Oleh Amirah Haziqah.
ANAK MUDA sekarang mungkin tidak pernah menonton filem pertama arahan Aziz M.Osman ini. Dengan filem ini, beliau berjaya merangkul anugerah Pengarah Baru Harapan di Festival Filem Malaysia 1991. Fenomena mengisahkan tentang Isabella (Ramona Rahman) anak kepada Encik Howell yang merupakan pengurus lombong besi di Terengganu. Semasa Isabella lahir, dia kerap menangis dan sukar untuk diberhentikan. Wak Labib (Abu Bakar Omar) kemudian cuba merawat Isabella hinggalah dia tidak lagi menangis dan sihat seperti anak kecil biasa. Encik Howell kemudian pulang ke London.
Selepas beberapa tahun berlalu, Isabella di dapati tidak berpeluang untuk hidup lama dan menurut doktor-doktor di England, dia hanya punya enam bulan sahaja lagi untuk hidup. Isabella bagaimanapun membuat keputusan untuk pulang semula ke Terengganu. Di situlah di berkenalan dengan Suhaimi (Amy Search) dan Azlan (M.Nasir). Azlan merupakan seorang duda anak seorang yang kecewa dengan hidupnya selepas belajar bagus-bagus di luar negara tidak mampu mencari kerja dalam bidang yang dipelajari. Manakala Suhaimi pula dilihat seperti anak liar yang tidak punya masa depan kerana terlibat dalam kumpulan muzik berambut panjang. Dalam filem ini kita melihat realiti bahawa bagaimana orang agama tidak berpuas hati dengan kehadiran Isabella di kampung tersebut dan kepulangan Suhaimi ke tempat kelahirannya mengundang ketidaksenangan orang keliling. Di penghujung filem, Isabella semakin sakit berjaya diselamatkan sekali lagi oleh Wak Labib.
Fenomena bermaksud sesuatu yang dapat dikesan oleh pancaindera dan dapat pula dijelaskan secara ilmiah. Tidak faham kenapa filem ini dinamakan Fenomena walhal bisa sahaja ia dinamakan sebagai Isabella. Mungkin Aziz M.Osman cuba memaparkan fenomena-fenomena yang biasa berlaku dalam realiti di dalam filem ini.
Fenomena pertama, kehadiran Isabella sepertinya dilihat sebagai ancaman kerana dia wanita berkulit putih dan tinggal dengan keluarga Wak Labib. Fenomena ini sepertinya kurang jelas untuk dikembangkan. Walaupun ia menjadi punca kemarahan orang kampung, kita tidak dapat memahami secara terus apa penyebabnya. Adakah kerana Isabella mengembara ke kampung itu seorang diri? Atau adakah kerana Isabella orang asing dan dia terpalit dengan dosa-dosa penjajah? Kita tidak dihidangkan jawapan jelas.
Fenomena kedua, kehidupan Azlan yang tidaklah seindah yang dibayangkan apabila tamat belajar. Perlu diingatkan kembali, ini filem 1990. Masalah Azlan ini sama dengan situasi anak muda zaman ini. Tamat pengajian, Azlan tidak dapat meneruskan apa yang diminatinya. Maka pulang ke kampung berkahwin, isterinya sakit lalu tinggallah dia membesarkan anaknya. Fenomena ini buat kita persoal, pendidikan tinggi-tinggi lantas bawa kita kemana?
Di tambah pula dengan hutang sepanjang pengajian lepas, adakah kitaran ini yang perlu kita bawa sampai mati? Atau perlu sahaja kita bermegah, tamat belajar punya kerja (bagus atau tidak lain cerita) asal punya wang beli itu ini, berkahwin dan kemudian bekeluarga? Tenaga anak muda memang hanya dicurahkan perkara seperti itu sahaja atau sebenarnya kita boleh pecahkan kitaran dan buat sesuatu yang berbeza? Adakah menjadi orang berbeza bisa dihukum apabila kita tidak sama dengan orang lain? Dan ini membawa kepada perbincangan seterusnya iaitu fenomena ketiga.
