Makanan yang enak sudah siap terhidang di atas meja. Nasi putih panas, gulai lemak ikan, sayur-sayuran dan jus buah. Lalu sebelum dimakan langsung diangkat tangan paras bahu dan diungkapkan terus doa yang berbunyi,” Allahuma bariklana fi ma razaqtana waqina ‘azabannar”.
Soalannya kenapa perlu dibaca doa ini sebelum makan? Apa hikmah diperintah Tuhan untuk membaca doa ini?
Masakan ini sia-sia dan kecil sedangkan ianya perintah Tuhan. Bagaimana mahu kita menghubungkan suatu bacaan kepada Tuhan yang berbentuk vertikal (manusia-Tuhan) dengan realiti masyarakat dengan rasa kepedulian sosial yang bertanggungjawab (manusia-manusia)?
[Teologi Pembebasan Doa Makan]
Doa sebelum makan ini bukan hanya doa yang kecil. Ia mempunyai impak spiritual dan sosial yang sangat besar. Hanya tinggal perspektif dan tafsiran yang mana perlu dilihat. Jika dilihat daripada lensa teologi pembebasan maka pasti menyajikan perkara yang sebelum ini kurang diterokai.
Jika diteliti maksud doa makan ini maka bersamanya adalah suatu tanggungjawab sosial dan kepedulian sosial yang signifikan. Agama mengajarkan bahawa sebelum kamu mengenyangkan perutmu harus diinsafi dahulu nasib mereka yang bersusah payah membanting keringat untuk kamu menikmati hasilnya.
Secara literal doa makan membawa maksud “Ya Allah, Engkau berkatilah rezeki kami dan Engkau jauhkanlah kami daripada azab api nerakaMu”. Ini sahaja sudah biasa. Kanak-kanak sekitar umur 5 tahun sahaja sudah hafal doa ini. Namun jika dikupas secara maknawi maka kita bakal terkejut dengan keajaiban doa ini.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘kami’ didalam doa ini?
Bukankah hanya kita berseorangan sahaja yang menikmati makanan kita? Apa perlu dibaca ‘kami’ disitu? Maksud ‘kami’ disitu adalah merupakan satu doa yang berpanjangan kita kepada Tuhan untuk memberkati dan mengurniakan kesejahteraan buat mereka-mereka yang terlibat didalam mengerjakan makanan kita itu.
Siapakah mereka yang disebut ‘kami’ itu?
Kami itu termasuklah para petani yang membanting tulang mengerjakan sawah padi dipanas teriknya matahari, para nelayan yang turun ke laut memukal ikan yang mempertaruh jiwanya dilambung dek badai ombak, para peruncit yang meniagakan barangan kecil-kecilan, para pemandu lori yang membawa stok makanan, para penjaga stor yang berjaga siang malam demi memastikan makanan itu sampai di pasar raya serta dibeli dan selamat dimakan oleh kita. Iya! Mereka ini semualah ‘kami’ didalam doa yang dibaca.
Nah, oleh itu dalam mengamalkan doa ini ia mengajarkan kita supaya mempunyai suatu kepedulian sosial. Harus ada rasa peduli dan tanggungjawab terhadap ‘kami’ didalam doa tadi. Niatnya bukan semata-mata kerana ‘kami’ itu menyediakan makanan buat kita tetapi kerana ‘kami’ juga adalah manusia yang berhak mendapat kehormatan insan.
[Nelayan dan kemunafikan kita]
Baru-baru ini diadakan protes terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjalankan projek tambak dikawasan kegiatan perikanan para nelayan. Soalannya berapa ramaikah yang membaca doa sebelum makan ini mengambil peduli tentang isu dan nasib para nelayan ini? Apakah ikan yang kita nikmati diatas pinggan kita juga bersamanya ada rasa keterpanggilan untuk bersolidariti bersama memperjuangkan nasib para nelayan yang ditindas oleh para kapitalis dan pemerintah zalim.
Apa tidak malukah kita dengan kejijikan perangai kita? Apa tidak malukah kita dengan Tuhan yang kita menadah tangan doa supaya ‘kami’ itu diberkati rezekinya namun realitinya kita menindas dan membiarkan ‘kami’ sengsara? Masakan didoanya lain namun dikerjakan lain daripada yang didoakan. Apa kita fikir Tuhan tidak jelek dengan kemunafikan kita?
Oleh itu bahagian kedua doa makan ini sangat penuh hikmah dan pengajaran buat kita. Bahagian kedua berbunyi “....dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka. Barangkali kita risau kerana sifat kemunafikan kita ini kita bakal dimasukkan Tuhan ke dalam api neraka.
Kita risau penindasan dan ketidakpedulian kita sesama manusia (habluminannas) ini bakal mengundang kemarahan Tuhan kepada kita. Kita takut jika kita menikmati kesenangan dan kemewahan diatas perahan keringat kaum miskin dan dizalimi ini. Kerna Islam yang Kaffah (menyeluruh) itu menitikberatkan keseimbangan antara Saleh Ritual dan Saleh Sosial.
Oleh itu, bacalah doa makan ini dengan penuh keinsafan didalam hati. Jelmakan doa yang batin ini kedalam praktik sosial zahir. Doa perlu dibaca dan kepedulian sosial harus dikerjakan.
Comments