top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

GURU RM SATU RIBU

Oleh: L


DARI kaca mata ini, guru dilihat sebagai sebuah kerjaya yang sakral malah menjadi titian mengecap syurga firdausi. Membakar lilin mengasah bebal si dungu majal, guru ialah mentari. Bilik guru hingar – dengan bebelan guru membasuh kotoran peribadi bukan anak sendiri. Bilik darjah seperti pasar – dengan tunjuk ajar guru membuang daki kebodohan bukan anak sendiri. Aku belum guru dan mereka belum pun separuh guru. Tak apalah. Seperti biasa ada guru menjual Tupperware dan kadangkala telur penyu.


Kalau boleh berdarah mendengar ujar yang sama. Telinga aku sudah banjir dengan darah. “Cikgu, dia bilang saya palui”, “Cikgu, dia tumbuk saya”, “Cikgu, air aku tumpah”, “Cikgu, saya mahu tarbirak (terberak)”, “Cikgu dia bilang buduh” dan “Cikgu, (isi aduan anda)”. Dan aku masih dengan skrip yang sama “Jadi, kau mahu aku buat apa?” Ia masih lucu dan buat aku geli hati. Perihal anak kecil yang buat kau sakit hati tapi kadang kala tertawa sendiri. Ini perkara biasa. Seperti melihat anak kecil bermain basikal lalu jatuh terhempap basikal sendiri – ini perkara biasa.


Namun, kau tahu apa yang celaka? Kali ini, lain pula yang aku dengar. Bilik guru biasanya hingar dengan pancingan guru seperti “Kalau kamu siapkan kerja. Cikgu bagi kamu rehat awal.” “Kalau jawapan kamu betul, cikgu belanja makan” dan seperti biasa anak kecil akan teruja. Sehingga kini, taktik itu masih belum lapuk dan segar. Kali ini, aku dengar si kecil memberi pancingan. “Beginilah cikgu. Saya bayar cikgu. Cikgu bagi saya markah”.


Celaka. Aku belum guru tapi ini benar-benar celaka. Aku tenung wajah dia dan dia masih bersahaja. Ia tidak sama seperti kau menonton Hichki lakonan Rani Mukerji. Atau Taree Zamen Par oleh Amir Khan. Atau Teacher’s Diary oleh entah siapa yang pasti pelakon Thailand. Atau Laskar Pelangi. Atau apa lagi filem keguruan yang boleh kau fikirkan. Ini ialah borjuis sial yang membeli ilmu dengan wang! Aku melihat anak si miskin memakai baju sang abang untuk ke sekolah. Aku melihat anak si miskin berbaris menunggu makanan percuma kalau – kalau ada sisa. Aku melihat anak si miskin mengecil mata kerana tidak mampu dibelikan kaca mata. Dan di hadapan, ada anak si celaka mahu membeli guru dengan harta.


Kleptokrat kecil sedang berdiri sebelah kaki sambil merenung kertas peperiksaannya yang ditanda kosong sebesarnya. Memandang ilmu dengan wang, menghina guru dengan harta. Entah ideologi siapa yang dia guna? Aku kerling ke kiri ada seorang perempuan tua sedang memberi ‘nasihat’ kepada guru baru. Katanya – jangan ditegur anak kecil yang namanya X, jangan dimarah anak kecil yang namanya X jangan didenda yang namanya X. Aku fikir ini celaka.


Seperti biasa, seringkali kekeyangan dengan busuk hancing manusia yang lain aku mencari tahu siapa anak kecil yang namanya X (yang pasti bukan anak si celaka tadi). Dibesarkan dengan serba mewah, dia tidak pernah memijak lantai dengan kulit kaki sendiri. Disuap makanan serba mahal, dia tidak pernah menelan liur menunggu makanan RMT. Oh dia ini – baru semalam dia tidak masuk ke kelas dipanggil guru disiplin kerana bergaduh dengan rakan sekelas. Kelmarin, tidak menghantar kerja rumah. Dan hari ini – guru baru diberi ‘nasihat’ kerananya. Aku berhabis fikir – siapa dia?


Masalah disiplinnya bukan kecil – tapi sekolah dihadiahkan RM1000 dari si bapa. Sekolah bukan elit – tapi berjuta tajaan diterima. Harapan tinggal harapan. Di sekolah, ada Menteri Kecil bermaharaja lela. X bukan cemerlang dan disiplinnya tidak langsung bikin hati senang. Tingkahnya sombong dan sifatnya Abu Jahal. Aneh. Setiap acara luar dia yang membawa nama. Setiap persembahan (di hadapan pak menteri), dia lah yang utama. Hairan. Oh – pernah sekali dia ke sekolah tidak berduit. Kelam kabut guru memberi dana buatnya. Entah apa yang ditakutkan.


Mungkin kerana Al-Aziz ertinya Maha Kuat. Memang kuat pengaruh si bapa. Aziz boleh bayar kau satu ribu untuk kau beri A pada anaknya. Aziz boleh beri kau satu ribu untuk kau padam rekod disiplin anaknya. Aziz boleh beri kau satu ribu untuk kau bawa anaknya ke persada antarabangsa walau yang lain lebih hebat darinya. Dan Aziz boleh bayar kau satu ribu untuk kau beri maaf walhal anak kau merana di buatnya. Aziz fikir wang segalanya. Katanya – dia Al-Aziz (Maha Kuat).


Aku kira Aziz yang paling celaka dalam hal ini. Mendidik anak dengan kleptokrasi. Merendah guru dengan materi. Aku belum mahu berciap perihal guru. Tunggu dulu. Pak Menteri sedang melatih anak bermain politik. Kenapa tidak kau hantar anak ke sekolah elit? Katanya – biar si anak belajar bersama rakyat. Biar si anak kenal erti kesamarataan. Kesamarataan apa yang kau maksudkan, Tuan? Biar dipandang mulia? Pak Menteri merendah diri – anak tidak dihantar ke sekolah tinggi.


Ada pula guru yang bersiap siaga menjilat punggung Pak Menteri. Cukup masa, tuan mencemar duli merasmi program tahunan sekolah. Cukup masa, tuan menurun tandatangan memberi sumbangan buat sekolah. Cukup masa, tuan membeli semua guru dengan segalanya yang mewah. Guru? Tunduk melutut merafak sembah. Tuan Aziz – hebat sungguh menabur jasa.


Politik X sangat kuat pengaruh sehingga guru tunduk patuh. Celaka. “Jadi cikgu? Berapa ribu cikgu mahu?” Ah sial. Ada Celaka yang satu lagi.

26 views0 comments

Comentários


bottom of page