Fenomena ketiga, budaya rock rambut panjang baju serba koyak Suhaimi tidak disenangi banyak pihak. Terutama orang kampung, malah dituduh sesat. Anak muda yang minat muzik metal suatu ketika banyak dicemuh. Hingga tahap minum darah kambing, lirik memuja setan, seks dan dadah adalah benda normal. Fenomena Black Metal ini mula menjadi isu nasional apabila mesyuarat kabinet pada 22 Julai 2001 telah mengarahkan Ketua Polis Negara mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini. Kemarahan orang kampung terhadap fenomena ketiga, kita dapat faham. Gaya kumpulan rock atau metal bersifat inginkan kebebasan, lebih menggemari hiburan hingga ke tahap melanggar adab dan budaya ketimuran.
Namun, ada satu pertanyaan di sini, kalau sub budaya barat ini membarah dalam kalangan anak muda, apakah industri muzik tempatan cuba menyediakan alternatif lain untuk menggantikannya dengan yang lebih ketimuran? Adakah industri muzik kita ketandusan dalam menarik minat anak muda untuk meminati muzik lokal? Atau adakah pihak-pihak yang marahkan anak muda yang meminati metal ini terpengaruh dengan gerakan PMRC – Parents Music Resource Centre di dunia barat yang menyekat industri muzik daripada menyebarkan muzik yang kandungannya ‘explicit’? Sepertinya masyarakat zaman 90-an tidak menyedari ini cumalah sebahagian daripada gelombang muzik yang berubah dari zaman ke zaman. Mereka seolah-olah buta dalam menilai estetika muzik itu sendiri. Sudahlah tidak ada kreativiti dalam mencari alternatif lain untuk menggantikan muzik rock atau metal yang lebih ketimuran ditambah lagi buta estetika muzik dan fesyen kumpulan itu. Tragis.
Fenomena keempat, orang religus kampung tidak mahu kampung mereka dicemari fenomena pertama dan ketiga. Perilaku orang religus yang kerap menunding salah itu ini daripada cubaan mendekati dan memahami telah menular hingga ke hari ini. Kita kurang jelas dengan sikap kerap salah-menyalahkan ini. Adakah satu kepuasan di pihaknya apabila usaha amar makruf nahi mungkar ini terlaksana? Atau mencari salah ini merupakan satu kerja dakwah? Mengapa orang beragama selalu merasakan mereka perlu melakukan sesuatu dalam menyelamatkan individu daripada kesesatan?
Apakah apabila sesat, kita tidak ada jalan pulang? Banyak lagi fenomena lain yang orang beragama harus buat. Bantu orang kampung yang susah, banteras rasuah yang berlaku dalam penguasa, hidup harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum. Bukan hanya terus-terusan mencari salah peribadi seperti aurat-tudung perempuan, mengira dosa-pahala, ibadah-amalan cukup atau tidak sebagai bekalan semata-mata, poligami malah segi tiga bermuda wanita yang tidak ada kena mengena dengan mereka pun mahu dipersoal dan dibetulkan.
Secara tidak langsung, filem ini memaparkan kesalahan banyak dilakukan anak muda. Isabella, Azlan dan Suhaimi menjadi mangsa kemarahan. Sudah tiba masanya kita berhenti dalam menyalahkan anak muda yang berbeza dan mengisolasikan mereka. Serta sudah-sudahlah menghukum, kita maklum cara ini paling baghal dalam mendidik. Orang tua, orang agama atau orang mainstream yang merasakan anak muda yang berbeza ini pelik harus buka pancaindera mereka sendiri dan memahami fenomena ini dengan fikiran dan hati yang terbuka. Kalau punya keinginan untuk memahami, jalan yang diambil pasti ada empati. Tetapi kalau hati punya kebencian, kemarahan, dan sok tahu dalam banyak hal kita tahu apa pendiriannya – merasakan diri mereka lebih bagus daripada pihak yang disalahakan.
Comments