Baru-baru ini saya menyertai sebuah forum atas talian yang membincangkan tentang isu gender. Seperti sedia maklum, perbincangan gender lazimnya akan memberi fokus kepada isu pemerkasaan wanita. Hampir sepanjang forum, pewacana telah membuat kerja penting dalam mengetengahkan idea-idea dan naratif pemerkasaan wanita Melayu yang begitu organik dalam korpus kebudayaan Melayu itu sendiri melalui kisah-kisah perlawanan dan mainan politik wanita Melayu Istana dalam Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang. Melalui perkongsian naratif sedemikian, pewacana telah memperkaya dan mengakarkan idea pemerkasaan wanita Melayu yang sedia wujud dalam budaya Melayu.
Selama ini, sebarang idea pemerkasaan selalu dengan wenang dituduh sebagai “terikut-ikut dengan cara Barat”. Naratif dan intepretasi yang memperkasa sedemikian pula tidak seharusnya menidakkan bahawa penindasan masih boleh wujud dalam sektor sosial dan kehidupan wanita lain pula.
Namun begitu, sewaktu menyimpulkan pembentangan, pewacana menyatakan bahawa lelaki berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengetengahkan naratif pemerkasaan wanita dalam karya-karya mereka. Apabila disoal mengapa frasa anti pemerkasaan sedemikian perlu disebut sedemikian rupa, pewacana menjustifikasi bahawa kondisi sosial sedia ada yang lebih memberikan kelebihan kepada lelaki sekaligus, kerana kelebihan-kelebihan ini, lelakilah yang lebih baik untuk mengutarakan isu-isu pemerkasaan wanita.
Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan pengalaman beliau, adalah mendukacitakan bahawa terdapat kerja-kerja pemerkasaan wanita yang tidak diberikan perhatian hanya kerana masyarakat patriaki telah terkondisi untuk mendiskriminasi wanita secara sedar atau tidak. Hanya apabila ada lelaki yang mengiktiraf kerja-kerja termasuklah karya wanita tersebut, barulah komuniti terlibat (dalam konteks contoh beliau, komuniti sastera) mula melihat dan menghargai kerja wanita tersebut. Apabila disoal lanjut mengenai idea pemerkasaan lelaki pula dari sudut emosi dalam karya-karya sastera, iaitu watak lelaki yang lazimnya dipamerkan gagah dan heroik, diberikan sapuan realistik sebagai manusia yang kaya emosi – sedih, lemah, menangis, pewacana menjawab hal pemerkasaan sedemikian adalah tidak perlu kerana lelaki telah sedia ada terberdaya.
Adakah usaha pemerkasaan adalah untuk menyuguhkan realiti patriarki semata-mata?
Ilusi pemerkasaan di sebuah platform yang seharusnya menyeru pemerkasaan wanita dan lelaki tetapi menjadi sekadar ruang untuk mendiskripsi realiti (seperti sebuah mesin seismograf) semata-mata bahkan disimpulkan dengan memperkukuh kelebihan-kelebihan sosial lelaki yang tidak adil, begitu melinglungkan saya. Ianya menunjukkan sikap menyerah kepada budaya sedia ada. Praksis dan aksi yang pada dasarnya nampak kritikal. Realitinya, kita sedang sakan berdelusi.
Namun begitu, kita tidak pula menafikan peranan penulis lelaki dalam menulis cerita-cerita perempuan. Peranan lelaki dalam pemerkasaan wanita, termasuk dalam sastera amat penting. Agenda pemerkasaan wanita bukanlah agenda anti-lelaki[i]. Penindasan terhadap wanita juga bukanlah eksklusif dilakukan oleh lelaki. Ramai sahaja wanita patriakal. Isunya adalah penyerahan totok kepada rejim penindasan gender yang sedang berlaku. Apa yang diperlukan adalah pembedahan kepada mengapa rejim ini terus berlangsung, mengajar sensitiviti dan menyeru kepada kefahaman yang lebih mendalam akan apakah itu diskriminasi gender terutamanya terhadap wanita[ii]. Lelaki dan perempuan perlu diberikan pencerahan akan impak komuniti sastera yang melebih-lebihkan atau terlalu menyelesai cerita dari sudut pandang dan pengalaman lelaki.
