Oleh: A. Muziru Idham
1) Isu Covid-19 ini merupakan sebuah isu yang merentas global. Sebagai sebuah penyakit yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh WHO, bermakna ia merupakan sebuah isu yang sangat serius. Betapa seriusnya Covid-19 ini, ia telah memberi kesan yang sangat besar terhadap pelbagai sektor.
2) Yang terbesar menerima kesannya sudah tentulah dari sudut bidang perubatan, di mana saya percaya para doktor dan saintis di seluruh dunia sekarang bukan sahaja sedang sibuk merawat para pesakit yang telah dijangkit serta mengatur langkah-langkah pencegahan, dalam masa sama turut sibuk mengkaji penawar yang tepat untuk menanggani virus tersebut. Betapa kita harus segera bersabar dan mengikuti langkah-langkah pencegahan yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia seperti sentiasa menggunakan "hand-sanitizer", memakai topeng muka, tidak berada di tempat keramaian awam, lebih banyak berada di rumah dan elakkan daripada banyak berurusan dengan manusia lain, segera ke hospital berdekatan sekiranya terdapat simptom penyakit Covid-19, dan sebagainya.
Proses menemukan penawarnya itu sudah tentu akan menelan banyak masa dan tenaga, justeru kita sebagai orang awam ini harus taat mematuhi langkah-langkah pencegahan tersebut agar kita kelak tidak menyusahkan diri sendiri dan juga menyusahkan orang lain.
3) Tetapi, ada beberapa bidang lain yang turut mendapat kesannya, iaitu agama, pentadbiran negara, hubungan antarabangsa, dan ekonomi.
4) Dari sudut agama, kita dapat lihat betapa para agamawan sedang berkhilaf sama ada solat jemaah dan solat Jumaat wajar diteruskan ataupun ditangguhkan. Di Malaysia khususnya, terdapat negeri yang masih meneruskan solat Jumaat, manakala sesetengah negeri yang lain telah memberi fatwa untuk menangguhkan solat Jumaat.
Isu penangguhan solat Jumaat ini telah mewujudkan pertelingkahan dalam kalangan netizen; sebahagiannya bersetuju dengan penangguhan atas dasar pencegahan daripada wabak penyakit, manakala sebahagian yang lain pula lebih memikirkan soal dosa pahala tidak melakukan solat Jumaat kerana merasakan bahawa Muslim sewajarnya lebih bersabar dengan ujian dunia dan lebih takutkan Tuhan berbanding takutkan virus.
Mereka tidak mahu untuk melakukan solat Zohor menggantikan solat Jumaat sekalipun ia adalah rukhsah yang memang telah tersedia. Segala alasan dicari-cari agar solat Jumaat dapat diteruskan, kerana yang mereka fikirkan adalah "kesihatan Tuhan" itu harus lebih dijaga terpelihara berbanding kesihatan manusia lain yang menjadi teruk akibat virus yang disebarkan oleh batuk dan bersin mereka.
5) Dari sudut pentadbiran kenegaraan, ternyata isu ini sangat memberi kesan besar terhadap para pemerintah dalam menguruskan isu pandemik ini dengan bijaksana. Pandemik sedang merebak dengan sangat pesat dan ramai orang yang telah dijangkiti. Mana-mana kerajaan di seluruh dunia sedang mengambil langkah berjaga-jaga agar setiap warganya tidak ada yang dijangkiti Covid-19 atau menjadi penyebar virus tersebut kepada orang lain.
Langkah seperti sekatan terhadap pelancong daripada negara-negara tertentu, penutupan kawasan awam tertentu, langkah kuarantin terhadap orang-orang yang disyaki mendapat jangkitan virus, dan sebagainya telah diambil dalam menangganinya. Setidak-tidaknya jika kita lihat mantan Menteri Kesihatan sebelum ini, Dr. Dzulkefly Ahmad adalah sangat serius menanggani pandemik ini dan Covid-19 menular dengan lebih perlahan pada ketika itu.
