top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

JOHNNY DEPP, BUDAYA ROGOL DAN LAWAK-LAWAK PATRIARKI

Oleh Izzah Dejavu.



SEORANG aktivis, pensyarah dan sejarawan U.S, Howard Zinn dalam buku dan filemnya bahawa: Kita tidak boleh menjadi neutral dalam sebuah kereta api yang bergerak. ‘We cannot be neutral on a moving train’. Hal ini kerana menjadi neutral bukanlah bermakna berada di tengah dan ‘tidak berpihak’ antara yang berkuasa atau kurang berkuasa, tetapi memilih menghirup udara dengan mereka yang lebih berkuasa.


Kata mudahnya, Ketidakpedulian sama ertinya dengan perilaku membiarkan. Namun kejahilan dan bebal, atau ketidakpedulian yang dibiar panjang ditambah sikap bodoh sombong sama maknanya dengan memberi sokongan dan solidariti.


Budaya rogol adalah budaya yang menjadi sebab berlakunya keganasan seksual. Ia menjadi satu budaya kerana budaya ini terus berakar dan bernanah dalam satu sistem yang sistematik dari generasi ke generasi dalam sistem patriarki dan seksis yang diakhirnya dinormalisasi, di anggap tidak penting, isu kelas kedua, bahkan ada yang memilih untuk tidak berpihak. Dan ini menimbulkan tanda tanya kepada saya sendiri, di mana sih kita dalam memposisi pendirian kita? Kerana keberpihakan dalam isu ini menuntut perlawanan budaya patriarki, mencucuk keamanan sebahagian gender yang punya hierarki kuasa tinggi dalam pemikiran masyarakat budaya patriarki.


Saya masih ingat lewat tulisan saya, ‘Jangan Terpedaya Dengan Lelaki-Lelaki Aktivis, Ketahui Juga Sisi-Sisi Gelapnya. Agar Kamu Tidak Tersungkur Ke Jerat Mereka. #MeToo’ yang mendatangkan sokongan dan perlawanan dan itu tak apa-apa kerana melemparkan tulisan itu jadi wajib pada saya biar bukan hanya cerita bias dan berlebihan agung ditatap orang. Tak sengaja pula ada yang terus-terus memetik kisah Johnyy Depp dan isterinya hanya sekadar suka-suka meskipun selama ini mereka tidak pernah peduli. Saya cuma tersenyum sinis. Benarlah sebahagian orang menjadi gila, hanya kerana ingin terlihat jaguh dan menang argumen, mereka tampak tidak waras berfikir sekalipun menganut pelbagai ideologi muluk-muluk-pro rakyat kelas bawah dan kaum tertindas katanya.



JIWA TIDAK AMAN


Awal Julai ini, adalah bulan sulit dan tidak aman buat saya. Pada 1 Julai, terdapat banyak media melaporkan bagaimana sekumpulan peguam muda perempuan juga mempunyai senarai nama, mereka yang suka mengambil kesempatan dan senarai-senarai ini disebarkan pada rakan-rakan untuk menyelamatkan orang lain dari berhadapan dengan situasi yang sama.


Belum sampai 24jam, negara turut digemparkan apabila budak berumur 12tahun merogol anak asuhan ibunya yang berusia 4tahun sebanyak 3kali semenjak Ramadhan tahun ini. Kes yang berlaku di Perak itu Cuma diketahui apabila anak 4tahun itu mengadu ‘sakit ibu..’ dan pemeriksaan, meski tidak dapat menceritakan bagaimana kejadian berlaku.


Yang paling parah, apabila saya bangun pagi dan membaca kes seorang wanita, Baiq Nuril Maknun yang terpaksa berdepan dengan hukuman penjara enam bulan selepas merakam panggilan telefon daripada majikannya yang mengajak beliau melakukan hubungan seks. Dalam erti kata lain, pengadu gangguan seksual telah dikenakan hukuman penjara di Indonesia dan saya kira, ini bukan sahaja kelihatan, mendengarnya sahaja, jiwa saya memberi isyarat gelombang bahawa ini tidak adil!


Di tahun 2017, Nuril telah menghabiskan masa dua bulan di penjara dan dibuktikan tidak bersalah. Namun pada 2018, pihak pendakwa telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Indonesia bahawa perbuatan merakam panggilan tersebut telah melanggar Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik. Awal Julai tahun ini, Nuril kalah pada rayuan akhir dan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sehingga 500 juta rupiah. Manakala, pemangsa beliau dibebaskan malah turut menerima kenaikan pangkat.(Boleh baca selanjutnya lewat media lain)



JIJIK


Kes-kes yang saya tulis adalah sebahagian perkara yang mengganggu diri saya. Kalaupun saya merasa hopeless, itu cuma sementara kerana saya penat. Di kebanyakan waktu saya fikir setiap anak gadis dan para perempuan berada dalam perjuangan sunyi kehidupan yang disenyapkan budaya patriarki.