Hal ini perlu dipermasalahkan. Cerita tentang represi dan ekspresi seksual serta sensual masyarakat terhadap wanita, percabulan dan penjarahan agama-budaya dalam kehidupan seharian, diskriminasi tempat kerja misalnya merupakan realiti paling zahir yang terpaksa dihadapi oleh wanita. Tetapi, penulis-penulis wanita jarang dapat bebas menulis tentang isu-isu ini kerana ia masih dianggap sebagai cerita yang jalang dan taboo[iii], dan hanya sesuai untuk ‘penerbitan kiri dan indie’. Apakah boleh diterima jika seorang wanita yang menulis novel Salina misalnya? Jika jawapannya tidak (seperti yang digambarkan pewacana tadi dek kelebihan sosial lelaki), kita perlu terus mengkritik dan menjahamkan penjarahan hak menulis wanita ini. Komuniti sastera termasuklah editor dan ahli akademik perlu menjamin ruang yang selesa untuk penulis wanita dan cerita-cerita mereka.
Gentrifikasi sastera ini tidak munasabah.
Ilusi Pemerkasaan dan Mentaliti Messiah
Apakah masalahnya apabila saranan terbaik yang dapat diberikan pasca sebuah wacana yang terbuka dan meraikan kepelbagaian adalah: lelakilah yang lebih baik untuk menulis cerita wanita?
Masalahnya adalah pemikiran sebegini merefleksi idea pemerkasaan secara wewenang dan selapis. Padahal tujuan pewacanaan isu-isu sosial perlu mengambil kira kompleksiti penindasan sistemik yang berakar dalam budaya dan harusnya lebih sensitif. Ianya bermasalah jika di wahana yang seharusnya progresif, pewacana masih mengharapkan ada messiah atau adiwira lelaki yang perlu datang menyelamatkan golongan tertindas. Lelaki perlu menyelamatkan perempuan.
Memanggil lelaki untuk menulis peran tentang wanita mengingatkan saya fenomena black face minstrel di Amerika Syarikat. Sewaktu dekad perang saudara Amerika Syarikat dan berkembang semula ketika gerakan hak sivil bermula pada dekad 60-an, golongan kulit putih mencipta hiburan yang dipanggil black face minstrelsy – fenomena seni yang mengetengahkan cerita-cerita seputar kehidupan orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Masalahnya, peran ini akan dilakonkan oleh pelakon kulit putih yang dicat kulitnya menjadi hitam (black face) menggunakan, antara lain gabus yang dibakar, arang, pengilat kasut dan minyak.
Watak-watak kulit hitam ini pula dibentuk mengikut ciri-ciri sterotaip orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Black face digambarkan sebagai tidak dapat mengawal diri, miskin, hanya tahu berhibur, tidak berpendidikan, tidak bertamadun dan kerana terlalu buas atau bodoh, mereka juga perlu dikawal. Fenomena seni ini juga memaparkan bahawa orang kulit putih adalah messiah, penyelamat bagi orang kulit hitam ini.
Cerita dan pemaparan orang kulit hitam yang lebih banyak dikonsumsi massa tidak bermakna bahawa pemerkasaan komuniti kulit hitam tersebut sedang berlaku. Naratif yang ditadbir dan dikawal oleh orang asing selalu dijangkiti bias, prejudis dan kesongsangan interpretasi pengalaman. Dalam konteks black face, representasi dan penceritaan songsang sedemikian adalah sebahagian daripada penyuguhan pada usaha-usaha penindasan yang sistemik[iv]
Contoh ini releven untuk menjelaskan bahawa beban pengalaman atau politics of experience[v] golongan yang ditindas tersebut merupakan perkara terpenting dalam agenda pemerkasaan. Beban pengalaman inilah yang memungkinkan agenda tersebut bersih dari didiktat kesilapfahaman yang serong, sekaligus boleh menggagalkan agenda tersebut. Dalam konteks dunia hiburan Amerika Syarikat, apabila banyak kerja keras bagi memastikan ruang dan peluang untuk memahami beban pengalaman masyarakat marjinal termasuklah orang kulit hitam, wujud kebarangkalian untuk lahirnya individu kulit putih yang boleh menghormati dan membawa naratif orang kulit putih dengan baik pula.
