top of page
Search
Writer's picturerabiatuladawiyah233

DI HUJUNG JALAN, ADA PEREMPUAN BERBAU LAVENDER oleh Farahin W.

KISAH ini belum aku ceritakan kepada sesiapa. Tentang lelaki yang menghabiskan sisa hidupnya di dalam longkang. Dia hanya keluar kalau ada yang memberinya makan. Atau minuman. Atau... duit. Itu sahaja yang buat dia keluar. Jarang-jarang dia keluar. Dan aku tak mahu bising-bising memanggilnya keluar. Kecuali beberapa orang anak muda yang menjerit-jerit memanggilnya keluar. Dia pura-pura tuli dan tetap berada di dalam longkang.


Jadi, suatu hari ketika aku berjalan ke pasar, ekor mataku benar-benar tertancap pada sepasang mata yang sedang memerhati aku dari dalam longkang. Dia sedang terhendap-hendap dan matanya meliar. Aku datang kepadanya dan aku berikan sebungkus roti yang aku bawa dari rumah. Dia melompat keluar dari longkang dan duduk mencangkung. Sambil makan roti dia berkata kepadaku


“apa yang kau fikir tentang sastera?”


Apa yang aku fikir tentang sastera? Mana aku tahu! Aku tidak pernah berfikir tentang sastera. Atau berfikir mahu berfikir tentangnya. Kalau kali ini aku mesti berfikir, tiada apa yang menarik tentang sastera. Ia hanya dongeng klasik yang meromantiskan suasana. Atau sekadar metafora-metafora bisu yang tak menjanjikan apa-apa. Ah, mengapa sastera penuh dengan perlambangan yang tak signifikan?


Dia tidak menjawab apa-apa. Mulutnya penuh dengan roti dan pipinya kembung macam bola. Dia tak nampak macam orang miskin. Atau gila. Pakaiannya kemas dan kasutnya berkilat. Rambutnya tersisir rapi macam ahli politik. Di telinganya ada sebatang pen biru. Aku lihat di kocek bajunya, ada sebuah buku tulis nipis. Sambil menghabiskan roti dia kata padaku bahawa dia punya satu kisah yang mahu dia ceritakan. Aku angguk sahaja bersetuju. Kalau ibu tahu, aku lambat pulang ke rumah kerana mendengar cerita lelaki longkang, habislah berkajang-kajang leterannya.


Dia ceritakan padaku, kalau di hujung jalan ini ada seorang perempuan berbau lavender. Cantik dan berambut panjang sampai ke pinggang. Dan kalau dia melibaskan rambutnya, bau lavender buat kau melayang-layang – tak tidur malam.


“Lalu, ketika kau berpimpinan tangan dengannya, kau dapat rasakan kulitnya mulus macam kulit Puspawangi. Kau tahu apa yang kau katakan padanya? Kau katakan bahawa kau tak mahu berpisah dengannya. Tapi, yang namanya pertemuan, pasti ada perpisahan”


“Kenapa begitu?”


“Kerana dia sebenarnya bukan kau yang punya” jawabnya ringkas.


Aku ternganga-nganga. Jadi, apa yang boleh aku lakukan dengan cerita ini? Mencari perempuan di hujung jalan? Dan mengajaknya makan malam bersama lalu melakukan hal-hal orang bercinta? Aku merenungnya lama sebelum dia berkata lagi. Katanya, sebuah pen ini takkan tajam kalau kau tidak menulis. Buku ini takkan jadi berguna kalau tidak kau conteng. Ia hanya sebuah objek yang kaufikir berguna, tapi tak pernah kau gunakan.


“Kau seorang penulis?”


Siapa lagi dia kalau bukan seorang penulis? Orang-orang yang berpuitis dan membincangkan hal-hal romantis sebegini pasti seorang penulis. Menggambarkan perempuan dengan hal-hal yang manis-manis serta memberikan perlambangan dalam setiap satu hal. Nah, itu kan kerja penulis? Dia membatu sebelum aku tanyakan lagi.


“Jadi, kenapa kau terus di dalam longkang?”


“Untuk aku melihat hal-hal sekeliling.”


