Ahmad seorang guru muda lepasan Universiti Pendidikan terkemuka di negara. Berwajah tenang. Berpakaian kemas. Rambut rapi disikat ke tepi. Usia beliau kurang lebih baru menjengah 24 tahun. Ahmad menjadi harapan keluarga namun demi menjalankan tugas mendidik anak bangsa beliau menuruti sahaja ‘posting’ beliau ke Kuala Lumpur. Satu kota besar yang jaraknya lebih 500 KM daripada utara semenanjung (kampung asalnya). Ahmad ditugaskan mengajar pendidikan seni visual.
Dan masa pun berlalu. Suatu pagi seperti biasa Ahmad akan memberi arahan kepada 30 orang anak-anak sekolah rendah. Ohh ya, oleh kerana berbetulan sebulan sahaja lagi mahu cuti sekolah kerana menyambut perayaan Aidil Fitri maka Ahmad sudah mempunyai idea yang bertemakan perayaan. Ahmad membayangkan tema seperti ‘Perjalanan balik kampung’, ‘Keluarga Bahagia’, atau barangkali ‘Berkumpul di Rumah Nenek’. Tema yang mudah dan dekat dengan anak-anak ini. Sebagai seorang anak kampung, Ahmad sudah faham benar rasa keseronokan pulang ke kampung. Fikir beliau anak-anak ini juga pasti melalui pengalaman yang sama.
“Okey baik, disebabkan sebulan lagi kita nak raya dah, cikgu nak semua lukis lukisan bertemakan keluarga bahagia boleh?” arah Ahmad kepada para pelajar kelas 3 Baiduri itu.
Tambah Ahmad, “terpulang pada kreativiti dan pengalaman masing-masing untuk lukis apa. Apa yang kamu lalui itu yang kamu lukis ya. Nah depan ini ada pensel warna. Masing-masing boleh ambil. Jangan berebut. Cikgu bagi masa 45 minit”.
Setiap anak-anak yang suci itu berkejaran dan teruja mengambil pensel warna di meja hadapan. Tidak jauh daripada meja yang terletak betul-betul dihadapan kelas itu terduduk diam seorang murid perempuan. Siti nama anak itu. Wajahnya sugul. Pipinya agak montok. Rambutnya keriting dan keningnya sedikit tebal.
Ahmad sedar mengenai situasi Siti lalu didekati anak itu. Ahmad berkata,”Siti sudah ambil pensel warna?”.
“Belum cikgu”.
“Okey kamu ambil pensel warna biru ini ya. Kamu lukis dahulu ikut tema kita tadi. Nanti cikgu akan dating semula kepada kamu ya. Siti mesti lukis cantik punya.” Ahmad memberi sedikit kata dorongan kepada anak murid beliau.
“Hmm, baik cikgu” angguk Siti.
Siti seorang anak yang pandai berdikari. Setiap kali selesai waktu persekolahan ketika anak-anak lain di usia 9 tahun menunggu ibu bapa dan penjaga masing-masing untuk menjemput pulang, Siti sebaliknya. Siti berjalan kaki ke bus stop yang jaraknya kurang lebih 100 meter daripada pagar sekolah itu menunggu bas untuk pulang ke rumah. Setahu Cikgu Ahmad rumah Siti terletak di flat sekitar Chow Kit. Jika bernasib baik Siti akan ditumpangkan oleh ibu bapa rakan sekelasnya untuk pulang ke rumah.
25 minit masa telah berlalu. Hanya berbaki 20 minit sahaja lagi untuk Ahmad memberi arahan untuk berhenti melukis dan mengumpulkan kertas hasil lukisan anak-anak itu tadi. Ahmad pusing melihat dan memantau lagat anak-anak murid beliau melukis. Anak-anak itu dipercayai dalam keadaan Fitrah (suci). Mereka jujur dan suci. Apa yang dilihat, dirasai, diketahui mereka pasti akan ditumpahkan. Mereka belum kenal erti kepentingan peribadi atau menipu seperti pak-pak menteri. Mereka belum kenal erti mengambil keuntungan persis kapitalis-kapitalis neoliberal yang menindas. Ini adalah nurani yang suci diciptakan Tuhan.