Kembali kepada konteks pewacanaan gender, mentaliti mengekalkan status quo yang melebih-lebihkan lelaki serta menyalahkan pula mangsa penindasan (“Sangat sedikit wanita menulis. Wanita yang tidak mahu menulis.”) dengan semberono adalah perlekehan kepada idea keadilan dan pemerkasaan. Model perlawanan yang ditawarkan ini masih terkongkong dalam kitaran zalim yang mendiskriminasi apabila kita terus merasakan bahawa hanya lelaki atau kumpulan yang mempunyai kelebihan status sosiallah yang lebih baik untuk melakukan sesuatu hal yang moden dan sosial sifatnya[vi].
Usaha untuk terus mempersoal kelebihan status sosial lelaki di samping terus memberi dorongan, dan ruang selamat serta selesa untuk wanita berpartisipasi di medan sosial, adalah kerja penting yang perlu dilakukan semua pihak. Forum wacana sains sosial pula seharusnya melakukan kerja-kerja ini. Berwacana adalah untuk mencari jalan bagaimana melawan patriarki dan diskriminasi baik yang jelas dan langsung mahupun yang senyap dan tidak langsung.
Siapa lebih baik?
Persoalan binari berkenaan siapa yang lebih baik untuk menulis tentang siapa sangat sudah ketinggalan zaman. Pada tahun Wawasan 2020 ini, wacana sains sosial harusnya sudah beredar daripada pengelasan binari yang wenang dan pemalas. Pewacanaan gender pula perlu mengupas pemasalahan sistemik yang langsung atau tidak langsung dengan turut mengambil kira naratif pengalaman golongan yang ditindas. Dalam ranah karya Malaysia contohnya, masih jarang kita berjumpa dengan peran lelaki yang menjadi suri rumah tangga, lelaki yang begitu ekspresif kasih sayangnya pada ahli keluarga, lelaki yang memasak, lelaki mudah menangis kerana misalnya dia tertekan di tempat kerja, lelaki yang tidak menjadi ketua keluarga, lelaki yang feminin dan pelbagai lagi realiti kelelakian yang ada editor anggapi sebagai “ini bukan watak lelaki”.
Begitu juga dengan watak perempuan. Waima di tangan penulis gender apa sekali pun, wanita selalunya lemah, atau jika naratifnya diketengahkan, wanita pasti akan menghukum dirinya sendiri, wanita akan mati, dan paling selalu, hidup peran wanita akan ditentukan oleh peran lelaki dalam karya tersebut. Cerita-cerita wanita oleh penulis wanita diam atau didiamkan[vii]. Namun begitu, bukannya totok salah wanita dipaparkan dengan nuansa sebegini kerana sastera adalah pentas realiti kehidupan yang memaparkan, tentulah, realiti kehidupan. Pun, pengulangan roda cerita yang tidak kreatif sedemikian begitu membengkalkan dan tidak membawa kepada kemajuan pemikiran.
Kemandulan karya sastera daripada menjadi kritikal serta kurang menghiraukan realiti isu-isu sosial yang menekan, menindas dan sedia kompleks adalah malapetaka besar sesebuah ketamadunan.
