top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

DILAN 1990 (2018) & 1991 (2019) - REALITI PERCINTAAN ANAK SEKOLAH

Oleh: Amirah Haziqah


Sejujurnya semasa menonton Dilan 1990, saya dipaksa teman untuk terus layan filem ini. Hal ini kerana saya kurang yakin bahawa filem ini mempunyai filsuf yang mampu mencabar filem-filem lain dengan tema percintaan anak sekolah.   


Di dalam bahagian pertama filem Dilan 1990, kesabaran diuji apabila kata-kata Dilan yang ‘sok tahu’ dengan apa yang perlu dilakukannya dalam mendapatkan cinta pandang pertama membuatkan saya gelisah. Keadaan Milea yang terus-terusan tidak mendapatkan penjelasan dalam banyak hal tentang situasi Dilan menimbulkan kebingungan, adakah di dunia nyata setiap pasangan (di dalam filem atau drama) akan berkelakukan begini - hingga menjadikan situasi berkenaan sebagai klimaks. Punca dan babak pergaduhan pun dilihat kurang meyakinkan. Belum lagi watak sampingan yang tidak menyumbang dengan kuat kepada penceritaan.


Berlainan pula dengan Dilan 1991, kita ditayangkan dengan babak-babak yang perlahan. Sepertinya ada cubaan untuk kita hanyut dengan kemanisan percintaan Dilan dan Milea. Ugutan Milea yang terus-terusan mahu putus kalau Dilan masih terlibat dengan geng motor dilihat kebudakan ditambah dengan sikapnya kerap tangis di awal perhubungan buat kita ada pemikiran bahawa cewek ini cengeng. Kalau anda seorang yang cerewet dalam menonton filem, Dilan 1990 dan Dilan 1991 akan buat anda sesak nafas menahan geram dan sabar.


Namun, kesabaran menonton karya ini ada hikmahnya. Dengan melonggarkan pendirian, saya mengaku, ada pujian yang boleh diberikan kepada Pidi Baiq. Ada sesuatu yang memotivasikan diri untuk langsung menonton. Jawapannya, mudah. Filem ini mencucuk kita anak muda untuk kembali kepada kenangan ketika di zaman persekolahan. Terutama di fasa-fasa yang mahu mengenali apa itu cinta pandang pertama.


Kita anak muda sering dimomokkan dengan nasihat orang tua, percintaan zaman sekolah adalah sia-sia dan sudah tentu tidak menjamin masa depan. Di tambah lagi apabila yang bercinta itu anak sekolah yang belajar di sekolah agama, sepertinya merekalah yang terbangsat sekali. Bercinta di zaman sekolah pula sering menjadi bahan ketawa orang dewasa. Ya, benar lucu melihat isi kandungan surat-menyurat, atau seronok mentertawakan anak sekolah dengan gelagat mereka berkasih sayang.


Antara sedar ataupun tidak, yang mereka ketawakan itulah diri mereka suatu ketika dahulu. Dan kalau pun mereka tidak lakukannya di masa kecil, salahkah kalau itu cara mereka menyalurkan perasaan murni itu kepada perbuatan yang dianggap lecehan? Adakah aksi bercinta ini punya format dan tidak boleh diubah-ubah? Adakah bercinta hanya sekadar mahu berpegang tangan, berpeluk lalu berhubungan seksual?


Pandangan saya cinta ini adalah eksplorasi diri dengan pasangan. Malah cinta bisa membawa pasangan tersebut ke peringkat yang lebih agung - menolak diri untuk terus maju dalam apapun aspek kehidupan, bukan perkahwinan semata-mata. Melalui Dilan dalam dua bahagian filem ini menjelaskan kepada kita, rata-rata percintaan di alam persekolahan merupakan masa yang singkat untuk eksplorasi berlaku. Kita boleh membuat hipotesis bahawa disebabkan tempoh yang singkat inilah, ditambah dengan ketidaksabaran dan utopian mindset bahawa cinta adalah indah setiap masa, menyebabkan konflik akan sentiasa berlaku.


Kedua-dua tahun 1990 hingga 1991 adalah singkat untuk Dilan dan Milea bertenang dalam memahami gelora bercinta. Melalui filem Dilan ini kita boleh memahami corak anak sekolah bercinta. Idealis dan percaya yang indah-indah belaka, mudah buat kita teringat kenapa perempuan mudah cenggeng dan lelaki berlagak heroik lantas keberantakan hubungan mudah berlaku. Belum lagi perihal komunikasi yang jarang-jarang berlaku menjadikan perjalanan bercinta dibebani bagasi overthink.


Pidi Baiq menggarap realiti yang asli biarpun pada penghakiman awal tanpa penilaian bisa buat kita meluat dengan babak mencuri hati Milea oleh Dilan. Skripnya jujur dengan keadaan anak sekolah bercinta, dan wajar untuk kita (anak muda) merasa geram dan tidak sabar menonton Dilan. Malah lebih nyata pabila pasangan ini tidak menempuhi alam mahasiswa bersama-sama. Inilah yang sering berlaku dalam hubungan anak sekolah. Yang diperjuangkan tidak semestinya memiliki.


Menonton Dilan untuk dua tahun ini tidak lengkap dan kita tidak boleh membuat konklusi terus. Ini kerana kita baru dipersembahkan dengan naratif Milea tentang Dilan. Belum lagi naratif Dilan terhadap Milea. Mungkin pabila ini selesai kita boleh dapat gambaran menyeluruh tentang percintaan mereka berdua.

89 views0 comments

Comments


bottom of page