top of page
Search
Writer's pictureAdmin Baik Hati

DI SEBALIK TIRAI

Oleh Jebat Luna.



BILIK ini sunyi. Sepertinya semua penghuninya keluar berperang dan tiada siapa yang masih berkalung nyawa. Semuanya terkorban ditusuk busur panah di dada lalu terbenam terus ke jantung. Ada yang dipenggal lalu bercerai kepala dari badan. Ada pula yang berada di saf akhir – mencuba untuk lari dari medan namun terkalahkan oleh kuda perang. Malang.


Sepi – ia sebuah bas buruk yang sudah tidak lagi dilambai penumpang.


Di tepi dinding sebelah kanan, aku melihat Genghis sedang mengatur tentera – meluas Monggol. Wajahnya bengis dan hatinya keras. Di tangan ada rencana. Di kepala ada pawana yang dari tadi menghempas tenang fikiran. Ada sesuatu yang mahu dicapai – meluas empayar. Aku tidak menolak naratif keji yang dicicip mulut manusia Tuhan. Namun aku, menentu sendiri.


Ini bilik tempat atuk menyimpan ‘barang suci’. Atuk kata bukan khurafat. Atau syirik. Aku juga berfikir begitu. Bilik ini, lantainya kayu. Ada lubang – lubang kecil membenar cahaya menyuluh gelita. Sesekali aku terasa seperti seorang Sudirman sedang berdiri di bawah lampu tumpu. Ada lagu Basikal Tua sedang dialun dan ada lelaki berambut sisir tepi, berkemeja putih sedang mengangguk – angguk. Basikal Tua, jiwanya muda.


Aku menoleh ke kiri. Alexander (Bukan Zulkarnain) sedang menakluk Parsi. Matanya terus ke hadapan meninggalkan yang lampau. Sesekali dia mengerling ke aku – aku – tak kata apa. Di kanan Alexander, ada Kartini sedang mengangkat yang namanya wanita – menolak bias dan menginjak kolot manusia. Tingkahnya lincah mencermin jiwa yang berlari mendaki saksama. Aku pernah tanya atuk, kenapa dia memilih menyimpan Kartini. Dia bilang, sebagai seorang lelaki, aku melihat nenek seperti Kartini. Aku tidak mengerti.


Aku menompang dagu melihat ke hadapan. Bilik ini tidak banyak ruang kosong. Setiap kali aku ke sini, aku berterima kasih kepada abah. Aku kekal anak kecil yang masih belasan tahun.

Di tepi pintu ada seorang lelaki tua sedang duduk memegang pensil dan merenung tasik. Songkoknya sudah bercapuk dan cermin mata masih yang dulu. Dia mengusap janggut lalu tunduk berfikir. Matanya tembus kertas dan mataku tak berkelip. Seolah – seolah sedang menduduki peperiksaan, dia menulis semula. Lagak pengawas peperiksaan, aku merapat dan membaca tulisan. Katanya – Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar kerja, kera juga bekerja.


Aku keluar dari bilik. Kurang pasti kalau aku kera. Atau babi.

35 views0 comments

Comments


bottom of page