Oleh: Nursyuhaidah A. Razak
Apa cara yang boleh aku buat untuk menyapu sedihmu kawan? Yang kembali menerbitkan senyum dari bibirmu, yang dapat hembuskan semangat pada kaki-kakimu menjejak, yang mengukuh upaya pada dinding-dinding otakmu – memaksanya padu bergerak. Optimis, sehingga sangkamu cuma satu pada Tuhan – hikmah.
Senyummu yang semakin mati, biarlah ia rehat di balik-balik kertas. Sehingga satu saat, aku percaya senyummu akan munggir jua. Ia cuma perlu masa dipulih kekecewaan lalu. Semangatmu jangan dibiar mati. Semangat itulah cahaya yang nantinya akan memandu perjalananmu untuk kembali bermimpi.
Orang seperti kita ini kawan, jika tiada mimpi – mati.
Mimpilah yang jadikan kita hidup dan wujud, penting dan utama di dalam dunia yang kita cipta. Ketika orang-orang besar yang sedang jalan bermegah itu memandang dunia kita kelabu, dengan mimpilah kita percaya dunia kita punya lain warna. Ah orang seperti kita ini, manalah mahu rakan-rakan kota berkawan. Didekatnya kita sahaja sudah busuk, menurut rakan-rakan kota itu membusuk jualah fikiran kita.
Berjalanlah kita dari hujung sana sehinggalah terperosok di sudut ini, tidaklah rakan-rakan kota itu mahu memandang pada sekeping hati yang masih hidup dalam sembunyi ini, yang dipandang hanyalah baju terkoyak yang sudah lusuh kekuningan di dada sebelah kiri.
Ah, dari memandang kaku pada rakan-rakan kota yang sedang pergi, elok lagi kita erat-erat memejamkan mata. Dengan mimpilah kita bebas bercerita dengan watak-watak yang kita sendiri cipta.
Engkau sendiri telah percaya bila aku katakan dunia ini sudah gila, penghuninya sedang melupakan kita. Yang duduk sambil bersila panggung di atas Dragons Chair berwarna coklat tua itu sibuk bekerja sambil menghirup teh pee-gee-tips yang uncangnya bersalut berlian. Lebai-lebai Imam sering menjadikan kita contoh produk kemiskinan lalu berlumba-lumbalah orang-orang baik menyerbu kita untuk membiakkan pahala. Tidak sedikitpun yang menyapa kita sebagai manusia, sebagai perempuan lebih lagi.
Selain berdepan dengan kemelut kemiskinan, tidak terbayangkah mereka kita ini lebih terdedah dengan keganasan seksual di jalanan? Eksploitasi dan juga pemerdagangan? Kira-kira 524 orang rakan jalanan wanita yang tidak punya tempat tinggal, ini direkod JKM pada tahun 2016 - berapa pula jumlah yang tidak direkod dan dikemaskini tiap tahun? Tidak mahukah mereka duduk sebentar, memikirkan juga bagaimana kita menguruskan menstruasi di jalanan? Sebuah kejadian 'alami di dalam rahim sesetengah perempuan yang tidak memberi kita banyak pilihan selain - menyelongkar tong sampah, mencari sisa-sisa surat khabar untuk melapik faraj.
Engkau masih menenung mataku.
Orang-orang yang sibuk bekerja menambah harta dan kuasa manakan peduli dengan orang seperti kita kawan. Kita ini hanyalah syiling 1 sen yang tercicir di muka pintu Perdana hitam, jatuh pun tidaklah mahu dikutipnya kembali. Namun kerana orang seperti kita ini punya mimpi, itulah yang jadikan kita ini berjiwa besar. Biar kita dipandang lucu tidur beralaskan kotak-kotak lunyai, putus-harap tiada dalam mimpi yang kita sendiri cipta, kerana engkau dan aku sudah percaya – jika mengalah dengan keadaan samalah seperti memutuskan nyawa sendiri di badan.
Ah kawan. Semakin jauh orang seperti kita ini bermimpi, jadikan kita cepat sedar tiada gunanya terus marah-marah pada orang-orang tua yang mencicip teh O panas di Grand Hyatt, orang seperti kita ini masih punya otak segar yang belum berkarat.
Engkau itu, masih boleh membaca cebisan-cebisan akhbar yang melekap di lantai kaki lima, masih banyak masa berjalan kaki pergi ke Perpustakaan Negara – masih membaca, masih lagi engkau membawa pulang dua tiga judul buku lalu duduk-senyap membacanya di sudut ini. Sehingga matamu tertutup bilapun sudah tidak engkau sedar, punyalah khayal jiwamu masuk ke dalam setiap buku yang dirangkul.
Katamu, engkau sering terpujuk dengan kata-kata yang engkau jumpa pada setiap baris halaman, itulah yang buatkan engkau mahu terus menyelak kertas-kertas. Hanya dengan itu, dapatlah engkau bangun esoknya dengan harapan.
Kawan, orang seperti kita ini jika tiada mimpi – mati.
Engkau telah aku pasakkan itu dengan cermat. Mimpilah yang sering menemukan kita pada diri kita semula, yang memunculkan bulan di antara awan hitam. Dengan mimpi juga orang seperti kita ini percaya akan dipertemukan jawapan kepada soalan-soalan kita yang tidak mahu dijawab orang.
Mimpi tidak pernah menjadikan kita orang-orang kecil yang dihalau-pergi, tetapi dengan mimpilah kita menjadi orang-orang kecil yang berjiwa besar.
Kawan, betapa mimpi juga telah menemukan engkau dan aku. Engkau yang sering datang bercerita kisah-kisah perjalanan siangmu kepadaku. Aku yang mesti mendengar dengan setia juga menaburkan kata-kata yang engkau ingin dengar, akulah yang mesti menghibur ketika hidupmu sudah separuh hari dibiar-sepi. Engkau pula selalu tercari-cari aku pada setiap orang yang engkau jumpa, kerana orang seperti aku ini kawan hanyalah satu watak yang engkau sendiri cipta lewat mimpi.
Satu watak yang memberimu harapan – dari sisi-sisi masyarakat yang lebih jernih daya fikir dan rentaknyalah engkau akan menemukan nilai kemanusiaan.
Kemanusiaan itu yang memeluk mimpimu sampai jadi nyata.
(Ditulis dengan inspirasi rakan jalanan bernama Liza)
Comentários