Saya secara peribadi pernah menyoal seorang editor yang mengatakan bahawa wanita dalam salah sebuah cerpen tulisan saya sebagai “terlalu kuat”. Beliau bertanya mengapa saya menggambarkan seorang lelaki beragama dalam cerpen saya itu sebagai lelaki yang walaupun pintar, berkeyakinan dan berpendidikan tinggi tetapi lemah dan pengotor kerana menurutnya, bancuhan watak sebegitu tidak masuk akal. Saya membalas bahawa ujarannya itulah yang tidak masuk akal kerana menjadi pengotor tidak mengenal jantina atau IQ. Saya menambah bahawa watak wanita saya pula bukanlah setiap masa dipaparkan kuat, dia ada turun naiknya: “Seperti manusia. Seperti kita”.
Cerpen itu tidak disiarkan kecuali menurut editor itu, jika saya mengubah watak dan perwatakan dalam tulisan saya. Sikapnya yang mahu menjadi diktator pada karya saya, cerita saya serta sudut pandang serong dan sterotaip gender beliau begitu saya sesali. Inilah juga membuat saya terfikir tentang mengapa mundurnya sastera Bahasa Melayu di tangan penguasa.
Anekdot pengalaman saya dengan editor sebuah majalah sastera besar Malaysia ini adalah salah satu bukti kualitatif bahawa ranah sastera Bahasa Melayu yang seharusnya menjadi ruang selamat dan terbuka dalam meraikan kompleksiti manusia, merakam dan merungkai permasalahan sosial dalam Bahasa Melayu, masih dilihat tidak bersedia dan tidak matang untuk memenuhi peranannya yang sakral itu. Berbanding sastera Bahasa Melayu di Malaysia, sastera Bahasa Inggeris di Malaysia dilihat begitu ke depan dalam penceritaan rencam dari pelbagai sudut pandang, sastera Bahasa Inggeris begitu terbuka dalam membicara dan penjajahan, konflik kekeluargaan dan isu domestik, pertembungan budaya lama dengan masa kini, soal identiti kebangsaan, isu perkauman, perihal modeniti dan pembangunan, serta pelbagai isu lagi sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Tentulah, ini bukanlah kayu ukur utama baik buruk, sebab politik dan dominasi bahasa Inggeris dalam karya sastera dunia juga adalah hal yang politikal dan produk ketidakadilan yang berzaman lamanya, tetapi kualiti isu-isu sosial yang dibangkitkan dalam karya-karya lain bahasa ini tidak dapat disangkal dan dipandang enteng pula.
Refleksi Usaha Sastera dan Wacana
Saranan pewacana awal tadi juga mengingatkan saya pada sebuah cerpen Keris Mas yang ditulis pada tahun 1947, Dalam Pelukan Wanita Sedar[viii]. Cerpen ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang jatuh cinta pada seorang Norkamala Wati, yang juga merupakan antara pemimpin aktivis SEDAR (yang keberangkaliannya merujuk kepada gerakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pada dekad tersebut). Apabila lelaki tersebut meluahkan perasaan cintanya pada Norkamala Wati, Wati menolak cinta lelaki itu kerana mahu memberikan fokus kepada aktivisme dan perjuangan kemerdekaan. Menurut Wati “Ibu pertiwi kita dewasa ini sebagaimana kakanda ketahui menghendaki tenaga putera dan puterinya. Sebab itulah Wati mencintai dia (negara), berjuang dan berkorban kerana dia dengan meninggalkan kepentingan diri sendiri”
Lelaki berkenaan merasa putus asa dan membawa diri ke Singapura. Ketika bekerja di Singapura, tempat kerjanya ditekan oleh kapitalis yang melayan buruh dengan buruk. Lelaki itu, kerana terinspirasi dan tergerak oleh aktivisme Wati, turut menjadi pejuang hak buruh dan aktivis sosialis yang terkedepan sehingga wajahnya dipaparkan di muka akhbar. Setelah sekian lama lelaki itu pulang ke kampung dan terkejut kerana mendapati bahawa Wati sudah meninggalkan dunia aktivismenya. Pada mulanya, lelaki tersebut kurang bersetuju kerana memikirkan Gerakan SEDAR yang memerlukan tenaga dan kepimpinan Wati. Namun, Wati membalas : “Kanda rupanya tidak mengerti jiwa perempuan […] Bahawa kanda telah maju ke medan perjuangan, Wati juga sudah mendengar sebab itulah Wati menarik diri undur ke garis belakang. Garisan yang tidak kurang pentingnya […] Biar Wati tinggal memperkukuh garis belakang, menyediakan sebuah rumah tangga untuk pahlawan tanah air pulang dari perjuangan”.
