top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

GULABI GANG

Oleh Izzah Dejavu.




PESAWAT AK 38 ke India aku naiki dengan perasaan bercampur baur. Antara realiti dan mimpi, aku fikir aku hidup di tengahnya. Memandang kehidupan bukan sahaja untuk yang baik dan cinta, tapi juga yang pahit dan derita. Aku ingin menjadi orang yang menghinggapi antara tingginya langit dan rendahnya bumi. Bukankah Pramoedya pernah menulis bahawa


‘Kehidupan ini seimbang. Barangsiapa hanya memandang pada keceriaannya saja, dia orang gila. Barangsiapa memandang pada penderitaannya saja, dia sakit’.


Tak begitu?



***

Jam menunjukkan tepat jam 8.30 malam ketika angin sejuk bandar Visakhapatnam menyapa tubuh kami halus. Orang masih ramai di sekitar lapangan terbang dan seperti biasa, kami di tanya beberapa pemandu teksi dan memilih menaiki bajaj ke Vishnu Resisdency yang terletak di jalan utama semua kedai-kedai buku baru dan lama. Hujan renyai membasahi bandar ketika dalam perjalanan, namun mata belum kabur untuk melihat kumpulan para perempuan bersari sambil memegang penyapu di lorong-lorong jalan.


Menjejaki India buat kali kedua, sentiasa membuka cara fikir dan memberi makna baru dalam kehidupan. Aku masih ingat tentang 5 juta perempuan India yang membentuk ‘human chain’ sepanjang 650km awal tahun ini sebagai protes kepada keganasan atas perempuan yang cuba untuk memasuki rumah ibadah Sabarimala di Kerala. Tidak dapat tidak, ‘women’s wall’ ini menjadi satu harapan subur untuk satu gerakan tulen masyarakat. Berdiri sama teguh tanpa mengira bangsa, tua, muda, petani, doktor, aktivis, bahkan pelakon untuk mengambil tanggungjawab memperteguh kesamarataan gender.


Melihat para kumpulan perempuan dengan penyapu di tubuh, membersih jalan. Menaiki 17jam perjalanan di ‘general seat’ keretapi dan perbualan ayam itik, serta hal-hal yang terjadi di dalamnya, mengingatkan aku juga pada ‘Gulabi Gang’ yang diketuai oleh Sampat Pal Devi. Sejarahnya bermula apabila suatu hari Sampat Pal melihat seorang lelaki memukul isterinya dengan ganas. Sampat Pal merayu agar lelaki tersebut tidak memukul isterinya. Tapi sayang, permintaan Sampat itu menjadikan beliau juga terheret dan dipukul. Sampat Pal esoknya hadir dan menemui lelaki tersebut dengan kayu bamboo dengan 5orang lagi perempuan lain. Semenjak hari itu, berita tentang hal itu tersebar dan ramai para perempuan ingin menjadi sebahagian dari ‘Gulabi Gang’, berunifom pink bagi melambangkan kekuatan mereka.


‘Gulabi Gang’ bertugas secara kolektif memastikan aktiviti komuniti dan melakukan protes sekiranya terdapat manifestasi ketidakadilan berlaku. Dalam sejarah mereka melakukan ini, pernah satu hari Sampat Pal pergi membuat laporan aduan kepada pihak polis, tetapi polis telah bertindak ganas dan menyerang Sampat. Pernah juga Sampat mengeluarkan pegawai kerajaan dari kereta yang mereka naiki untuk menunjukkan jalan yang perlu dibaiki segera. ‘Gulabi Gang’ mungkin tampak keras tetapi dalam kehidupan dan sistem budaya patriarki yang merebak jauh, hanya dengan kehadiran suara-suara yang melawan mampu menggugat patriarki. Ia barangkali bukan mudah, tapi tidak bermakna tidak boleh pula untuk diubah.


Ada banyak hal yang belum tumpah dalam tulisan. Ini cuma catatan kecil yang sempat aku rakam dalam perjalanan panjang untuk perempuan memegang penyapu dan mereka yang menyarung kayu bambu ditubuh. Terus menjadi api; membakar ketidakadilan.




37 views0 comments

Comments


bottom of page