Drama politik tanah air yang melanda seminggu dua ini masih panas berlangsung. Barangkali ‘drama petang’ ini akan terus berputar dengan pelbagai ‘aksi’ lagi.
Walaupun negara dalam keadaan aman namun keresahan telah melanda. Ketidakstabilan politik juga telah menghambat pertumbuhan ekonomi negara. Penularan virus Covid-19 juga sering membuat rakyat awam gundah gulana. Baru bulan ke-3 tahun 2020. Telah banyak diduga.
Krisis dan melalui ‘zaman kegelapan’ politik tanah air ini telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa tidak ada harapan yang perlu digantung melangit kepada politikus. Politikus hanya berpihak jika kepentingan parti atau peribadi boleh dicapai. Berpaling tadah perkara biasa. Slogan-slogan retorik seperti ‘demi rakyat’, ‘selamatkan negara’, dan ‘‘rule of law’ hanyalah dipakai dan ditunggang jika perlu. Membunuh lawan dan karakter politik perlu dilakukan jika mereka rasa terancam.
Rupa-rupanya perangai jijik politikus ini bukanlah suatu perkara yang baru dalam sosio-historis kita. Perangai jijik politikus ini sudah lama menjadi praktik dan diceritakan antaranya didalam Hikayat Panca Tanderan (1835). Hikayat Panca Tanderan ditulis oleh seorang tokoh reformis abad-19 iaitu Abdullah Munsyi yang merupakan saduran daripada bahasa Sanskrit, Pancatantra. Namun, didalam artikel ini saya akan berkongsi serta membuat hubungkait antara krisis politik negara kini dengan cerita pertama hikayat ini sahaja iaitu Galilah dan Daminah.
Penulis berani untuk katakan bahawa hikayat ini seumpama ‘Animal Farm’ karya George Orwell. Ia semacam kitab mengenai realpolitik jijik yang sifat-sifat itu diterjemahkan melalui watak-watak binatang. Barangkali memang ini mesej bawah sedar yang ingin para penulis kritik sosial ini ingin sampaikan buat kita.
Galilah dan Daminah ini merupakan dua ekor serigala yang menjadi menteri kepada seekor Raja Singa. Kedua menteri yang licik ini telah membawa seekor lembu, Si Terubuh menghadap Raja Singa kerana dilihatnya memberi ancaman kepada raja mereka itu.
Namun sebaliknya terjadi apabila Raja Singa menyukai Si Terubuh dan melantik beliau menjadi menteri besar di negeri tersebut. Kerana sudah menjadi tradisi politik Melayu saling mendengki maka dikatakanlah menteri berdua ini, “Hai sahabatku Galilah! Telah hilanglah kebesaran kita sebab Si Terubuh celaka itu telah menjadi menteri. Maka semuanya itu pun datangnya dari salah kita juga.” (muka surat 7, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016).
Maka sepertimana dilihat kita kini dengan pelbagai ‘Langkah Sheraton’, ‘kerajaan pintu belakang’, mengadu domba, serta melaga-lagakan maka itu jugalah yang diperbuat oleh Galilah dan Daminah apabila kedua menteri ini berasa menyesal dan sakit hati dengan kedudukan yang dicapai oleh Si Terubuh. Kedua ekor menteri serigala ini telah menghasut serta mengapi-apikan pergaduhan antara Raja Singa dan Si Terubuh. Bilang mereka pada Raja Singa bahawa Si Terubuh sedang membina empayar dan ingin kudeta kerajaannya, manakala bilang mereka pada Si Terubuh pula bahawa Raja Singa ingin membunuh beliau serta memberi jamu makan badannya kepada rakyat.
Walaupun pada hujung cerita Galilah menyesal terhadap kelakuannya itu namun nasi sudah menjadi bubur. Segalanya sudah terlewat. Si Terubuh telah mati diterkam oleh Raja Singa. Kerugian berlaku. Dampak tidak hanya berlaku kepada mereka sahaja tetapi kepada seluruh rakyat di negeri itu juga.
Tradisi jijik politikus Melayu ini tidak hanya berlegar sekitar hikayat-hikayat dan didalam buku sahaja. Tapi secara realiti ia benar-benar hidup didepan mata kita. Oleh kerana membaca hikayat hikayat khazanah nusantara ini sangat penting bagi kita memahami dan menganalisa tradisi akar pemikiran, kelakuan dan sikap para elit politik tanah air.
Okey, sekarang ini siapa kata hikayat tak penting dan tak berguna?
Comments