top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

IBU JUGA YANG MEREKA PANGGIL HINGGA KE NAFAS TERAKHIR Terjemahan bebas oleh Ruby Mas

Artikel Nawal El-Saadawi yang tersiar dalam akhbar ‘Al-Masry Al-Youm’ pada 16 Disember 2019

Perempuan masih lagi membayar harga yang tinggi sehingga sekarang akibat anakronisme walaupun merekalah yang menemui huruf-huruf untuk dibaca dan diajari kepada sekalian manusia semenjak 7000 tahun lalu. Kita tidak pernah mendengarkan lagi ‘Bahasa Ayahanda’ tetapi ‘Bahasa Ibunda’ digunakan secara meluas kerana merekalah yang mengajarkan kita bertutur sejak dari lahir. Malah di ambang kematian, ibu juga yang kita dipangil-panggil. Dalam dunia perubatan, aku sendiri menyaksikan banyak kematian dari pelbagai bangsa dan mazhab, kalimah terakhir dari mereka ialah ‘Ibu’. Walaupun begitu, perempuan masih lagi dihalang daripada menulis dan berfikir sejak berabad-abad lamanya. Aku pun begitu. Jika ada perkara buruk datang menimpaku, mulutku hanya terpacul kalimah ‘Ibu’ walaupun ibuku telah meninggal dunia sewaktu remaja. Aku sedar sepenuhnya yang ibu takkan kembali dengan panggilanku namun itulah yang boleh menenangkan hatiku. Ingatanku kepada ibu kembali segar pada saat paling penting dimana aku menyeru semua perempuan di seluruh dunia untuk mendapat dan merasakan kemajuan. Aku kerahkan wanita di seluruh negara untuk menganjurkan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan sistem kapitalis, patriarki dan perkauman yang berkuasa atas negara dan keluarga. Sistem yang sama juga yang membenarkan keganasan kepada wanita atas nama didikan serta pembunuhan atas nama kehormatan dan kemuliaan. Ibuku ‘Zainab Shukri’ berhasrat untuk melanjutkan pelajaran untuk menjadi penyelidik dalam bidang perubatan dan ingin mencari penawar kanser yang membunuh ibunya namun bapanya mengeluarkannya secara paksaan dari sekolah lalu mengahwinkannya dengan bapaku. Ibu baru berumur 15 tahun ketika itu, kemudian dia melahirkan 9 orang anak. Dia meninggal dunia akibat kanser juga pada umur yang muda. Sebenarnya telah terbukti secara klinikal, kesedihan menyebabkan ketidakseimbangan dalam sel-sel badan yang boleh membawa kepada kanser. Kanser tersebut boleh jadi aktif atau tidak bergantung kepada tahap kesedihannya. Namun bapaku seorang lelaki mulia yang melayan ibuku dengan rasa hormat dan cinta. Kesedihan ibuku tidak ada kena mengena dengan bapaku atau kehidupan peribadinya tetapi hidupnya secara umum kerana dia tidak dapat merealisasikan satupun cita-cita akademik mahupun intelek. Oleh itu, dia sentiasa berpesan kepadaku supaya jangan melepaskan cita-cita untuk mana-mana lelaki sekalipun dia seorang Maharaja China. Wajah ibu kembali muncul menerpa di depan mataku selepas 60 tahun kematiannya apabila aku menyaksikan perempuan keluar ke jalanan mengangkat tangan mereka melawan kezaliman, penindasan dan penghinaan. Mereka bersatu melaungkan satu suara menolak keganasan dan pencabulan terhadap perempuan, menolak kejantanan palsu, menolak keperempuanan yang hanya tunduk lemah, menolak penelanjangan batang tubuh kami dek keuntungan dan pasaran, menolak kepala kami ditutup atas nama agama dan moral, menolak dwistandard dan kasta dalam kalangan manusia dan menolak penghambaan abad ke 21. Suara perempuan-perempuan ini tersekat-tersekat dek air mata yang mengalir. Suara mereka serak kerana begitu dalamnya kesakitan dan kepahitan dek penindasan yang mereka alami. Hati mereka luka berdarah sepanjang zaman merentasi 7000 tahun lamanya terkumpul segala kesedihan. Luka ibu-ibu, isteri-isteri dan anak-anak perempuan takkan sembuh kerana setiap kali ia mulai pulih, ia akan luka kembali. Apabila seorang anak perempuan terbebas dari penjara bapanya, dia masuk pula ke penjara perkahwinan. Dia takkan terbebas dari berkhidmat kepada suami, anak-anak serta cucu-cucu sehinggalah dia musnah binasa dengan keletihan, penyakit dan kekecewaan. Perkara yang paling banyak memusnahkan perempuan adalah kedukaan kerana kebaikan dan ketaatan mereka tidak dihargai. Yang mereka dapat hanyalah penindasan, ketidakadilan dan pengkhianatanan. Bukan dari orang asing atau musuh tetapi dari orang-orang yang disayanginya. Perempuan berduka atas kehilangan dirinya, namanya serta cita-citanya lantas mereka berkata pada diri mereka sendiri: engkau tiada impian, engkau tiada kehidupan luar dari perkahwinan, engkau tak mungkin mandiri di luar rumah. Mereka mendakwa perempuan yang bercita-cita tinggi merupakan perempuan yang tersasar dari segi psikologi dan moral. Oleh itu, perempuan ini membela dirinya tak kiralah dia seorang penulis, doktor atau menteri sekalipun dengan menyatakan ketaatan penuh kepada suami dengan memenuhi semua kehendak dan kemahuan yang terdiri daripada seni melayan di atas ranjang ataupun seni masak-memasak. Kita dapat lihat dalam surat khabar gambar menteri wanita pertama Mesir menyajikan makanan kepada suami, peguam perempuan yang paling terkenal di Mesir dengan bangganya membersihkan kasut suami serta seorang personaliti media popular membuat kenyataan bahawa suaminya berhak mendidiknya dengan pukulan yang tidak mendatangkan kecederaan kekal. Malah sekumpulan perempuan juga menaikkan motto “Suamiku, Suamimu Jua” untuk menggalakkan lelaki-lelaki melakukan pengkhianatan dalam rumahtangga. Kita dapat saksikan demonstrasi wanita terbesar di Filipina, Korea, Afghanistan, Poland, Argentina, Sepanyol dan Iceland. Wanita-wanita menganjurkan mogok kerja-kerja rumah untuk satu hari yang menyebabkan banyak kerja tergendala termasuklah kereta api dan kapal terbang. Lelaki-lelaki pula terpaksa duduk di rumah menyusukan anak dan mememasak manakala para wanita mengangkat sepanduk “kalau wanita berhenti bekerja maka semuanya akan terhenti” Justeru, perempuan yang sedar mengaitkan keganasan rumahtangga dengan kerosakan sistem politik, kezaliman peribadi dengan kezaliman umum, kerosakan keluarga dengan kerosakan negara. Ini adalah kerana pemberontakan wanita terhadap sistem dunia adalah untuk menyedari bagaimana dunia ini membazirkan berbilion dolar untuk pembunuhan dan pertumpahan darah sementara itu meninggalkan majoriti penghuni bumi ini menderita dengan kemiskinan dan bala penyakit. Itulah sebabnya, kita lihat dalam demonstrasi wanita seluruh dunia slogan “melaburlah dalam kesihatan, jangan melabur dalam peperangan”

2 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page