Oleh: W.N. Khuzairey
DUA hari lepas kabel pengecasan telefon saya gagal berfungsi, entah berapa kali saya cuba mengecas, setiap kali itu jugalah keluar notifikasi “This accessory may not be supported.” Saya kebingungan sambil duduk di sebuah kerusi. Datang seorang teman saya menegur “Kau kena pakai kabel yang asli baru notifikasinya tak keluar.” Wajah saya berubah seperti “eureka!” rupa-rupanya saya perlukan pengecas yang asli. Kemudian, Sewaktu berjalan di dalam mall, saya terdengar seperti satu pertengkaran dimana seorang pelanggan dan penjual baju batik bertengkar soal keaslian batik yang dijual. Pelanggan menyanggah si penjual bahawa baju itu tidak asli, penjual pula mati-matian mempertahankan bahawa setiap busana mereka asli.
Begitulah kisah sehari-hari kita. Dalam mind-set kita memperakui bahawa setiap yang asli itu berkualiti, maka kita semua bersetuju perlu pilih yang asli, jadi perkataan “asli” itu tidaklah asing. Namun disaat kita meraikan perkataan “asli” itu adakah kita benar-benar memilih yang asli? Jangan lupa dalam negara kita sendiri adanya satu komuniti yang bergelar Orang Asli (OA), bagaimana dengan mereka? adakah kita mendahulukan mereka dalam banyak hal? Atau mereka ter-alienasi malah isolasi dari kehidupan kita?
Simbol asli yang memudar
Disaat kita sedang selesa menekan butang penghawa dingin, atau kipas di kediaman kita, masyarakat Orang Asli Temiar di 17 perkampungan di Gua Musang terpaksa membina sekatan bagi menghalang tanah adat mereka diceroboh pihak luar. Situasi ini benar-benar berlaku. Mereka bermandi peluh, membasah keringat membina sekatan itu dengan harapan sekatan itu mampu mengigatkan para peneroka rakus bahawa di dalam hutan itu adanya kawasan tanah adat mereka yang diperturunkan dari generasi ke genarasi buat mereka mencari makanan, anak-anak mereka bermain dan membesar.
Tapi sekatan itu tetap dirobohkan, atas alasan hak mereka tidak diiktiraf dalam undang-undang. Saat itu, agamawan-agamawan yang suci hilang dari radar, tak tahu apa kepihakan mereka dan apa pembelaan mereka sedangkan Howard Zinn sudah lama mengingatkan kita “It would be naive to depend on the Supreme Court to defend the rights of poor people, women, people of color, dissenters of all kinds. Those rights only come alive when citizens organize, protest, demonstrate, strike, boycott, rebel, and violate the law in order to uphold justice.”
Kes ini memperlihatkan kita bahawa peluang sama rata masih tidak wujud bagi komuniti mereka. Disaat dalam negara kita memegang istilah “hak keistimewaan” bagi sesuatu kelompok, maka kelompok yang lain pula terlucut hak keitimewaannya ironi bukan? Hak sama rata ini bukan hanya wujud dalam ranah tanah adat sahaja, bagaimana pula dengan pendidikan?Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hasil Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) lebih 700 pelajar Orang Asli keciciran sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu manakala 51 penuntut Orang Asli keciciran dari universiti awam pada 2018. Malah sepanjang 61 tahun merdeka, kita hanya punyai seorang ahli parlimen yang terdiri daripada komuniti orang asli. Jadi kita perlu menyemak imbang kembali, mengapa keberadaan mereka ini sangat sedikit? Adakah kerana faktor peluang sama rata itu menyebabkan mereka terpinggir? Ini perlukan kajian teliti bukan semberono.
Simbol “asli” pada mereka juga dilihat pudar apabila pembangunan terhadap kawasan mereka umpama tiada perancangan. Siapa yang mampu menolak pembangunan? kerana kedinamikan dunia ini memaksa kepada pembangunan tapi pembangunan yang semacam apa? kita terperangkap dalam medium dimana 1) pembangunan untuk kehidupan masyarakat; 2) pembangunan untuk kepentingan pemodal (sang kapitalis) bagi memenuhi ketamakan. Yang membimbangkan pembangunan dari sang pemodal itu memaksa komuniti orang asli hilang hak pembangunan lestari yang mereka inginkan.