“Seperti perempuan di hujung jalan?”


“Seperti perempuan di hujung jalan”


Aku lihat ke hadapan. Ada seorang lelaki tua dengan rambut kusut masai sedang duduk memegang tasbih. Di hadapannya ada tin kosong. Berkarat. Dia tidak bercakap dan tidak memerhati. Cuma merenung lantai dan menyusun pek-pek kerepek.


“Kau tak ada cerita tentang lelaki tua?”


Aku toleh ke sisi. Lelaki itu sudah tiada. Dia sedang duduk di dalam longkang dan menulis di atas buku nipisnya. Menulis tentang apa, aku tidak tahu. Aku mencangkung menghadap longkang. Kataku, kau menulis untuk apa?


“Hobi”


Aku bangun semula dan berjalan ke pasar. Sepanjang perjalanan aku, ada semacam perasaan kagum bercampur jelik. Orang-orang seperti dia pasti punya pengamatan yang baik. Bisa menulis dan menggambarkan dengan kata-kata. Orang-orang macam ini juga pasti bisa menyampaikan pesan masyarakat dengan mudah. Aku fikir, begitu. Tapi, apa yang jelik, lelaki itu hanya menulis tentang perempuan berbau lavender sahajakah?


Sekeliling jalan ada pekedai runcit yang sudah tua-tua. Ada yang berbangsa Melayu macam aku. Ada yang berbangsa Cina, ada pula yang aku sendiri tak tahu berbangsa apa. Kalau nasib tak baik, ada orang gila akan mengejar kau dengan payung. Meminta dua ringgit kerana mahu membeli air coca cola. Aku pernah beri – sekali. Itu pun setelah puas dikejar.


Kalau di hadapan sedikit, kau akan nampak seorang perempuan sedang mengandung menjual buah-buahan potong. Disisinya, ada lelaki yang duduk diam di atas kerusi. Tidak bergerak dan tidak menguit sedikit pun. Buah-buahannya segar-segar. Kalau kau punya kesempatan, dia akan ceritakan tentang suaminya yang dulu seorang penjual pakaian. Perniagaan maju sehingga dua bulan lepas kedainya terbakar hangus dan si suami diserang strok. Wang belanja sudah habis digunakan. Mahu tak mahu, dia mesti menjana pendapatan. Kalau kau tanyakan semula kalau-kalau tiada bantuan untuknya. Dia senyum-senyum sambil mengusap perut. Aku tidak faham. Tapi, tak apalah.


Selalunya, pagi-pagi begini juga ada anak-anak kecil berkaki ayam dengan kulit berkeruping. Di tangannya ada sebakul kerepek dan kadang-kadang kekacang. Anak-anak ini pintar berkata-kata dan cekap mengira. Belum pun kau mengeluarkan telefon bimbit untuk menekan kalkulator, dia sudah memulangkan baki duit dengan tepat. Kau pula yang akan selalu berasa bodoh.


Sepertinya, tidak ada perempuan berbau lavender?


Selesai membeli setiap apa yang dituliskan ibu, aku berjalan pulang. Suasana tiba-tiba hingar dengan teriakan dan salakan anak muda. Takut juga kalau ada rusuhan. Selalunya, ada sahaja orang-orang pembuat kacau melakukan demonstrasi atau bagi aku – rusuhan. Mereka melolong – lolong macam kena sampuk jin. Cepat-cepat aku merapat. Ada sekumpulan anak muda sedang membaca puisi sambil sebilangannya memegang plakad.


Aku mendengar dari jauh. Selesai lelaki berambut panjang memakai T Shirt dengan lambang iluminati (aku tak tahu. Kata orang itu lambang iluminati) berpuisi, mereka beramai-ramai melaungkan “SASTERAWAN LONGKANG!”. Aku terkedu dan terdiam sebelum sebuah cahaya ungu tiba-tiba masuk ke dadaku. Macam disampuk jin, aku turut sama mengangkat plakad sambil melaungkan


“SASTERAWAN LONGKANG!”

19 views0 comments

Recent Posts

See All

Комментарии


bottom of page