Persekitaran sosial merupakan satu faktor yang penting dalam mempengaruhi pembentukan jati individu. Banyak kajian telah dilakukan dalam membuktikan bagaimana persekitaran sosial memberikan kesan yang cukup signifikan dalam pembentukan jati diri ini. Namun faktor yang sering diambil kira hanyalah aktor kepada faktor tersebut seperti ibu bapa, rakan sebaya, sekolah, guru dan media massa.
Maka, pada kali ini penulis cuba untuk ketengahkan faktor agama spesifik kepada Islam yang menjadi faktor kepada pembentukan jati diri individu seterusnya kepada masyarakat yang lebih besar.
Peranan Islam dalam kebudayaan melayu sangatlah penting dan harus diambil berat jika seseorang mahu mengkaji tentang kebudayaan melayu kini. Hal ini adalah kerana ketakrifan yang diberikan melayu dan Islam itu sangat dekat atau sinonim. Lihat saja dalam perlembangaan bagaimana menjadi melayu itu adalah sayrat pertama menjadi seorang Islam, mengetahu adat melayu dan menggunakan Bahasa melayu.
Pernah kita fikirkan mengapa masyarakat melayu sekarang suka untuk membandingkan Melayu dan Islam? Mengapa kini jika seorang perempuan tidak memakai tudung itu satu perkara yang salah, malah di sesetengah negeri di Malaysia perempuan yang tidak memakai tudung itu disaman? Sedangkan jika dilihat pada masyarakat dulu memakai tudung ini bukanlah suatu yang wajib malah boleh diterima oleh masyarakat. Jadi di sini melayu itu dilihat melalui kaca mata kultural dan bukan etnik.
Bagi kaca mata Islam pula, ia tidak pernah dibincangkan dalam orientasi yang besar. Dalam sejarah Islam hanya digambarkan sebagai satu yang tunggal. Sedangkan jika dilihat dari sejarah, Islam itu terbahagi kepada empat. Yang pertama adalah Islam feudal, Islam sufi, Islam humanistif dan terakhir adalah isla, Islam rakyat.
Islam feudal sangat jelas diangkat dalam pembentukan kebudayaan melayu. Perkara ini boleh dilihat dengan terangkatnya hikayat-hikayat yang meniitik beratkan bangsaawan dan raja-raja, contohnya hikayat sulalatus salatin semasa zaman pemerintahan melaka dahulu.
Manakala, Islam sufi adalah lawan kepada Islam feudal ini. Islam sufi ini adalah Islam zuhud yang membuang dunia. Membuang nafsu akal nama rasa supaya dapat mencapai maqam yang tinggi. Islam sufi ini amat disukai oleh Islam feudal, kerana fungsinya yang tidak menghendahkan dunia. Jadinya Islam feudal mampu buat apa sahaja.
Seterusnya adalah Islam humanism. Islam ini adalah Islam yang jarang diangkat oleh masyarakat kerana apabila membicarakan tentang humanism yang dipandang oleh masyaraakt adalah humanism barat dan terusnya dikaitkan dengan liberalism. Kata Kuntowijoyo, Islam itu sendiri adalah sebuah humanisme, iaitu agama yang snagat mementingkan manusia sebagai tujuan utama.
Terakhir sekali adalah Islam rakyat. Islam ini adalah Islam yang penting. Islam yang diajar melalui ibu bapa di rumah-rumah. Pendidikan terawal sebelum mulanya zaman persekolahan. Pendidikan yang akan mengajar tentang adad, nilai, masyarakat dan sebagainya. Islam ini adalah Islam organik, Islam yang datang dari bawah. Sekecil-kecil keluarga kepada masyarakat kepada pemerintahan. Mahu tidak mahu, manusia itu secara semulajadi bersifat meniru di mana manusia memang akan meniru dan terpengaruh dengan persekitaran kehidupannya. Dengan ini seseorang itu boleh memperolehi kedua-dua sifat baik dan buruk daripada keadaan seseorang yang lain.