Kejijikan saya tidak pernah berakhir. Saya jijik pada mereka yang menzahirkan lawak-lawak patriarki. Saya jijik pada mereka yang menzahirkan argumen bodoh sekadar ingin dilihat hebat. Saya jijik pada mereka yang tidak mengambil posisi meski tahu kebenaran tentang sesuatu hal. Saya jijik mendengar catcall. Saya jijik melihat pandangan mata setan dan paling jijik pada mereka yang menggunakan agama menyalahkan para perempuan-tidak tutup aurat, larangan keluar malam dan berjuta-juta alasan tidak masuk akal yang lain.


Kebodohan yang merasuki tidak sikit, tetapi banyak. Meski dunia di hujung jari, mereka tetaplah orang-orang yang dungu. Ketika mereka menggunakan argumen Johnny Depp, agama, ayat Al-Quran yang bisa merawat semua masalah dengan menyalahkan para perempuan, mereka lupa,


35% wanita di peringkat global pernah menghadapi keganasan fizikal dan seksual. 120juta perempuan pernah menghadapi seks secara paksa. Hampir 750juta wanita dan perempuan yang masih hidup hari ini berkahwin sebelum 18tahun. (Source: UN Women)


Melalui data di ActionAid 2015 menyatakan, peratusan gangguan seksual terhadap perempuan di Bangladesh adalah 57%, India-79%, Cambodia-77%, Vietnam 87%, Egypt-99%, US-65%, Brazil-86%, Mexico-96%, dan Australia-87%.


Laporan dari negara jiran kita Indonesia, bagi membongkar mitos apakah benar perlecehan seksual terjadi kerana perempuan keluar malam dan berpakaian tidak berpakaian tertutup. 52% responden mengalami perlecehan seksual sebelum masuk 16tahun. 64% perempuan mengalami hal perlecehan seksual di ruang umum, dan 34% kes yang berlaku di ruang awam adalah pada waktu siang.


Bahkan, dalam kajian itu juga menunjukkan bahawa bahwa 18% persen perlecehan seksual terjadi ketika mereka memakai kain atau seluar panjang, 17% adalah perempuan berhijab, 16% sedang memakai baju lengan panjang, dan 14% menggunakan seragam sekolah atau baju longgar. Hasil dari ini juga menyatakan bahawa 3 dari 5 perempuan di Indonesia mengalami gangguan seksual di ruang awam dan 1 dari 10 lelaki mengalaminya di ruang awam. Data lanjut bisa dicari di laman google.



KESIMPULAN


Saya menulis ini melalui beberapa data yang telah lama saya simpan untuk tujuan tulisan. Banyak hal terjadi dan saya selalu terlupa menyiapkan tulisan yang entah betapa banyak kebanyakkan folder berisi karangan separuh siap, satu perenggan atau cuma kata aluan tergantung.


Saya menulis ini kerana begitu banyak berita tidak senang yang banyaknya atas para perempuan dan kejijikan saya pada mereka yang meremehkan isu ini dengan merendahkan wanita lain. Serta kejijikan saya yang tidak berbelah bagi pada mereka yang ketawa sinis, meluncurkan laju lawak-lawak patriarki dan seksis serta sok jaguh yang hanya ingin memenangi argumen di mata umum.


Sedangkan, yang sebenarnya, gangguan seksual boleh berlaku pada siapa sahaja dan pada bila-bila masa. Gangguan seksual memberi kesan besar pada mereka yang pernah mengalami. Kadang-kadang saya fikir, kita memandang isu dengan lensa sempit semisal gerakan-gerakan memberdaya wanita adalah kesempatan menikam dan mengancam lelaki. Ada pula yang menanggap dengan menyerahkan kuasa kepada orang-orang yang membuat keputusan, sedangkan kita sebagai masyarakat juga memiliki kekuatan untuk terus mempelajari dan belajar meningkatkan kesedaran dan analisis antara kita dan mengambil keberpihakan dalam isu-isu ini. Memetik kata Howard Zinn di awal perenggan,


Kita tidak boleh menjadi neutral dalam sebuah kereta api yang bergerak kerana menjadi neutral bukanlah bermakna berada di tengah dan ‘tidak berpihak’ antara yang berkuasa atau kurang berkuasa, tetapi memilih menghirup udara dengan mereka yang lebih berkuasa.

240 views0 comments

Comments


bottom of page