Oleh Entapuloh.
MASIH tiada apa-apa yang berubah. Suasana hutan masih sama. Para bebiri (rakyat) masih sama. Bangun seawal subuh, menggulung rokok daun dan turun ke semak atau belukar bagi mencari secebis rezeki yang dititip Tuhan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Para musang (pemimpin) masih sibuk mengumpul kekayaan hutan yang penuh dengan pelbagai flora dan fauna. Di cangkat sangat kaya dengan sekiat, sentang kerukup siam dan sepetir. Di lereng guar sangat mahsyur dengan janggus, ketereh dan jambu golok. Itu belum lagi kalau dituruni ke tebing-tebing anak sungai, situlah tempat paku pakis dan segala ulam-ulaman ada. Fuhhh, gila!
Di atas semua, hutan ini dipimpin oleh seekor babi. Dikhabarkan usia babi ini sudah 90 tahun. Dial ah yang paling tua dan berpengalaman dalam hutan ini. Dia pernah hidup ketika hutan ini dijajah oleh Jepun, British, merdekanya hutan sehingga ke hari ini. Sekitar 20-30 tahun dahulu Si Babi pernah menjadi pemimpin hutan dan ini kali kedua dia dipilih kembali oleh para bebiri. Harapan yang diletak oleh para bebiri adalah sangat kritikal. Para bebiri perlu melepaskan diri daripada pemimpin mereka sebelum ini, Si Singa dan isterinya yang hidup bermewahan atas kesusahan penduduk hutan, Si Burung Kakak Tua.
Katanya ini adalah demokrasi. Setiap 5 tahun sekali para bebiri akan diberi peluang dan ruang untuk memilih pemimpin mereka. Kata Para Musang dan bangsanya ini adalah demokrasi. Ini adalah ruang dan peluang bagi rakyat mengubah nasib mereka. Mahu lihat jika para bebiri itu matang atau tidak maka 5 tahun sekali adalah indikatornya. Demokrasi hanya wujud 5 tahun sekali. Demokrasi hanya pada sebuah kotak yang berisi kertas nama-nama para musang.
Kebebasan bersuara yang kritis pada Para Musang bukan demokrasi. Ia adalah ancaman keamanan hutan. Protes dan unjuk perasaan bukan demokrasi. Ia melanggar adab dan norma hutan. Memohon ‘check and balance’ dalam pentadbiran para musang adalah kerja gila. Para bebiri bodoh dan tidak tahu apa-apa. Bilang para musang “Government knows best’. Membongkar kekayaan dan menghasut nepotisme dihapuskan adalah kerja sia-sia. Membuka ruang wacana yang mencabar status quo disuruh senyap. Mahu melibatkan lebih ramai penglibatan para bebiri secara organik dalam pentadbiran hutan yang tercinta ya sudah semestinya boleh. Sumbang duit pada tabung yang disediakan oleh para musang sahaja. Tabung ini sangat penting. Hutan sudah diambang kehancuran dek tangan-tangan Si Singa dan kuncunya. Ini adalah zikir dan wirid yang disebarkan oleh Para Musang kepada bebiri. Iyalah, sudah namanya bebiri maka bodohlah mereka dan hanya mengikut sahaja kawanannya.
Kini hutan berada di persimpangan. Disangka keluar daripada sangkar Si Singa sudah selamat. Nah! Kebingungan pula dalam ladang Si Babi. Para bebiri sudah lama diketahui bahawa mereka sedang ditimpa penyakit berat. Sudah puas dijampi serapah oleh pawang tapi masih tidak sembuh. Para bebiri menghidapi dua macam penyakit. Pertama, suka beromantis dengan sejarah lampau. Kedua, malas membaca dan ambil iktibar daripada tragedi yang berlaku di hutan. Bilang mereka dengan yakin Si Babi akan memajukan hutan ini. Si Babi pernah membawa dan mengharumkan nama hutan di seluruh pelosok dunia. Si Babi pernah mencipta bangunan pencakar langit, membuka lapangan terbang dan membina kenderaan wilayah hutan. Ini semua ketika 20-30 tahun lepas. Ahhhh, jadi sudah pasti Si Babi boleh menjadikan hutan ini makmur semula. Para bebiri akan hidup senang dan aman.
Ditambah dengan para bebiri yang malas membaca dan ambil ikitbar maka makin seronoklah Si Babi dan Para Musang. Para bebiri lebih gemar percaya pada kata-kata Para Musang daripada para guru yang bertugas membawa misi pencerahan. Para bebiri yang berparti lebih seronok mengikut apa sahaja arahan pimpinan parti. Para bebiri yang berlebai sudah pasti gentar mahu melawan Amir mereka. Para bebiri yang bekerja untuk Para Musang lagi suka ‘mengeteh’ pada waktu pejabat di kafe-kafe. Para bebiri di menara gading sudah sibuk dengan penyelidikan, mana sempat mahu kritis dan turun bersama penduduk hutan yang lain. Para bebiri yang sudah kaya dan membina istana di atas bukit mana mahu ambil tahu apa yang terjadi di lembah. Para bebiri yang populis dan oportunis seronok memakan ghanimah. Mereka ini bebiri yang jika di awan boleh terbang, jika di laut boleh berenang dan jika di darat boleh berlari.
‘Duummmm’…bunyi pintu bilik menyedarkan aku daripada lamunan kisah kehidupan hutan ini. Aku begitu asyik dan ghalit membaca kisah mereka. Ada pun cerita ini hanyalah cerita dongeng dan mitos. Ia hanyalah khayalan dan imaginasi penulis. Dunia sebenar sudah pasti baik-baik sahaja. Ada rezeki dan kesempatan akan aku menceritakan lagi kisah hutan ini.
Commenti