top of page
Search
Admin Baik Hati

FEMINISME ISLAM BAGI YANG KURANG CELIK

Terjemahan: Andi Suraidah Bandy

(Terjemahan bebas daripada artikel asal bertajuk Islamic Feminisim For Dummies oleh Shanon Shah)


BUKANKAH ISTILAH “FEMINISME ISLAM” ADALAH SIA-SIA? BUKANKAH ISLAM TELAH MEMBERIKAN PEREMPUAN HAK-HAK YANG SEBELUMNYA TIDAK PERNAH WUJUD?


Al-Quran bukan sahaja memberikan hak kepada perempuan, tetapi juga mendesak peralihan paradigma dalam masyarakat manusia pada waktu turunnya wahyu. Namun selama berabad lama, ahli-ahli akademik, ulama dan pakar agama sering menafsirkan - mungkin dengan niat yang tulus - teks utama sedemikian rupa sehingga perempuan diperlakukan sebagai objek yang lebih rendah martabatnya.


Akhirnya penafsiran-penafsiran ini masuk ke dasar-dasar dan institusi-institusi negara-negara Muslim majoriti di era pasca kolonial. Persimpangan di antara realiti dan cita-cita inilah yang ingin dirungkaikan oleh golongan feminis Islam, dengan kembali kepada sumber-sumber suci Islam.


JUJUR SAJA ​​- FEMINISME ISLAM ADALAH PRODUK IMPORT DARI BARAT, BERAKAR UMBI LIBERALISME, DAN BERNIAT UNTUK MELEMAHKAN ISLAM BUKAN?


Ini adalah dakwaan yang sering digunakan oleh golongan Islamis status-quo. Sama ada ia digelar sebagai "feminisme islam" atau bukan, usaha menuntut semula hak dan martabat perempuan Muslim secara semulajadi, telah muncul dengan jelas ditengah-tengah masyarakat Muslim di seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap isu-isu yang sangat spesifik.


Di Selatan Asia, pergerakan ini menumpukan ketidakadilan yang timbul daripada salah guna kontrak perkahwinan Islam, atau nikahnama. Di Afrika Selatan, ia dilahirkan atas dasar kesaksamaan dan keadilan daripada gerakan anti-apertheid. Di Nigeria, pergelutan seputar bagaimana undang-undang jenayah Islam menyasarkan perempuan. Di Iran, pergerakan tersebut bergabung selepas perempuan Islam menyedari bahawa kerajaan rejim Islam yang baharu lebih menindas perempuan berbanding kerajaan monarki sekular yang telah ditumbangkan.


Di kalangan perempuan muslim Malaysia, perjuangan menentang peruntukan-peruntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam dan dasar-dasar awam lain yang seolah-olah bertentangan dengan cita-cita al-Quran dalam menegakkan kesaksamaan, keadilan dan martabat.


TETAPI MENGAPA FEMINIS ISLAM MENENTANG PERKARA-PERKARA YANG TELAH DIMANDATKAN DALAM ISLAM, SEPERTI TUDUNG? DAN TIDAKKAH ANDA FIKIR MEMINTA PEREMPUAN UNTUK MEMIMPIN SOLAT JUMAAT TERANG-TERANGAN ADALAH SALAH?


Feminis Islam tidak menentang pemakaian tudung - mereka percaya ia adalah pilihan peribadi yang tidak ditentukan oleh pihak berkuasa luar untuk dikawal selia. Kerajaan tidak boleh memaksa perempuan memakai tudung atau sebaliknya melarang.


Bagi isu imam perempuan, sudah pasti ianya kontroversi. Umat ​​Islam pada umumnya tidak perlu menerima imam-imam perempuan bagi solat jemaah campuran. Tetapi mereka yang tidak menerima imam perempuan menempatkan logik mereka pada sumber-sumber suci Islam. Feminis Islam percaya bahawa kepelbagaian pendapat dalam Islam adalah benar dan bahkan indah.