Tetapi setelah beliau tiada, Covid-19 menular dengan sangat pantas. Tapi hairan sekali pentadbiran di bawah kerajaan pintu belakang ini menguruskan isu ini dengan sangat perlahan sekali, malah sepertinya tidak mengambil serius pun dengan epidemik Covid-19 apabila kita melihat hampir tiada kerjasama daripada kementerian-kementerian lain untuk menanggani isu secara serius. Ternyata masyarakat telah diperbodohkan oleh sekalian ahli politik terutamanya mereka dari kerajaan pintu belakang ini yang bukan sahaja mencalarkan semangat demokrasi yang rakyat telah berikan pada PRU-14, malah mereka lebih memikirkan kuasa dan kedudukan mereka berbanding ekonomi negara yang telah tercalar teruk dan kesihatan masyarakat yang semakin parah akibat tindakan mereka.
Akibat tindakan politik khianat mereka dan pandemik Covid-19 ini sahaja, banyak syarikat perindustrian dan pembangunan ekonomi telah mendapat kerugian sehinggga bilion ringgit. Lagi pula, kita dapat lihat betapa perlahannya kenyataan-kenyataan pemerintah dikeluarkan yang tidak bijaksana, malahan saling bertukar-tukar hanya dalam beberapa jam sahaja sehingga pengurusan masyarakat menjadi semakin tidak terkawal. Apakah kita masih lagi mahu percaya terhadap sifat alamiah ahli politik yang sememangnya lebih tamakkan kedudukan dan kekuasaan berbanding kepentingan rakyat jelata?
6) Dari sudut hubungan antarabangsa, kes pandemik merupakan antara yang berada dalam wilayah keselamatan baharu (non-traditional security) yang menjadi kebimbangan banyak negara. Jika keselamatan tradisional adalah lebih bersifat keselamatan fizikal, tetapi keselamatan baharu ini melibatkan soal-soal keselamatan negara yang non-fizikal. Jadi, pandemik Covid-19 ini sangat memberi kesan kepada keselamatan negara daripada soal keselamatan terhadap kesihatan warga sehinggalah kepada keselamatan ekonomi negara yang banyak terjejas akibat daripada faktor ini.
Kewujudan Covid-19 ini masih belum diketahui. Tetapi ada satu perkara yang kita boleh fikirkan bahawa, sekiranya Covid-19 ini tidak wujud secara semulajadi melalui mutasi bakteria, maka boleh jadi ia juga mungkin wujud hasil daripada buatan manusia sebagai sebuah senjata biologi. Pada abad ke-21, peperangan tidak lagi wujud melalui pertempuran senjata canggih, tetapi boleh turut wujud melalui "pengeboman" virus-virus yang berbahaya kepada sesebuah kawasan bagi melumpuhkan negara tersebut.
Saya tidak memaksudkan bahawa Covid-19 ini adalah dicipta sebagai sebuah senjata biologi lantaran tidak ada apa-apa bukti tentangnya yang boleh diketahui. Cuma sahaja, apa yang saya hendak tekankan ialah kes pandemik ini adalah sebahagian daripada ancaman baharu terhadap keselamatan nasional yang menjejaskan banyak sektor-sektor kenegaraan, terutamanya keselamatan ekonomi, kesihatan, dan sosial. Andaikata ia memang wujud sebagai sebuah senjata biologi, maka ia adalah perbuatan yang amatlah keji sekali. Malah ia adalah lebih keji lagi berbanding pengeboman nuklear kerana kesannya diterima oleh seluruh dunia dan bukannya sesebuah negara sahaja.
Pada peringkat ini, bukan sahaja kerjasama di peringkat nasional yang diperlukan dalam menangganinya, malahan kerjasama di peringkat global amat diperlukan kerana ia sudah menjadi sebuah isu transnasional. Jadi, amatlah tidak boleh dimaafkan apabila terdapat mana-mana pihak yang sanggup menipu mengenai wilayah migrasi mereka demi mengelak daripada tindakan kuarantin lalu tidak semena-mena telah menjadi agen penyebar Covid-19 kepada masyarakatnya.
7) Dari sudut ekonomi, tidak perlu dipersoalkan lagi bahawa Covid-19 menyebabkan pergerakan ekonomi negara menjadi perlahan akibat daripada kemerosotan industri pelancongan dan kegusaran para pelabur untuk membuat pelaburan. Setiap negara pula terpaksa memperuntukkan belanja kecemasan yang sangat besar bagi menanggani wabak pandemik ini di negara masing-masing bagi merawat pesakit dan menjalankan operasi langkah-langkah pencegahan bagi menangganinya.