Sejurusnya, cerpen tersebut diakhiri dengan lelaki tersebut berjanji setia untuk memberi kebahagiaan pada Wati apabila mereka berkahwin nanti. Lelaki itu dengan bangga memberitahu pembaca tentang malam yang makin sunyi sejuk dan dia “semakin tenggelam dalam pelukan Norkamala Wati serikandi barisan wanita SEDAR yang kucintai”.
Budaya patriaki adalah apabila wanita itu memilih untuk tidak berjuang berkenaan isu yang dipercayai penting kerana merasa memadailah lelaki yang berjuang bagi pihak dirinya dan masyarakatnya.
Renungan Keris Mas dalam cerpen ini tentang kesan patriaki masih bergaung sehingga ke hari ini. Pemerhatian dalam cerpen ini adalah rakaman sejarah langgam seorang wanita yang pada mulanya lebih berpotensi dari seorang lelaki, memilih gaya hidup patriaki. Malangnya, pilihan-pilihan sebegini masih diajar oleh masyarakat kita, dialimi oleh sebahagian ahli akademik dan komuniti sastera apa lagi individu dalam masyarakat terbanyak.
Ianya berbeza jika Wati memilih untuk tidak berjuang kerana agensi dirinya yang memilih sedemikian itu. Tentu, kita tidak menafikan juga bahawa pilihan-pilihan hidup sebegini memang kompleks dan tiada totok salah-betul. Di sinilah tugas saintis sosial untuk meladeni dan memperhalusi fenomena patriaki dan pemerkasaan dengan saranan-saranan berkualiti.
Keris Mas dan ramai penulis lelaki lain telah melakukan kerja yang diminta oleh pewacana dalam forum yang saya hadiri tadi – mereka lelaki telah menggunakan ‘kedudukan lebih baik dalam masyarakat’ untuk mengetengahkan kisah-kisah wanita. Dari Syed Sheikh Al Hadi, Ahmad Rashid Talu, Keris Mas, Arenawati, Azizi Abdullah dan sekalian penulis lelaki popular yang telah lama membawa cerita wanita-wanita rencam, termasuklah wanita terberdaya, dalam karya mereka.
Maka, di manakah silapnya?
Sebab setelah hampir 100 tahun novel pertama Malaya ditulis seorang lelaki yang menyeru tentang emansipasi wanita dan pemerkasaan, seorang wanita yang menghadiri wacana bertema keadilan gender (kerana dia mahu turut serta dalam perjuangan sosial massa), tetap masih diberitahu bahawa akhirnya, lelakilah yang mempunyai kedudukan lebih baik untuk berjuang mengetengahkan cerita-cerita tentang dirinya.
Rujukan: [i] Bell Hooks (2015) Feminist Theory: From Margin to Center [ii] Rujuk kritikan sastera Ginokritik oleh Elaine Showalter (1977) A Literature of Their Own [iii] Norhayati Ab Rahman (2012) Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik [iv] Rujuk pelbagai kajian tentang fenomena Black Face sewaktu Perang Saudara 1880-an dan sewaktu Gerakan Hak-hak Sivil 1960-an di Amerika Syarikat. [v] Iris Marion Young (2000) Inclusion and Democracy [vi] Chandra Talpade Mohanty (2003) Feminism Without Borders [vii] Antara lain, rujuk tulisan Edwin Ardener (1975) Belief and Problem of Women [viii] Keris Mas (2010) Kumpulan Cerpen Sasterawan Negara Keris Mas 1946-1989
Komentáře