mesti memberi ruang untuk bercakap dan mendengar itu bermakna kita akan terus bersetuju dengan sesuatu yang bercancanggah dengan kefahaman agama antara satu sama lain, malahan dialog bukanlah tujuan untuk mencari persetujuan. Mencari persetujuan dan persefahaman adalah dua perkara yang berbeza. Perkara inilah yang dipertegaskan oleh sarjana Muslim kontemporari, Prof. Tariq Ramadan yang menyatakan bahawa, “It is a matter of greatest urgency to set up a local initiatives where women and men of different religions, cultures, and sensitivities create spaces for mutual knowledge and shared commitment: spaces for trust.”[4]


Ternyata ruang untuk pemercayaan inilah yang sukar dipupuk dalam masyarakat kerana masyarakat sudah tertidik dengan budaya ketakutan (culture of fear) sejak dari kecil lagi.Alasan-alasan takut untuk membuka ruang dialog kerana membimbangi dakyah agama lain memurtadkan orang-orang Islam adalah satu alasan picik. Paradoksnya, pemurtadan dan pengkafiran itu tidak perlu menunggu dakyah daripada agama lain, tetapi dalam masyarakat Muslim sesama sendiri sahaja sudah terlalu banyak gejala pengkafiran dan pemurtadan dan ianya tersebar daripada mulut-mulut agamawan itu sendiri sehinggalah turut menjadi bualan mulut orang-orang awam. Bagaimana kebebasan beragama itu dilihat sebagai ancaman sedangkan gejala-gejala takfiri itu masih terus dibiarkan?


RUJUKAN


[1] Lihat Muhammad Rashid Ridha (1947/1366), Tafsir al-Quran al-Hakim al-mushtahar bi ism Tafsir al-Manar, Cetakan 2, Dar al-Manar: Kaherah, Juz 3/hal. 35.


[2] Lihat Taha Jabir al-Alwani (2008), Tiada Paksaan Dalam Agama, terjemahan Yodi Indrayani & Al-Mustaqem M. Radhi daripada La Ikraha fi al-Din, Institut Kajian Dasar: Rawang, Selangor.


[3] Lihat Mahmoud Mohamed Taha (1996), The Second Message of Islam, terjemahan oleh Abdullahi Ahmed an-Na’im, Syracuse University Press: New York.


[4] Lihat Tariq Ramadan (2010), What I Believe, Oxford University Press: New York.

184 views0 comments

Comments


bottom of page