Jika seseorang itu bergaul dengan seseorang yang baik dalam tempoh tertentu, dia akan memperolehi dalam dirinya sesuatu kebaikan daripada orang tersebut dan secara tidak disedari banyak mempelajari sesuatu. Makanya, jika dahulu masyarakat boleh menerima orang lain dengan hormat jika tidak memakai tudung adalah kerana Islam Rakyat pada waktu itu berbeza pandangan mereka dalam membicarakan tentang aurat dengan Islam Rakyat kini dalam membicarakan tentang aurat. Namun, perkara ini sebenarnya bukanlah sekecil melihat soal aurat tetapi dalam isu yang lebih besar.
Dalam membicarakan Islam rakyat ini, ia adalah satu process mengikut norma masyarakat pada ketika itu. Jika pada ketika itu masyarakat yang jelas, tidak terikut-ikut dengan idea institusi, pemerintah dan politik maka eloklah keadaan dan penyampaiannya kepada anak-anak dan seterusnya menjadi masyarakat. Dalam realiti kini Islam Rakyat sudah sangat terpengaruh dengan idea-idea kepartian.
Islam Rakyat kampung yang mempunyai ahli parti A adalah berbeza dengan Islam Rakyat kampung yang mempunyai ahli parti B. Disebabkan ini sahaja, pergaduhan tercetus dengan ketidaksefahaman masyarakat. Dengan ini, hal-hal yang serius tidak dapat dibincangkan kerana akhirnya fokus kepada Islam Rakyat itu hanyalah Islam Kepartian, sehingga terbawak-bawak kepada Surau, Masjid, Khutbah di hari jumaat, perbicaraan di ruang tamu rumah dan juga perbincangan sewaktu makan malam. Memberi contoh perkara yang seharusnya diangkat dalam Islam Rakyat, sabda Nabi;
"Tidak beriman siapa yang tidur dalam keadaan kenyang, sedangkan tetangganya kelaparan."
Hadis ini jika dipandang secara sekali lalu dan literal adalah satu hadis biasa. Tetapi jika di nilai secara kritis, hadis ini adalah hadis yang luar biasa. Ia bukan secara sempit mengatakan kita hanya harus peduli pada jiran tetangga tetapi adalah bagaimana Islam cukup menitikberatkan terhadap keadilan sosial, terhadap kemakmuran semua. Maka, dalam membicarakan ambil peduli jiran tetangga inilah persekitaran sosial yang islam rakyat harus tekankan.
Sudah tiba masanya Islam rakyat ini harus melakukan dialog-diaolog dengan pelbagai rujukan yang selari dengan sosial kontemporeri masyarakat kini. Supaya dapat difahami bahawa Islam mampu menjawab persoalan kompleksiti kini. Agama adalah untuk manusia, bukan untuk Tuhan.
Pengamalan kita dalam beragama, di samping sebagai bentuk penyembahan dan kepasrahan total kepada Tuhan, juga diorientasikan untuk membebaskan manusia dari segala macam ketidakadilan, penindasan, dan kemiskinan. Agama adalah jalan bagi kemungkinan untuk meneguhkan kemanusiaan ditegakkan di muka bumi ini. Dan semuanya tergantung pada bagaimana manusia membumikan makna agama ke dalam wilayah praksis dengan berangkat dari rasionalisasi teks.
Justeru, jika kita sepakat untuk bebas dari belenggu dan mempunyai masyarakat yang lebih cakna dna prihatin, haruslah kita kembali kepada Islam rakyat ini. Kembali persoalkan, sejauh mana gerakan Islam Rakyat kini. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempersoal bahawa gerakan-gerakan, tujuan-tujuan yang kita sampaikan pada anak-anak, jiran tetangga, adalah untuk siapa? Bagaimanakah agama digunakan untuk mengajar nilai-nilai kemanusiaan, perjuangan dan alat pembebasan dalam masyarakat?
Comments