top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

JAGAT (2015): BANTU BUKA MATA ANDA

Oleh Amirah Haziqah.



FILEM Shanjhey Kumar Perumal ini bukanlah filem yang pecah panggung sungguhpun kualitinya memberangsangkan. Akan tetapi masih ramai yang tidak buka mata. Ada seorang teman pernah berkata “untuk membangkitkan kesedaran dalam kepala penonton, kita patut mulakan penceritaan dengan meletakkan anak kecil.” Memilih Appoy (Harvind Singh) berjalan dengan penuh amarah buat kita tertancap dan terfikir apa yang membuatkan anak kecil ini panas hati. Naratif kemiskinan kaum India, umum mengetahui tetapi jarang sekali ditemui di panggung. Kalau kalian belum pernah tonton Jagat, haruslah segara laksanakan kerana Jagat boleh bantu buka mata anda.


Elok kalau kita pisahkan dua generasi dalam memahami penceritaan Jagat; anak kecil dan orang dewasa serta bagaimana akhir filem ini membentuk satu pusingan. Pusingan bisa dipatahkan dengan pendidikan dan itulah kepercayaan bapa Appoy. Appoy seorang anak kecil yang cerah imaginasinya, ditindas sistem pendidikan satu hala. Apa yang guru ajar itulah yang dilakukan, dan selaku anak murid Appoy tidak boleh persoal banyak hal. Pemangsa kepada Appoy adalah gred yang diperoleh, kerana sering menerkamnya hingga dialah mangsa kepada stigma ‘anak ini lemah belajar maka dia tidak bijak.’ Bukan itu sahaja, Appoy juga sering ditekan harapan ibu bapa yang mahunya cemerlang memandangkan dia bakal menduduki UPSR. Jadi apabila Appoy banyak bermain, bapanya kerap naik tangan dan apa yang mampu dia lakukan? Hanya menahan tanpa memberontak cuma adakala mencuba membela diri.


Dalam sisi orang dewasa kita bisa pecah kepada tiga bahagian. Cara hidup Maniam (Kuben Mahadevan) bapa Appoy, adik Maniam bernama Mexico (Jibrail Rajhula) serta seorang lelaki bernama Bala (Senthil Kumaran Muniandy). Bapa Appoy bersih dari jenayah, kerja pagi petang dalam menyara keluarganya namun didiskriminasi di tempat kerja. Mexico, adik kepada bapa Appoy mahu hidup cepat senang memilih untuk terlibat dengan kumpulan samseng, tetapi jauh di dalam matanya kita boleh faham Mexico tidak mahu kehidupan itu. Dia terpaksa atas desakan hidup yang susah. Manakala Bala, bekas penagih dadah yang pernah disumbat ke pusat pemulihan, mempunyai kebijaksanaan dalam berkata-kata - barangkali selepas kematian orang yang dicintai, Maria menamatkan hidup dengan ‘dadah baru’. Uniknya watak Bala, dia sedar sisi silamnya tidak bagus, perlahan-lahan mengajar Appoy untuk menghargai hidup dengan apa yang ada.


Banyak situasi realiti yang dengan jelas kita boleh ambil iktibar. Antaranya, kegagalan orang dewasa memberi perhatian kepada anak kecil. Appoy sering dialienasikan oleh Maniam. Sepertinya anak itu wujud hanya untuk belajar semata-mata dan tidak boleh bermain. Bapanya seperti ada satu pemikiran bahawa banyak main buat anaknya jadi bodoh maka dia harus kerap belajar supaya pandai. Anak-anak yang sering dilihat nakal dihukum dengan kenyataan mereka ini cuma mahu mengada-ngada. Orang dewasa selalu lupa seorang anak memerlukan perhatian. Komunikasi dan memahami adalah dua perkara orang dewasa kerap memandang enteng terhadap anak kecil. Mereka lupa benih yang mula membesar harus dijaga rapi dan disantuni bukan dikasari. Kekasaran yang dilihat dan diterima Appoy daripada orang dewasa sekelilingnya, (kecuali Bala) menjadikan dia perlahan-lahan menular api dendam. Tempiasnya? Sudah pasti rakan sekelasnya yang kerap ejek-mengejek atas kekurangan dirinya. Jadi pada siapa Appoy mendapat perhatian? Sudah tentu bapa saudaranya, Mexico dan temannya, Chicago serta Bala. Chicago seperti iblis yang sering cuba-cuba menghasut Appoy buat perkara bukan-bukan. Bala ibarat malaikat yang menasihatinya supaya jangan ikut jalan sebegitu. Appoy bukan bodoh tidak dapat menilai. Tetapi dia memilih jalan mana yang boleh membawa dia dilihat.


Kedua, bagaimana pendidikan gagal memberi jalan keluar kepada kemiskinan atau perhambaan moden. Di pertengahan filem, Maniam berkata “Kita perlukan duit kalau kita mahu pecahkan kitaran perhambaan ini.” Kesusahan hidup Maniam inilah yang buat dia percaya bahawa dengan pendidikan mampu merubah segalanya. Persoalan yang mula timbul, apa lagi yang bisa dilakukan apabila sistem pendidikan gagal membantu anak kecil imaginasi hebat seperti Appoy? Berapa ramai anak muda menjadi mangsa kepada sistem yang kerap menolak mereka yang “bodoh?” Usah berpura-pura tidak sedar kerana kesannya sistem ini melarat hingga sekarang. Untuk mendapatkan pendidikan bagus sekalipun memerlukan duit. Tidak ada duit, hidup tidak kemana-mana. Jadi pilihan apa yang ada buat orang miskin? Adakah hidup sekadar satu perangkap?


Justeru, bagaimana semua yang dinyatakan di atas ini membentuk kepada pusingan? Hidup susah dan ditindas menjadikan kebanyakan orang susah terpaksa menjadi hamba kapitalisme. Kalian tahu hidup hamba ini bisa dijatuh dari satu generasi ke satu generasi. Di sinilah hidup anak kecil seperti Appoy berada di persimpangan. Sama ada melalui pendidikan seperti kepercayaan bapanya, atau melalui jalan gelap yang berisiko tapi jaminan hidup dilimpahi duit dan kekuasaan. Lebih parah apabila pilihan pendidikan kerap mudah menendang mereka yang ‘berbeza’, maka hanya ada satu jalan yang tersedia.



P/s: Ditulis dalam ingatan terhadap seorang teman dan ibunya yang berada jauh di utara Malaysia.

51 views0 comments

Comments


bottom of page