Selama ini merekalah antara kelompok yang menjaga hutan, menanam pokok, mencari ubat-ubatan juga mencari makan. Jika kesemua itu ditanduskan atas alasan pembagunan sang pemodal yang isinya nanti memenuhkan hanya poket mereka, adakah adil buat kelompok ini? sudah tentulah tidak!. Pembangunan tanpa pengawalan inilah yang mereka tuntut untuk disemak, didakwa dan diletakan batas kerana mereka juga tahu selain untuk kehidupan mereka pembagunan jenis ini mencemarkan keseimbangan alam.
Kesan berterusan
Bayangkan jika hari esok kita dihalang atau dibataskan untuk mencari makan? apa yang akan kita rasa? Marah? Tertekan? Sedih? barangkali mejerit sampai menangis. Mahu atau tidak makanan itu adalah keperluan biologi, malah dalam teori hierarki Maslow keperluan itulah yang pertama sekali harus dipenuhi sebelum bergerak ke keperluan-keperluan lain. Bagaimana rasa sengsaranya kita tak dapat makan begitu juga yang dirasakan orang asli. Sekiranya kawasan tanah adat juga pembangunan melampau terus-terusan berlaku, bagaimana mereka mahu mencari makan? Jika sumber makanan pun sukar dicari apa signifikannya peluang sama rata yang kita ucapkan? Disaat kita dapat makan makanan yang diselaputi keju, mereka menekan dan menahan perut akibat kelaparan?
Kedua, seorang dipanggil sebagai wargenegara apabila mereka dilayan seperti wargenegara. Hak sebagai wargenagara itu termasuklah keselamatan, pendidikan dan kesihatan, juga hak bersuara dan sebagainya. Jika tiga hak yang digariskan pada awal tadi sudah kita cerobohi, adakah layak untuk kita katakan bahawa kita menganggap mereka sebahagian dari kita? atau sebenarnya dalam diam kita sudah pun pinggirkan mereka? kesan ini besar, kita mahu bangunkan semua masyarakat tak kira apa pun latar belakang mereka, tapi jika begini sudahnya, kita mahu bangunkan siapa? ini persoalan besar yang berlu dijawab.
Teringat saya novel Faisal Tehrani Bagaimana Anyss Naik ke Langit, gambaran novel itu jelas menunjukan bagaimana anak muda orang asli dirogol oleh si rakus yang akhirnya tiada pembelaan semuanya membisu seribu bahasa. Jelas isu keselamatan di sini antara pokoknya. Juga, terjejasnya ekosistem hutan. Orang Asli mendiami kawasan yang tanahnya tercemar sehingga merosakan tanaman, mencemarkan air, juga mengundang wabak penyakit yang mampu mengorbankan nyawa mereka.
Kita Perlukan...
Jelas kita perlu mengutamakan dialog, berbincang dengan mereka tanpa ada sebarang bias dan ketuanan. Kenal pasti akar masalah. Selain politikus dialog dari agawaman juga akademik penting. Tak perlu berebut-rebut mahu mengislamkan mereka jika hak asas mereka pun tak digariskan dan dituntut. Kita mahu perkenalkan Islam jenis apa pada mereka? kerana Islam tidak pernah ajar penganutnya menindas. Melalui dialog ini kita secara tidak langsung menghormati hak mereka sebagai sebagai wargenegara. Bersedia merombak segala dasar juga undang-undang yang mencerobohi keperluan mereka, bangun dan menolak segala bentuk tekanan dan oppresion buat mereka kerana “betapa pun tajam pedang keadilan ia tidak memenggal kepala orang yang tidak bersalah.”. Kesemua ini boleh terwujud melalui projek edukatif, baik di sekolah, mahupun dari media. Pendidikan itu memanusiakan manusia bukan? jika tidak untuk apa pendidikan diberi?
Kesimpulan
Kita selalu melaungkan dan menjaga hak keistimewaan kita kadangkala kita menggunakan nama Tuhan untuk tujuan itu, kerana kita mahu hidup dengan selesa, jadi apa bezanya dengan mereka? Saya petik kata dari Gus Dur “Tuhan tidak perlu dibela Dia sudah maha segalanya, belalah mereka yang diperlakukan tidak adil.” Jadi, Hey! pilihlah asli.
コメント