top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

DOSAKU SIAPA TANGGUNG?

Oleh: Ruby Mas


ACAPKALI kita mendengar ceramah, membaca nukilan di ‘facebook’ malah rantaian kicauan di ‘twitter’ bahawa bapa dan suami punyai bebanan berat di bahu mereka kerana menanggung dosa anak perempuan atau isteri seandainya tidak menutup aurat atau melakukan dosa di luar rumah. Adakah Islam begitu tidak adil kepada kaum lelaki? Dan apakah benar begitu senang dan mudah menjadi kaum perempuan dalam agama ini? Dosanya ditanggung orang lain.


Ianya memberi isyarat yang salah kepada masyarakat terutamanya lelaki bahawa mereka berhak dan layak untuk mengawal setiap perbuatan dan keputusan ahli keluarga perempuan mereka dengan alasan mereka tidak mahu menanggung dosa. Tidak cukup dengan itu, polis moral juga berada di mana-mana untuk mengingatkan bahawa perempuan ini adalah bebanan para bapa dan suami. Menyesakkan.


Tindakan mereka secara tidak langsung menolak perempuan sebagai seorang individu yang punyai akal fikiran sempurna seperti mereka. Boleh menimbang tara keadaan. Bebas membuat pilihan. Malah sedar sepenuhnya dengan pilihan sendiri samaada membawa kebaikan atau keburukan.


Terdapat dua ayat Al-Quran jelas menolak pendapat cetek ini:-


Pertama, Surah Fatir ayat 18 yang bermaksud,


“Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain”.


Kedua, Surah Al-An’am ayat 164 yang bermaksud,


“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”


Kesimpulannya, seseorang individu tidak kira lelaki atau perempuan menanggung dosanya sendiri. Kita sepatutnya bukan hanya memberi tumpuan kepada dosa dan kesalahan sahaja. Sekiranya kita terlalu memikirkan tentang dua perkara tersebut, masyarakat yang lahir daripadanya ialah masyarakat yang gemar menghukum serta berfikiran dangkal. Dunia ini bukan hitam dan putih sahaja. Dunia ini bukan dosa dan pahala sahaja. Dunia ini perlukan manusia yang tinggi empati dan penuh kasih sayang dan bukan yang berperanan Tuhan.

45 views0 comments

Comments


bottom of page