PARA FEMINIS ISLAM BOLEH TERUS BERTIKAI MENGENAI APA SAHAJA, TETAPI BUKANKAH LEBIH BAIK JIKA KEBIMBANGAN MEREKA DISERAHKAN KEPADA AHLI-AHLI AGAMA ISLAM? KENAPA FEMINIS ISLAM BERTEGAS MEMBACA KONSEP KESAKSAMAAN ALA BARAT KE DALAM AL-QURAN? ADAKAH MEREKA CUBA MENGUBAH AL-QURAN?


Tuduhan ini mempermudah dah mencemuh apa yang cuba dicapai oleh para feminis Islam. Tujuan feminisme Islam bukanlah untuk merebut tugas ulama atau menyesatkan al-Quran, tetapi untuk meminta pakar-pakar keagamaan Islam bertanggungjawab - apabila mereka membuat kenyataan atau mentafsirkan al-Quran, adakah mereka terpengaruh oleh prasangka manusia?


Diakui semua individu termasuk feminis Islam tidak sempurna. Tetapi apabila tafsiran dan penerapan pemikiran Islam adalah telus, bertanggungjawab dan menggabungkan keberagaman pakar lelaki dan perempuan, sudah pasti ia akan dapat menegakkan idea-idea Islam.


APABILA FEMINIS ISLAM MENGKRITIK INSTITUSI KELUARGA ISLAM - CONTOHNYA POLIGAMI - PEREMPUAN AKAN TAWAR HATI UNTUK BERKAHWIN. BUKANKAH ITU MENGGALAKKAN KEMEROSOTAN MORAL?


Hujah "kemerosotan moral" ini digunakan bukan sahaja oleh orang Islam malah feminis lain juga, ibarat kesemua feminis didorong oleh kebencian yang mendalam dan tidak logik terhadap lelaki.


Statistik mendedahkan kisah yang berbeza. Angka rasmi di Amerika Syarikat pada tahun 2003 menunjukkan, 85% daripada mangsa keganasan rumah tangga adalah perempuan. Ini hanya salah satu daripada banyak penunjuk bagaimana perempuan dilayan oleh golongan “Islam” dan “sekular” secara tidak adil di rumah dan di masyarakat.


Dalam konteks masyarakat Islam, apabila teks al-Quran disalah baca dan disalahtafsirkan demi membenarkan kekerasan sebegitu, feminis Islam tidak bersuara untuk memburu "kemerosotan moral" tetapi untuk mempersoalkan bagaimana kebijaksanaan universal al-Quran tidak boleh terpakai untuk mempertahankan ketidakadilan sedemikian rupa.


DARI SUDUT PANDANG BARAT DAN SEKULAR, "FEMINISME ISLAM" ADALAH TIDAK JUJUR, KERANA ISLAM SENDIRI MEMBIARKAN TERORISME, KEGANASAN DAN MISOGINI. MAKA, BUKANKAH FEMINIS ISLAM SEKEDAR MENGEKALKAN AJARAN AGAMA YANG MUNDUR YANG MELEMAHKAN SEKULARISME? LAGIPUN, BUKANKAH SEKULARISME MERUPAKAN PRASYARAT UNTUK SEBUAH NEGARA DEMOKRATIK?


Para feminis Islam berada di posisi yang sukar - pada masyarakat Islam mereka sering dilihat sebagai agen Barat, dan di negara sekular "Barat" mereka sering dianggap sebagai pembela Islam. Penolakan "sekular barat" terhadap feminisme Islam berasal dari cemuhan berakar bahawa Islam adalah agama yang ganas dan misogini. Hujah ini mengabaikan kepelbagaian isu intra-agama, dan juga perbezaan antara agama dan tafsirannya, serta antara realiti dan cita-cita.


Melihat kepada trajektori perjuangan mereka, feminis Islam berkongsi banyak persamaan dengan feminis penganut fahaman Kristian, Yahudi, Hindu dan Buddha. Malah, pengertian dikotomi yang serius antara feminisme sekular dan Islam lebih kepada bayangan berbanding hakiki. Pada akhirnya feminisme yang beragam secara idealogi memberikan pandangan berharga tentang cara terbaik untuk membangun masyarakat yang adil dan egalitarian.

75 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page