Sambil tersenyum Ahmad memantau seorang-seorang anak murid beliau. Dilihatnya semua hamper siap. Pelbagai ragam digambarkan anak-anak atas kertas lukisan masing-masing. Hafiz melukis suasana kampung beliau. Fatin melukiskan gambar seorang anak kecil berpegang tangan bersama ibu dan ayah. Barangkali anak kecil itu adalah beliau. Fikri melukis gambar beberapa orang lidi yang bermain bunga api dan tertulis di bahagian atas kertas itu “Keluarga Kesayangan Saya’. Nasuha melukis gambar seorang anak kecil di tengah-tengah dan ada sebuah bentuk “Love” besar, dikiri dan kanannya diapit seorang lelaki dewasa dan perempuan dewasa.
Ahmad seorang guru yang suka meraikan kreativiti anak-anak murid beliau. Beliau percaya bahawa ini adalah suatu latihan yang akan membolehkan anak-anak itu berlajar dan berkembang dengan baik. Setiba giliran ke Siti, Ahmad berhenti sejenak. Beliau menghampiri ke Siti dan tengok rapat apa yang dilukis oleh Siti. Hasilnya tiada apa-apa. Kertas yang diberi beliau 25 minit yang lepas putih dan kosong itu masih sama seperti keadaan asalnya.
Ahmad kaget dan lantas bertanya kepada Siti,” Kenapa kamu belum mula lukis apa-apa lagi Siti? Ada apa-apa arahan saya yang kamu tidak faham ke? Apa yang cikgu boleh bantu?”
“Saya tak faham lah tema yang cikgu beri tu. Pesal pulang ke kampung, keluarga bahagia, pulang ke rumah nenek semua tu cikgu”. Jawab ikhlas anak itu.
“Alaa, macam biasa bila kamu sambut hari raya apa yang kamu buat, suasana kamu balik kampung, atau pergi jalan beraya dengan ibu bapa kamu.” Jawab Ahmad memberi contoh mudah.
“Tapi saya masih tak faham lah benda tu cikgu” Siti mengulangi kebingungannya.
Untuk memudahkan urusan kerana masa kian suntuk Ahmad memberi arahan yang lebih mudah kepada anak kecil itu, “Okey baik, kalau begitu Siti lukis atau tulis sahaja apa perkara yang Siti rasa, lalui atau yang Siti tahu. Apa-apa sahaja. Tak perlu ikut tema pun tidak apa ya.”
“Apa-apa sahaja cikgu? Lukisan atau pun tulisan ya cikgu?” tanya Siti.
“Ya Siti apa-apa sahaja. Lukisan mahupun tulisan. Pantas ya Siti kerana kita hanya ada masa sekitar 15 minit sahaja lagi ini.” Bilang Ahmad kepada Siti.
Dan Ahmad kembali meneruskan tugasan beliau memantau anak-anak murid beliau yang lain. Siti ditinggalkan dengan harapan dia melukiskan atau menuliskan sesuatu.
Jam menunjukkan tepat pukul 9.15pagi. Masa yang diperuntukkan selama 45 minit telah tamat. Ahmad memberi arahan kepada anak murid beliau untuk berhenti melukis dan kemas semua peralatan lukisan semula. Ahmad mula mengutip dan mengumpulkan lukisan anak-anak murid kesayangan beliau yang pelbagai ragam itu. Totalnya harus 30 keping kertas lukisan. Ditangannya sudah ada 29 keping. Yang terakhir dikutip adalah kertas lukisan Siti. Oleh kerana kesuntukan masa Ahmad hanya mengambil sahaja tanpa melihat dengan teliti satu persatu.
“Baik terima kasih semua, cikgu akan bawa balik dahulu lukisan kamu ini dan nanti cikgu beri markah ya. Kita tengok lukisan siapa yang cantik ya. Siapa yang paling cantik cikgu akan bagi hadiah.” Kata Ahmad kepada anak-anak itu.
Kelas selesai.
Malam itu setelah pulang ke rumah Ahmad mengeluarkan kesemua hasil lukisan anak-anak itu untuk ditanda dan diberi markah oleh beliau. Fikir beliau dalam 2 hari lagi beliau mahu memulangkan semula kepada anak-anak itu berserta markah masing-masing. Beliau meneruskan membelek satu persatu kertas itu seperti biasa. Dan sampai kepada kertas yang terakhir kepunyaan Siti, Ahmad melihat tiada apa-apa yang dilukiskan oleh Siti. Hanya 3 patah perkataan sahaja yang terletak di tengah-tengah kertas lukisan itu iaitu:
Ibuku seorang pelacur…
Комментарии