Tetapi, dalam masa yang sama, pihak kapitalis ternyata menjadikan epidemik ini sebagai peluang perniagaan mereka untuk mencari keuntungan. Apabila berlaku panik dalam masyarakat dan pihak kerajaan pula gagal mengawalnya, para kapitalis sedang bertepuk tangan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sesuka hati kerana mereka tahu masyarakat akan terpaksa membeli dan menggunakan perkhidmatan mereka dalam keadaan terdesak dan tidak memiliki pilihan.
Ya, pada waktu inilah mereka mencari keuntungan yang tinggi selagi mana wabak epidemik Covid-19 ini tidak selesai ketika mereka tidak meraih keuntungan yang sama pada waktu-waktu yang lain. Maka, kita dapat lihat bahawa harga tiket penerbangan, 'hand-sanitizer', dan topeng muka dijual dengan harga yang tinggi daripada biasa.
Lebih-lebih lagi pula permintaan masyarakat terhadap barangan itu mencanak tinggi ketika penawaran semakin terbatas, maka harga dinaikkan sesuka hati tanpa memikirkan kesusahan yang sedang ditanggung oleh masyarakat pada ketika ini. Yang ada dalam fikiran para kapitalis itu, keuntungan perlu dijana dengan segera; masyarakat sakit itu tidak ada apa-apa.
Ya, jika kalian mempelajari ilmu hubungan antarabangsa, kalian akan sedar bahawa akan wujud pihak yang akan mencari untung ketika wujudnya ancaman terhadap keselamatan negara. Sebabnya, ancaman tersebut menyebabkan barangan dan perkhidmatan mereka sangat diperlukan justeru mereka berupaya memanipulasi situasi mendesak untuk memonopoli pasaran.
8) Ternyata, Covid-19 benar-benar menguji kemanusiaan manusia dan ternyata semakin ramai yang tidak berpedoman kemanusiaannya. Yang kononnya terlalu hendak menjaga agama, sehingga tidak empati terhadap manusia lain kerana ingin menjaga agama dirinya. Yang terlalu taksub berpolitik, bermain politik dilihat lebih penting untuk menjaga kuasa dan kedudukan berbanding menjaga maslahat rakyatnya. Yang terlalu strategis untuk mendapat tempat dalam hubungan antarabangsa, nyawa manusia menjadi taruhan. Yang berada dalam pasaran perniagaan, keadaan getir sebegini dimanipulasi demi memonopoli keuntungan.
9) Akhir sekali, kita wajar merasa sedih dengan apa yang sedang terjadi, kerana pihak-pihak yang kita harapkan itu tidak dapat benar-benar membantu kita keluar daripada permasalahan ini dengan baik. Mahu tidak mahu, kita sendiri yang harus terus melawan Covid-19 dengan menjaga diri kita sendiri melalui kepatuhan terhadap langkah-langkah yang telah disediakan oleh pihak kesihatan negara bagi mencegah daripada wabak epidemik ini terus merebak. Jangan terburu-buru dan terperangkap dengan situasi panik sehingga kita sendiri yang menggadaikan nyawa kita dan orang lain tanpa sedar.
10) Bayangkan, ketika kalian panik lalu membuat belian panik, kalian berpusu-pusu memenuhi pasaraya lalu kalian tanpa sedar telah menyebarkan virus tersebut dengan begitu cepat sekali. Kalian juga panik untuk pulang ke kampung ketika langkah kuarantin dilaksanakan lalu kalian memenuhi stesen-stesen bas atau jalan raya menyebabkan virus-virus pada diri kalian tersebar dengan cepatnya. Kalian panik untuk menyelamatkan diri kalian, tetapi sebenarnya kalian semakin menyusahkan diri kalian sendiri dan orang lain sekali.
Walaupun dapat difahami bahawa setiap orang akan merasa panik apabila keadaan keselamatan negara semakin getir dengan wabak epidemik Covid-19 yang semakin menular cepat ini, tetapi barangkali ketenangan kalian dalam menguruskan situasi ini akan semakin memudahkan pihak berkuasa menguruskan keadaan dan menstabilkan kes ini dengan lebih cepat. Kuncinya, tenang dan ikuti nasihat pakar-pakar kesihatan dalam mencegah diri kalian daripada dijangkiti oleh wabak epidemik Covid-19 ini.
Comments